Selasa, 16 Oktober 2012

ISU BAHASA : Karya kreatif bantu bentuk nilai baik anak


Dr Anwar Ridhwan
 
Pembacaan galak jelajah dunia bahasa

Televisyen (TV) kini menjadi medium tontonan yang sangat meluas. Boleh dikatakan setiap rumah memiliki sekurang-kurangnya satu set TV. Dengan hanya duduk di kerusi, penonton boleh menjelajah dunia hiburan, safari, sukan, ilmu pengetahuan dan sebagainya.

Kanak-kanak juga tidak terkecuali menonton rancangan yang disediakan untuk golongan ini. Sebenarnya tidak semua rancangan untuk kanak-kanak dapat dipertanggungjawabkan nilai moralnya. Dalam rancangan kartun umpamanya, adegan menyakat, pergaduhan, tembak menembak dan pembunuhan turut dapat dilihat.

Proses pembacaan harus dapat 'membersihkan' minda mereka daripada elemen negatif yang mereka tonton di TV, umpamanya mengenai keganasan dan penyimpangan moral"

Oleh sebab kanak-kanak kita menonton TV sejak kecil, perangkaan dari Amerika Syarikat (AS) mungkin boleh digunakan bagi menatijahkan fenomena yang sama. Ketika kanak-kanak mula belajar di TADIKA, pada umumnya mereka menonton TV selama 5,000 jam. Kanak-kanak yang berumur tiga hingga tujuh tahun secara purata menonton TV selama 15,000 jam iaitu melebihi 2,000 jam daripada masa yang mereka habiskan di TADIKA atau dalam bilik darjah.

Sehingga umur 17 tahun, mereka menonton 18,000 jam adegan keganasan di TV. Mereka juga menghabiskan masa 35,000 jam menonton segmen komersial – kebanyakannya mempromosi makanan segera yang tidak berkualiti. Oleh itu tidaklah menghairankan jika masalah obesiti dihidapi bukan saja oleh kanak-kanak AS, malah kanak-kanak di mana iklan makanan segera disiarkan di seluruh dunia.

Oleh sebab TV menghidangkan yang buruk dan yang baik, ada ibu bapa yang secara sedar, sistematik dan berdisiplin mengawal penontonan TV anak mereka. Tetapi kadang-kadang adalah sukar untuk melakukan pemantauan yang berterusan, kerana wujudnya ‘masa lapang’ yang berbeza antara kanak-kanak dan ibu bapa mereka.

Ada rancangan TV yang baik, kreatif dan memupuk perkembangan minda kanak-kanak – sama ada yang diterbitkan di negara ini atau yang diimport. Antara program import untuk kanak-kanak yang paling popular ialah Sesame Street yang dianggap produktif. Ia menggunakan watak Jim dan sederetan pelbagai pelakon.

Menanggapi program ini, Walter Sawyer dan Diana Comer menyebut bahawa Sesame Streetmemberikan pengalaman pembelajaran melalui satu siri segmen pendek yang mengambil kira jangka waktu pemusatan pemerhatian kanak-kanak sewaktu menonton. Ini adalah antara program yang awal bagi kanak-kanak untuk mempertontonkan pelakon yang terdiri daripada pelbagai etnik. Wanita, golongan minoriti dan yang cacat semuanya digambarkan dengan realisme dan digniti.

Kehidupan kanak-kanak dan dalam proses pendewasaan seterusnya tidak boleh disandarkan pada program TV semata-mata. Mereka harus didekatkan kepada dunia buku kreatif dan ilmu pengetahuan – seperti dunia persekolahan mendekati mereka secara formal.

Melalui buku yang baik, kanak-kanak boleh belajar, menanggapi dan memahami dunia mereka yang lebih terarah. Proses pembacaan harus dapat ‘membersihkan’ minda mereka daripada elemen negatif yang mereka tonton di TV, umpamanya mengenai keganasan, penyimpangan moral, makanan yang tidak berkhasiat dan sebagainya.

Ibu bapa wajar menggalakkan anak mereka minat membaca di luar konteks buku sekolah yang mereka telaah secara formal. Ibu bapa seharusnya memilih bahan bacaan kreatif untuk tujuan ini. Karya kreatif disampaikan dalam bentuk cerita, dihiasi ilustrasi, dan memenuhi keperluan afektif, fungsional dan kognitif mental kanak-kanak yang sedang membesar.

Membina sikap positif kanak-kanak boleh dicapai melalui pembacaan karya kreatif yang baik. Karya seperti ini selalunya memberi penekanan kepada membentuk imej diri yang baik, bertoleransi terhadap orang lain, dan rasa ingin tahu terhadap hidup. Rasa ingin tahu itu adalah jalur pengembaraan fizikal dan mental, yang bersemuka dengan pelbagai masalah dan seaneka pilihan penyelesaian. Hanya selepas melalui pengalaman pembacaan, mereka dapat memilih cara penyelesaian yang terbaik dan manusiawi.

Dalam konteks berbahasa, TV yang ditonton tidak mungkin meninggalkan kesan berpanjangan terhadap penggunaan bahasa yang baik. Yang dapat diingat oleh kanak-kanak hasil menonton TV ialah ungkapan yang pendek, dianggap kelakar, kasar atau beritma. Sebaliknya, melalui pembacaan, kanak-kanak menjelajah dunia bahasa dan secara tidak langsung mempelajarinya.

Sungguhpun karya kreatif untuk kanak-kanak lebih merupakan genre bagi menjelajah dunia yang penuh berwarna-warni, ia juga alat untuk mengajar kemahiran membaca dan menguasai bahasa dengan baik. Akhirnya mereka membesar dengan bahasa itu, seterusnya dapat berkongsi makna dan memperjelas pemikiran yang teratur, baik dan berkesan.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan