OBESITI bukan lagi perkara biasa
yang dapat diterjemahkan sebagai sihat secara fizikal. Namun ia telah menjadi
masalah yang sinonim dengan penyakit tidak berjangkit yang lain.
Obesiti merupakan satu masalah
kesihatan awam yang serius kerana boleh melibatkan komplikasi penyakit lain
yang dikategorikan sebagai penyakit moden. Paling membimbangkan, obesiti
menular dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Walaupun bukan penyakit
berjangkit tetapi pola pemakanan dan gaya hidup seseorang menyebabkan permasalahan
terus merebak dalam sesebuah komuniti.
Jika sedari kecil lagi telah
mengalami masalah obesiti, tidak dikawal dan tidak mengambil usaha pencegahan,
maka tidak mustahil Malaysia akan melahirkan lebih ramai generasi yang gebu,
gemuk dan gempal (3G) pada masa akan datang.
Fenomena 3G ini sudah pun berlaku
tetapi ia mungkin akan berterusan sekiranya tiada langkah pencegahan yang mampu
dirintis oleh masyarakat. Malah, lebih memburukkan lagi jika individu yang
tidak memiliki kesihatan yang baik, tidak mampu menunaikan tanggungjawab untuk
beribadah kepada Allah dengan sempurna.
Umum mengetahui bahawa badan yang
berat akan memenatkan. Beban berat badan akan memberi kelelahan kepada diri
sendiri. Beribadah turut menjadi berat. Tidak mustahil kemalasan akan datang
seiring dengan kepenatan dan terhadnya pergerakan. Penyakit akibat obesiti juga
membataskan kemampuan untuk beribadah dengan sempurna. Jadi, obesiti memang
memberi impak yang mendalam kepada ibadah dan tuntutan hidup yang lain.
Abu Hurairah pernah menukilkan
bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Pada hari kiamat,
akan datang seorang yang berbadan besar lagi gemuk. Namun, di sisi Allah
timbangannya tidak melebihi berat sayap seekor nyamuk". Seiring itu, wajar
kita mengambil iktibar bahawa beban membawa berat badan yang berlebihan akan
menyebabkan kemalasan bersarang dalam diri seseorang. Ia menjadi penghalang
untuk melaksanakan suruhan Allah dengan lebih sempurna, berkualiti dan optimum.
Namun, barangkali ada yang
berpendapat, sekiranya makan dengan banyak maka akan menghasilkan tenaga dan
stamina yang tinggi untuk beribadah. Malangnya, sifirnya tidak pernah sebegitu.
Ramai di antara kita, apabila makan pasti berlebihan. Makan bukan sekadar untuk
menguatkan diri malah akan membebankan perut dan diri secara fizikal.
Ibn Hajar menyatakan dalam Fath
al-Bari: "Kerana kebiasaan orang yang gemuk lemah kefahamannya dan berat
untuk beribadah." Tambahan pula, The Annals of Neurology 2010 telah
membuktikan bahawa wujudnya hubung kait antara saiz otak yang lebih kecil dan
peningkatan risiko demensia dengan aras lemak yang lebih tinggi dalam badan.
Maka, tidak dapat disangkal wujud kemungkinan jika seseorang mengalami masalah
berat badan, daya ingatan dan penumpuan juga akan berkurangan.
Bukanlah menafikan bahawa faktor
genetik juga menjadi punca obesiti. Namun, yang menjadi permasalahan kini ialah
kebanyakan kita tidak mengamalkan gaya hidup sihat sedangkan ia merupakan
tuntutan dalam ajaran Islami. Akhirnya menyumbang kepada masalah dan kemudaratan
diri sendiri. Kadangkala kita menyedari tentang hal tersebut, namun masih lagi
bertangguh untuk melakukan perubahan.
Pada satu sudut lain, berapa
ramai di antara ibu bapa pada hari yang menjadikan "electronic
babysitter" seperti televisyen dan komputer menjadi teman rapat kepada
anak-anak? Kajian menunjukkan bahawa semakin lama anak-anak meluangkan masa
menonton televisyen, kecergasan otot mereka akan semakin berkurangan dan ukur
lilit pinggang semakin meningkat disebabkan kegemukan apabila menghampiri usia
remaja. Ia berpotensi menyebabkan masalah kesihatan apabila menginjak dewasa.
Dalam mendidik anak-anak,
kadangkala ibu bapa tidak perasan bahawa mereka telah menyediakan satu spektrum
pendidikan gaya hidup tidak sihat secara tidak formal. Antaranya membiarkan
anak-anak menghabiskan masa di hadapan televisyen, tidak mempedulikan aktiviti
kecergasan di luar dan tidak prihatin kepada apa jua jenis makanan yang
anak-anak makan. Secara tidak sedar sebenarnya ibu bapa pada hari ini telah pun
memulakan usaha mewujudkan generasi yang tidak sihat pada masa akan datang.
Anak-anak yang mengalami obesiti
dan berlebihan berat badan akan cenderung untuk diejek oleh rakan sebaya. Ini
akan memberi kesan kepada jati diri, menyebabkan tertekan dan kurang keyakinan
terhadap penampilan diri. Dapatan kajian menunjukkan terdapat hubungan korelasi
antara obesiti dan tekanan mental. Jika dilihat pada perangkaan Kajian
Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan mendapati masalah tekanan mental kanak-kanak
dan remaja meningkatkan sebanyak 20% pada tahun 2011 berbanding 13% pada tahun
1996.
Mungkinkah peningkatan statistik
yang membimbangkan dan sering diperbahaskan ini adalah salah satunya berpunca
daripada masalah obesiti yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja
pada hari ini? Maka, kita wajar menilai semula apakah makanan yang dijamah dan
disuapkan ke mulut pada setiap hari sama ada untuk diri mahu pun keluarga di
bawah tanggungan kita.
Sejauh mana ia memberi nilai
tambah kepada kesihatan? Atau lebih buruk lagi kita tidak mampu mengubah pola
pemakanan dan gaya hidup selama ini walaupun telah menyedari akan peri
pentingnya menjaga kesihatan.
Ketahuilah bahawa walaupun
berdikit-dikit dalam membuat perubahan ke arah kesihatan yang lebih baik akan
memberi kesan yang besar daripada langsung tidak melakukan apa-apa tindakan.
Mengawal berat badan, pemilihan makanan yang terbaik dan berkat, mengambil
langkah-langkah pencegahan penyakit, adalah komitmen kita untuk memerangi
obesiti dan penyakit tidak berjangkit lain daripada terus bermaharajalela.
Semua usaha ini adalah untuk
merangka dan merancang bagi mencapai kesihatan yang optimum agar ibadah yang
kita laksanakan lebih baik dan berkualiti serta diterima oleh Allah.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan