Selasa, 11 Disember 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : DILEMA GRADUAN


Oleh Ruhaiza Rusmin
    
KITA selalu mendengar keluhan dan rintihan graduan baru betapa sukarnya mencari pekerjaan walaupun mempunyai segulung ijazah.

Ternyata segulung ijazah yang diperoleh selepas berhempas pulas itu belum mampu menambat perhatian majikan menawarkan pekerjaan.

Pandangan skeptikal majikan masih tidak berubah tebal dengan andaian mereka tidak kompetitif, kurang matang, tidak sabar dan ego.

Akibatnya, graduan baru seperti keterlaluan menagih belas ihsan majikan demi mengharapkan satu pekerjaan.

Persoalannya, adilkah graduan dilabel begitu sedangkan mereka belum diberi peluang bekerja?

Bagaimana pula perasaan graduan baru apabila permohonan kerjaya ditolak tanpa pertimbangan?

Graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nur Izwa Nadhirah Kalal, 23, berkata dia amat kecewa majikan membuat andaian salah kemampuan graduan baru.

Menurutnya, biarpun majikan memegang kuasa autonomi, mereka usah mendiskriminasikan pemilihan pekerja.

“Semua graduan selepas tamat pengajian mahukan pekerjaan, namun menghadapi kerenah segelintir majikan yang tidak memahami memang mengecewakan.

“Mereka (majikan) perlu memberi peluang sama rata kepada kami, bukan menggunakan isu graduan baru tidak pandai bekerja sebagai alasan.

“Persoalannya, benarkah graduan baru tidak boleh bekerja atau majikan hanya melihat sekilas lalu atau mendengar cakap orang lain,” katanya.

Sebagai graduan baru, mereka bersemangat untuk bekerja, malangnya bukan semua mahu melihat kesungguhan mereka sebaliknya lebih suka mengkritik.

Ditanya tidak bolehkah mereka menerima kritikan, dia berkata, tiada masalah asalkan ia untuk kebaikan.

“Malangnya kebanyakan kritikan berbaur negatif dan seperti mahu meletak kesalahan pada kami seperti tidak boleh buat kerja, mahu gaji tinggi dan besar kepala.

“Mereka seharusnya melihat dulu keupayaan dan kebolehan kami sebelum membuat andaian itu.

“Sesiapa pun mahukan yang terbaik, malangnya penerimaan majikan sebaliknya,” katanya beranggapan apabila graduan baru tanpa pengalaman mengajukan permintaan, seolah-olah mereka megah dengan ijazah dimiliki.

“Saya tidak fikir graduan baru sentiasa bermegah dengan ijazah yang ada sebaliknya hanya mahu penjelasan.

“Malangnya persepsi majikan pula sebaliknya dan menganggap kami besar kepala.

“Akhirnya, permohonan ditolak menyebabkan kami terpaksa berhempas pulas mencari majikan lain,” katanya.

Isu majikan enggan ‘mempercayai’ kemampuan graduan bukan baru biar pun sokongan penambahbaikan diri dan kemahiran semakin dipelbagaikan.

Pengenalan modul bagi membina pengukuhan kemahiran insaniah seperti komunikasi dan jati diri antara pendekatan diperkenalkan bagi membantu graduan.

Bagaimanapun, isu tiada pengalaman, kursus tidak relevan selain kelemahan kemahiran diri masih tetap dijadikan alasan mengukur kemampuan graduan terbabit.

Akibatnya, mereka terpaksa menerima pekerjaan tidak setimpal kelulusan atau terpaksa menjadi penganggur terhormat.

Katanya, biar pun majikan mempunyai kuasa memilih pekerja, ia harus dilakukan dengan adil.

“Majikan belum lagi melihat kebolehan kami tapi sudah dinilai sebegitu. Adilkah?

“Betul, majikan ada kuasa memilih tapi berilah peluang atau menilai kami sewaktu tempoh percubaan. Jika tidak boleh, barulah ambil tindakan.

“Kalau semua majikan begitu, sampai bila pun kami tetap tidak memperoleh pekerjaan. Sia-sialah segala ilmu dan penat kami belajar,” katanya.

Rakannya, Nor Hashimah Hashim, 23, mengakui isu gender juga masalah besar bagi graduan baru.

Menurutnya, kalangan majikan berpendapat, graduan wanita tidak boleh melaksanakan tugasan dengan baik terutama jika membabitkan tugasan berbentuk fizikal berat.

“Ini juga satu masalah bagi graduan baru kerana ada majikan meletak persepsi bahawa tenaga dan kebolehan graduan wanita hanya terhad dalam lingkungan tertentu.

“Situasi ini menyebabkan permohonan kami ditolak biar pun dari segi kelayakan tiada masalah.

“Jika graduan baru lelaki berdepan cabaran penolakan, kami (graduan wanita) juga berdepan dilema sama malah mungkin lebih hebat,” katanya.

Dia tidak menafikan ada majikan prihatin dan tidak kisah isu remeh temeh, namun jumlahnya masih sedikit.

“Setiap tahun, lambakan graduan baru bertambah. Jika hanya sebahagian kecil saja diterima, itu tidak mencukupi,” katanya yang bagaimana pun mengakui ada graduan baru ‘bermasalah’.

“Mungkin kerana yang bermasalah inilah kami dicop serupa dan menerima tempias negatif.

“Tapi, saya beri jaminan, bukan semua begitu. Majikan usah termakan momokan dilemparkan hanya kerana seorang dua yang bermasalah,” katanya.

Dia juga berpendapat graduan baru hari ini berdepan konflik hebat meneruskan kehidupan.

“Dulu terpilih masuk universiti, masa depan sudah terjamin, kini sebaliknya berlaku.

“Universiti bukan lagi jaminan anda akan memperoleh kehidupan yang baik sebaliknya mengundang cabaran lebih hebat.

“Dengan sekeping ijazah, anda perlu bersaing dengan ribuan ijazah milik graduan lain semata-mata mahu memperoleh satu pekerjaan,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan