Oleh : Ridzuan Yop
Selepas 55 tahun negara mencapai
kemerdekaan, wajarkah lagi kita mempersoalkan tahap penguasaan dan kefasihan
berbahasa Melayu, terutama kepada mereka yang mengaku rakyat negara ini untuk
bertutur dalam bahasa itu yang sudah diangkat sebagai bahasa kebangsaan.
Apabila ada pihak membangkitkan
tahap penguasaan bahasa Melayu warga Malaysia sudah pasti ada sesuatu yang
perlu dilihat secara serius dan diperbetulkan.
Kebimbangan terhadap tahap
penguasaan bahasa Melayu pasti turut dikongsi banyak pihak, terutama pejuang
bahasa, apatah lagi bahasa Melayu tunjang kepada kekuatan dan penyatuan bangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Razak ketika melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
(PPPM) (2013-2025) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada September lalu
turut menggesa agar setiap rakyat Malaysia menguasai bahasa ini.
“Saya nak sebut selepas 55 tahun
merdeka, kita mesti pastikan setiap rakyat mampu bertutur dalam bahasa
kebangsaan dengan baik. Kalau tidak boleh menulis tetapi dari segi pertuturan,
cakap dan sebutannya mestilah baik,” tegas Najib ketika berucap melancarkan
PPPM.
Perdana Menteri menegaskan semua
sekolah mesti menguasai bahasa kebangsaan dan ia tidak sewajarnya dikaitkan
dengan soal politik oleh mana-mana pihak tetapi lebih kepada kepentingan
nasional.
Memastikan setiap murid boleh
bertutur bahasa Melayu dan Inggeris antara 11 anjakan utama dalam PPPM.
Menurut laporan awal PPPM,
penguasaan bahasa Melayu penting dalam mentransformasi pendidikan secara
keseluruhannya. Antara lain sistem pendidikan semasa dapat meningkatkan
keberhasilan murid melalui bahasa Melayu.
Menurut laporan itu, penyertaan
murid dalam sekolah rendah berlainan membawa kepada keberhasilan berbeza dalam
kalangan murid pelbagai etnik.
Pelajar Bumiputera menunjukkan
pencapaian baik dalam Bahasa Melayu, iaitu 84 peratus mendapat kredit minimum
dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), berbanding 63 peratus daripada pelajar
Cina dan 57 peratus lagi daripada pelajar kaum India. Semua keputusan berdasarkan
peperiksaan SPM 2010.
Teguran PM tepat
Sepuluh anjakan lain untuk
transformasi sistem pendidikan negara iaitu menyediakan kesamarataan akses
kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa; melahirkan rakyat Malaysia
dengan penghayatan nilai; transformasi keguruan sebagai profesion pilihan;
memastikan kepemimpinan berprestasi tinggi di setiap sekolah; mengupaya JPN,
PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan;
memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia;
Mentransformasi kebolehupayaan dan kapasiti penyampaian kementerian;
bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti, dan sektor swasta secara meluas;
memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit dan yang terakhir
meningkatkan ketelusan untuk akauntabiliti awam secara langsung.
Ahli akademik Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong, menyifatkan teguran Perdana
Menteri berhubung penguasaan bahasa Melayu itu sebagai tepat dan kena pada
masanya.
Beliau yang juga Timbalan
Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM berkata, paling membimbangkan ada
individu atau rakyat negara ini yang langsung tidak boleh berbahasa kebangsaan.
“Saya menyokong teguran Perdana
Menteri kerana perkara ini sudah lama berlaku, tetapi apabila orang akademik
membangkitkannya ia mungkin tidak memberi kesan seperti yang dibuat oleh
pemimpin nombor satu negara.
“Bahasa Melayu adalah bahasa
negara kita, berfungsi sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, jika Perdana
Menteri kata, selepas 55 tahun merdeka ada lagi sebutan tidak betul, penggunaan
ayat salah dari segi tatabahasa kita pun tertanya kenapa ada pendatang asing
yang mampu bertutur lebih baik daripada sesetengah rakyat negara ini,” katanya.
Sumber : http :
//www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan