PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin hari ini berkata, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 akan
dibentang kepada Kabinet Januari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri
Pelajaran berkata pelan yang lengkap kemudiannya akan dipersembah kepada Majlis
Raja-Raja untuk mendapat restu peringkat tertinggi itu, bagi pelaksanaannya
tahun depan.
"Pelan yang kini berada di
peringkat akhir setelah menerima laporan dan pandangan daripada pelbagai pihak,
sudah diterima supaya ianya dapat dilaksanakan untuk meningkatkan kualiti
pendidikan negara.
"Kita sudah banyak membuat
perbincangan. Saya fikir tidak ada satu pihak yang terkecuali.
"Jadi langkah ini agak
komprehensif dan lengkap dan sudah disediakan. Malahan kita tambah baik lagi
kalau ada kekurangan kita lihat dalam tempoh dua tiga bulan lepas,"
katanya pada sidang akhbar selepas majlis interaksi bersama Pegawai Tadbir dan
Diplomatik Muda di sini, hari ini.
September lepas Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan
operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.
Antara yang digariskan adalah
menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti dengan standard
antarabangsa, memastikan setiap pelajar fasih dalam Bahasa Malaysia dan
Inggeris, membangunkan rakyat Malaysia yang dipacu nilai murni dan menjadikan
perguruan sebagai profesion pilihan.
Mengenai bantahan pihak tertentu
termasuk Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia
(Dong Zong), Muhyiddin berkata, kementerian tidak mampu memuaskan hati semua
pihak.
"(Tetapi) kita sudah ambil
kira semua. Malah pandangan Dong Zong pun sebahagiannya sudah diambil kira
tentang status sekolah Cina, bantuan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan
Tamil.
"Bukan tujuan kita sediakan
blue print untuk puaskan Dong Zong, tetapi yang penting memuaskan rakyat,"
katanya. - Bernama
Hanyam mampu tersenyum :)
BalasPadam