Oleh : NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my
AUTONOMI berasal daripada
perkataan Yunani yang bermaksud 'pentadbiran sendiri' iaitu satu konsep dalam
isu moral, perubatan, politik dan falsafah.
Namun, kebanyakan penduduk dunia
lebih mengenali maksud autonomi dari sudut politik iaitu pemerintahan sendiri
sebuah wilayah dalam sesebuah negara.
Beberapa perjuangan menuntut
autonomi terkenal kerana melibatkan pergolakan berdarah seperti di selatan
Filipina, selatan Thailand, Xinjiang Uighur di China dan banyak lagi.
Pergolakan selama 40 tahun yang
telah meragut lebih 120,000 nyawa di Filipina bagaimanapun berakhir menerusi
perjanjian penubuhan wilayah autonomi Bangsamoro antara pejuang Islam dan
kerajaan negara itu pada minggu ini.
Masalah tuntutan autonomi
bersenjata di beberapa negara lain bagaimanapun dijangka berterusan selagi
kedua-dua pihak gagal berkompromi mencari jalan tengah.
Namun, bukan semua perjuangan
autonomi memerlukan korban darah dan banyak daripadanya tidak dikenali umum
kerana melalui proses permohonan dan kelulusan yang lebih mudah.
Ada juga pemerintahan autonomi
yang tidak melibatkan wilayah tetapi merangkumi kawasan bandar, komuniti,
kawasan, republik, sektor, jajahan mahupun negara yang bergantung kepada
perlembagaan negara lain.
Selain itu, ada juga wilayah yang
diberi nama 'autonomi' tetapi tidak semestinya menggambarkan pentadbiran
sendiri yang bebas daripada kerajaan.
Penduduk beberapa wilayah di
negara-negara tertentu dilihat bangkit menuntut autonomi bagi memudahkan urusan
kawasan mereka, di samping menolak campur tangan pihak luar.
Ini kebiasaannya berlaku apabila
penduduk wilayah tersebut mencapai bilangan yang amat besar tetapi masih
tergolong dalam kumpulan minoriti terutamanya di negara-negara yang mempunyai
sempadan jajahan yang amat besar.
Boleh dikatakan tuntutan autonomi
yang munasabah tidak perlu mengangkat senjata selagi ada kerjasama dan kesediaan
berbincang ke arah jalan tengah yang menguntungkan semua pihak agar rakyat
tidak menderita.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan