Oleh : SENATOR DATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH
ADA tiga masalah besar dunia yang
mendapat perhatian utama dalam persidangan antarabangsa di Vientiane, Laos pada
3 dan 4 Oktober lalu.
Tiga masalah yang merunsingkan
itu ialah perubahan iklim dan bencana alam, pembangunan mampan dan
masalah-masalahnya, serta jurang yang semakin melebar antara yang kaya dan yang
miskin.
Persidangan yang diadakan di ibu
negara yang pernah dilanda perang berpanjangan itu dihadiri oleh lebih 200
orang ahli Parlimen dari 27 buah negara yang bergabung dalam ASEP (Asia-Europe
Parliamentary Partnership) termasuk perwakilan dari negara-negara China, Rusia,
Jepun dan Jerman. Hadir sama, perutusan khas Setiausaha Agung PBB dan wakil
IMF. Perwakilan Malaysia diketuai oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu
Zahar Ujang. Saya sendiri juga mendapat penghormatan sebagai seorang anggota
delegasi Parlimen Malaysia.
Ketiga-tiga masalah di atas tentu
sahaja saling berkaitan. Dan natijahnya, yang menjadi tumpuan keprihatinan para
perwakilan dan pemerhati dalam persidangan itu, ialah: kelaparan atau keupayaan
(kekurangan upaya) menyediakan makanan secukupnya untuk keperluan seluruh manusia
yang mendiami buana ini.
Pada tahun 2050 nanti, bilangan
penghuni bumi ini memerlukan makanan sebanyak dua kali ganda daripada yang
diperlukan sekarang. Sehubungan dengan kesukaran untuk menghasilkan makanan dua
kali ganda itu ialah harga makanan yang semakin meningkat.
Satu laporan yang dibentangkan
dalam persidangan itu mengingatkan bahawa zaman makanan berharga murah (the era
of cheap food) sudah berlalu. Semuanya itu adalah ancaman yang sangat gawat
terhadap ekonomi dunia, terutama di negara-negara yang berpendapatan rendah.
Kerana itulah maka pembangunan
mampan (sustainable development) amat diperlukan untuk memastikan pengeluaran
makanan mencukupi dan kesejahteraan hidup terjamin. Maka, persidangan itu
memilih tema "Perkongsian Asia-Eropah untuk Pembangunan Mampan" (Asia-Europe
Partnership for Sustainable Development)
Daripada ucapan-ucapan utama
sidang pleno dan perbincangan-perbincangan khas sidang kelompok serta
kertas-kertas maklumat yang diedarkan, jelaslah bahawa pembangunan mapan itu
menghadapi banyak masalah. Ada masalah berpunca daripada bencana alam ,
terutama perubahan iklim dan mala petaka lain seperti tsunami, banjir besar,
gempa bumi dan musim kemarau yang berpanjangan.
Semua itu bukan sahaja mengancam
pembangunan mapan - dan dengan sendirinya mengancam usaha-usaha pengeluaran
makanan yang mencukupi - malah juga telah mengakibatkan ratusan juta penduduk
miskin di serata dunia mengalami korban nyawa dan harta benda. Hakikat itu
diperjelaskan lagi oleh Utusan Khas Setiausaha Agung PBB, Ms Margareta
Wahlstrom yang memaklumkan fakta dan angka berikut: Sepanjang 12 tahun lalu,
bencana alam mengorbankan tidak kurang daripada 1.1 juta nyawa di serata dunia,
terutama di negara-negara yang kurang maju. Harta benda yang musnah bernilai
tidak kurang daripada 1.3 trilion Dolar Amerika (AS$1.300,000,000,000). Dan
bilangan manusia yang menerima akibat secara langsung atau secara tidak
langsung ialah 2.7 bilion orang.
Sepanjang 2011 sahaja kerugian
ekonomi yang dialami oleh negara Asia-Pasifik akibat pelbagai bencana alam itu
mencapai angka AS$294 bilion.
Contoh yang lebih khusus lagi
ialah pengalaman pahit tuan rumah persidangan. Sepanjang tahun lalu sahaja,
akibat bencana alam terutama banjir, Laos mencatat korban nyawa manusia seramai
30 orang dan kemusnahan serta kerosakan harta benda bernilai 1,764 bilion kip
> AS$220.500.000. Banjir itu memusnahkan jalan raya, jambatan, sekolah,
hospital, kawasan pelancongan serta loji-loji bekalan air dan elektrik.
Satu contoh lain yang disebut
ialah nasib malang Pakistan yang dilanda banjir besar berulang-ulang sejak
beberapa tahun terakhir dan mengakibatkan 50 juta penduduk kehilangan rumah
tempat tinggal. Tentu sahaja turut musnah pelbagai infrastruktur yang lain.
Itulah antara contoh bencana alam
yang berpunca daripada perubahan iklim yang menjadi rintangan utama pembangunan
mampan. Selain itu disentuh pula masalah yang berpunca daripada tingkah dan
kerenah manusia: tamak haloba, bongkak dan angkuh serta perilaku yang tidak
rasional termasuk kecenderungan bertindak semata-mata kerana dorongan emosi.
Jika perubahan iklim
mengakibatkan eko-sistem yang tidak stabil, maka kerenah manusia menyebabkan
sistem politik tidak stabil dan kehidupan sosial menjadi kacau bilau. Ini
termasuklah pengurusan kewangan, termasuk hutang awam. Dan semuanya itu adalah
rintangan terhadap pembangunan mapan yang menyukarkan usaha menyediakan
makanan secukupnya untuk umat manusia.
Berkait rapat dengan kerenah
manusia itu adalah masalah jurang yang semakin melebar antara yang miskin dan
kaya yang turut mendapat perhatian dalam ucapan beberapa perwakilan. Umpamanya
perwakilan dari Indonesia, Haryono Isman, menyebut tentang pertumbuhan ekonomi
dunia daripada AS$34 trilion 20 tahun lalu kepada AS$64 trilion pada masa
sekarang. Begitu juga dalam masa 20 tahun itu perdagangan antara bangsa
berkembang menjadi tiga kali ganda kepada AS$28 trilion.
Tetapi pertumbuhan ekonomi dan
perkembangan perdagangan semata-mata tidaklah memadai dan tidak akan
menyelesaikan keseluruhan masalah jika tidak diikuti dengan pembahagian atau
pengagihan yang merata dan saksama.
"Ketidaksetaraan sekarang
semakin menjadi-jadi sama ada antara satu negara dengan negara lain atau antara
satu golongan dengan golongan lain dalam sesebuah negara," tegas Haryono.
Sehubungan dengan ketidaksetaraan
itu, perwakilan juga diingatkan bahawa lebih satu bilion orang, iaitu satu per
enam daripada seluruh penduduk dunia, sekarang sedang diancam oleh bahaya
kelaparan tegar.
Demikianlah masalah dan rintangan
yang dihadapi dalam usaha merealisasikan pembangunan mampan itu. Justeru
menyedari pelbagai masalah itulah maka perwakilan dalam persidangan tersebut
sepakat untuk meningkatkan kerjasama antarabangsa yang lebih produktif.
Sehubungan itu, Abu Zahar
menyarankan supaya persidangan tersebut dimanfaatkan "untuk terus memupuk
persamaan hasrat dan meneroka saluran-saluran kerjasama baru demi
merealisasikan matlamat dan kepentingan bersama.
Selaras dengan saranan Abu Zahar
itu, Persidangan ASEP di Vientiane tersebut dapat dianggap sebagai satu langkah
positif "memupuk persamaan" dan "meneroka saluran-saluran
kerjasama yang lebih kreatif dan produktif."
Persidangan itu memberi
kesempatan kepada para perwakilan bertukar-tukar nota dan pengalaman serta
memperluas horizon dan perspektif.
Dan bagi saya secara peribadi
kehadiran dan penyertaan dalam persidangan itu, telah menimbulkan sejenis
keinsafan dan sekali gus rasa syukur.
Pendedahan kepada pelbagai
masalah dan mala petaka yang di alami oleh negara-negara lain menyedarkan saya
tentang betapa beruntungnya penduduk dan negara Malaysia yang secara relatif
bebas daripada bencana alam, rata-rata bebas daripada kebuluran dan bebas
daripada belenggu kemiskinan tegar.
Sehubungan itu, dalam sesi
perbincangan mengenai isu-isu pengeluaran makanan, antara lain saya nyatakan:
"Untuk masa ini, Malaysia tidak mengalami sebarang masalah kelaparan.
Ekonomi negara kami masih berjaya membekalkan makanan untuk 28 juta orang
rakyat tempatan dan untuk dua juta orang lagi pendatang asing yang mencari
nafkah di negara kami".
Secara berkias saya bayangkan
bahawa Allah masih melindungi Malaysia daripada ditimpa pelbagai mala petaka
alam.
Yang membimbangkan sekarang
adalah mala petaka buatan manusia yang mengancam kestabilan politik dan menggugat
kerukunan hidup sosial dalam negara yang kami cintai.
Penulis ialah anggota delegasi
Malaysia dalam Persidangan ASEP 7 di Vientiane juga ialah Pakar Rujuk di
Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan