PUTRAJAYA : Sekolah-sekolah di negeri yang terjejas banjir
mungkin terpaksa menangguhkan permulaan sesinya bagi tahun depan yang
dijadualkan pada 1 atau 2 Januari ini, kata Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran
Malaysia, Encik Sufa'at Tumin.
Bagaimanapun, keputusan itu akan
dibuat oleh para pengarah pendidikan negeri masing-masing berdasarkan kepada
maklumat daripada Majlis Keselamatan Negara dan Bilik Operasi Banjir.
"Kami akan melihat kepada suasananya
kerana masih ada seminggu lagi sebelum sekolah bermula. Banjir mungkin surut
ketika itu dan sekolah-sekolah boleh bermula seperti dirancang," kata
Encik Sufa'at kepada pemberita kelmarin seperti yang dilaporkan oleh agensi
berita Bernama .
Encik Sufa'at berkata
langkah-langkah telah diambil bagi memastikan peralatan dan perabot sekolah
seperti kerusi, meja dan komputer tidak rosak akibat banjir.
Sekolah-sekolah di Kedah,
Kelantan dan Terengganu akan memulakan sesinya pada 1 Januari ini, manakala
sesi sekolah negeri-negeri lain akan bermula pada 2 Januari.
Tempoh persekolahan dijangka
membabitkan 205 hari, termasuk hari cuti awam dan 84 hari cuti sekolah.
Sementara itu, sekitar 425,665
pelajar akan memulakan tahun pertamanya di sekolah rendah manakala 533,135
pelajar akan ke Tingkatan Satu.
Sejumlah 23 sekolah baru akan dibuka,
yang terdiri daripada 14 sekolah rendah, lapan sekolah menengah dan satu
sekolah sukan di Sabah.
Program Jawi, Al-Quran, bahasa
Arab dan Fardu Ain (j-Qaf) akan mula diluaskan kepada 2,053 sekolah yang
mempunyai pelajar Islam termasuk di sekolah kebangsaan aliran bahasa Cina dan
Tamil.
Bantuan Persekolahan Khas
sebanyak RM100 kepada pelajar sekolah menengah akan diagihkan mulai 15 Januari hingga 15
Februari ini.
Kementerian Pelajaran Malaysia
juga akan mengagihkan baucar buku bernilai RM250 mulai 1 Januari hingga 31 Mei
tahun depan kepada para pelajar prauniversiti dan institusi pengajian tinggi.
Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan