Oleh : SRI DIAH
Apabila dipelawa
makan tengah hari oleh seorang sahabat, saya angguk suka dan hati segera
berkata Alhamdulillah. Kemudian apabila tiba di kedai makan, saya urut dada
sambil berkata Allahuakbar. Berpinar mata melihat hidangan yang ada di atas
meja jualan.
Di kedai yang ada
tiga lot berderet itu terdapat lebih 100 jenis lauk-pauk hidangan moden dan
tradisional. Daripada rebung masak lemak dengan perut hinggalah kepada ikan
masin goreng bawang dan perahan asam limau.
Itu tidak termasuk
mi kari, cucur udang, kuih lompat tikam, cendol, serawa labu dan cucur bawang
cicah sos lada ataupun ada juga kuah kacang jika mahu. Kemudian ada berderet
jenis air termasuk air batu campur, cendol dan kelapa gading.
Selera kecil saya
terus menjadi lebih kecil melihat hidangan yang mahu dipilih. Saya keliru.
Nafsu makan tenggelam timbul tidak menentu. Saya angkat, tabik pada tuan punya
restoran dan lebih istimewa tukang masaknya!
Padahal baru
kelmarin saya baca satu kajian mendapati kira-kira 1.6 bilion penduduk dunia
kini alami berat badan berlebihan.
Di Amerika Syarikat
ada lebih 70.8 peratus penduduknya obes; di Emiriyah Arab Bersatu, 68.3 peratus
dan United Kingdom, 64.2 peratus. Di Australia, 63.7 peratus, di Brazil 51
peratus dan di Malaysia 44.2 peratus.
Lama juga tangan
saya memegang pinggan berisi nasi putih separuh. Masih lagi saya tawaf kali kedua mengelilingi meja hidangan. Nampak
gaya nasi campur saya belum bercampur apa-apa tika berpusing kali ketiga.
Daripada artikel
saya baca - pada 2011, Boston Emergency Service memperkenalkan ambulans khusus
bagi mereka yang obes.
Kenderaan ini
dilengkapi pengusung yang mampu menampung beban seberat 850Ib (386kg) serta lif
hidraulik dengan kapasiti 1,000Ib (454kg) bagi memastikan keselamatan pesakit.
Ini juga untuk mengurangkan kecederaan kakitangan yang terlibat untuk angkat
pesakit terlampau berat.
Memanglah makanan
segera antara punca obes secara mendadak. Kesedapan makanan segera telah
menyembunyikan lebihan garam, gula dan serbuk perasa di dalamnya. Kandungan gas
dalam minuman berkarbonat juga menjadikan minuman semakin sedap dinikmati
hingga ke titisan terakhir.
Apabila pasukan
bola sepak UAE gagal melayakkan diri dalam Piala Dunia 2010, Saleh Obaid,
seorang pemain pertahanan meletakkan kegagalan tersebut atas ketagihan pasukan
itu terhadap makanan segera.
“Kami makan makanan
segera McDonald. Semuanya makan makanan segera McDonald. Tidak ada makanan yang
sihat,” katanya. Kita ketahui, McDonald
antara penaja Piala Dunia 2010.
Ada banyak kempen
telah dilaksanakan namun hasilnya bagaimana? Kempen kurangi penggunaan gula
juga tidak berhasil. Kempen kurangkan minuman berkarbonat juga gagal. Lemak
tepu dan lemak tidak tepu memasuki kerongkong kita dengan penuh rasa sedar.
Burger daging atau
ayam (double!), ice blended penuh krim dan aiskrim tiga empat skop seperti
melambai kita. Ini ditambah dengan piza daging import dan ayam goreng segera.
Kemudian ada dua tiga bar coklat lemak manis dengan perasa yang pelbagai hiasan
menarik dan lazat tidak terkata. Semua itu
memanggil-manggil nafsu kita.
Di Britain, masalah
obesiti ini menyebabkan kematian sejumlah 9,000 orang setiap tahun. Itu adalah
lebih awal daripada usia dijangkakan. Jika aliran ini berterusan, 90 peratus
kanak-kanak di Britain akan mengalami obes menjelang 2050.
Hospital Royal
Adelaide, Australia baru-baru ini mengumumkan suatu pengubahsuaian bagi
membantu kakitangannya menangani kemasukan pesakit yang obes.
Mereka telah
menyediakan satu bilik yang lebih luas dilengkapi alat pengangkat dipasang pada
siling, kerusi roda dan katil diperkukuh serta mesin pengimbas tomografi
berkomputer yang lebih besar.
Ini dipersiapkan
kerana kemungkinan kakitangan mengalami kecederaan adalah 19 kali lebih tinggi
sewaktu menggerakkan pesakit yang obes berbanding kecederaan lain.
Di Malaysia saya
tidak pasti apakah rekod kesihatan pelajar tahun 1 yang diambil setiap awal tahun betul-betul
diperiksa semula selepas beberapa bulan mereka berada di sekolah. Sejauh mana
pelajar obes dipantau dan mengapa tidak ada pihak ambil berat mengenai rekod
berkenaan.
Masalah berat badan berlebihan telah menjadi
masalah sejagat. Ini juga adalah masalah paling berat bagi saya sepanjang
memilih makan tengah hari pada hari itu.
Akhirnya saya
lupakan lebih 99 jenis hidangan yang menggoda nafsu itu. Saya hanya ambil ikan
goreng, sup sayur dan sambal tumis bilis. Itu sudah cukup untuk saya!
Sumber : http : //www.sinarharian,com,my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan