Oleh Ruhaiza Rusmin
KITA selalu mendengar keluhan dan
rintihan graduan baru betapa sukarnya mencari pekerjaan walaupun mempunyai
segulung ijazah.
Ternyata segulung ijazah yang
diperoleh selepas berhempas pulas itu belum mampu menambat perhatian majikan
menawarkan pekerjaan.
Pandangan skeptikal majikan masih
tidak berubah tebal dengan andaian mereka tidak kompetitif, kurang matang,
tidak sabar dan ego.
Akibatnya, graduan baru seperti
keterlaluan menagih belas ihsan majikan demi mengharapkan satu pekerjaan.
Persoalannya, adilkah graduan
dilabel begitu sedangkan mereka belum diberi peluang bekerja?
Bagaimana pula perasaan graduan
baru apabila permohonan kerjaya ditolak tanpa pertimbangan?
Graduan Universiti Sains Islam
Malaysia (USIM), Nur Izwa Nadhirah Kalal, 23, berkata dia amat kecewa majikan
membuat andaian salah kemampuan graduan baru.
Menurutnya, biarpun majikan
memegang kuasa autonomi, mereka usah mendiskriminasikan pemilihan pekerja.
“Semua graduan selepas tamat
pengajian mahukan pekerjaan, namun menghadapi kerenah segelintir majikan yang
tidak memahami memang mengecewakan.
“Mereka (majikan) perlu memberi
peluang sama rata kepada kami, bukan menggunakan isu graduan baru tidak pandai
bekerja sebagai alasan.
“Persoalannya, benarkah graduan
baru tidak boleh bekerja atau majikan hanya melihat sekilas lalu atau mendengar
cakap orang lain,” katanya.
Sebagai graduan baru, mereka
bersemangat untuk bekerja, malangnya bukan semua mahu melihat kesungguhan
mereka sebaliknya lebih suka mengkritik.
Ditanya tidak bolehkah mereka
menerima kritikan, dia berkata, tiada masalah asalkan ia untuk kebaikan.
“Malangnya kebanyakan kritikan
berbaur negatif dan seperti mahu meletak kesalahan pada kami seperti tidak
boleh buat kerja, mahu gaji tinggi dan besar kepala.
“Mereka seharusnya melihat dulu
keupayaan dan kebolehan kami sebelum membuat andaian itu.
“Sesiapa pun mahukan yang
terbaik, malangnya penerimaan majikan sebaliknya,” katanya beranggapan apabila
graduan baru tanpa pengalaman mengajukan permintaan, seolah-olah mereka megah
dengan ijazah dimiliki.
“Saya tidak fikir graduan baru
sentiasa bermegah dengan ijazah yang ada sebaliknya hanya mahu penjelasan.
“Malangnya persepsi majikan pula
sebaliknya dan menganggap kami besar kepala.
“Akhirnya, permohonan ditolak
menyebabkan kami terpaksa berhempas pulas mencari majikan lain,” katanya.
Isu majikan enggan ‘mempercayai’
kemampuan graduan bukan baru biar pun sokongan penambahbaikan diri dan
kemahiran semakin dipelbagaikan.
Pengenalan modul bagi membina
pengukuhan kemahiran insaniah seperti komunikasi dan jati diri antara
pendekatan diperkenalkan bagi membantu graduan.
Bagaimanapun, isu tiada
pengalaman, kursus tidak relevan selain kelemahan kemahiran diri masih tetap
dijadikan alasan mengukur kemampuan graduan terbabit.
Akibatnya, mereka terpaksa
menerima pekerjaan tidak setimpal kelulusan atau terpaksa menjadi penganggur
terhormat.
Katanya, biar pun majikan
mempunyai kuasa memilih pekerja, ia harus dilakukan dengan adil.
“Majikan belum lagi melihat
kebolehan kami tapi sudah dinilai sebegitu. Adilkah?
“Betul, majikan ada kuasa memilih
tapi berilah peluang atau menilai kami sewaktu tempoh percubaan. Jika tidak
boleh, barulah ambil tindakan.
“Kalau semua majikan begitu,
sampai bila pun kami tetap tidak memperoleh pekerjaan. Sia-sialah segala ilmu
dan penat kami belajar,” katanya.
Rakannya, Nor Hashimah Hashim,
23, mengakui isu gender juga masalah besar bagi graduan baru.
Menurutnya, kalangan majikan
berpendapat, graduan wanita tidak boleh melaksanakan tugasan dengan baik
terutama jika membabitkan tugasan berbentuk fizikal berat.
“Ini juga satu masalah bagi
graduan baru kerana ada majikan meletak persepsi bahawa tenaga dan kebolehan
graduan wanita hanya terhad dalam lingkungan tertentu.
“Situasi ini menyebabkan
permohonan kami ditolak biar pun dari segi kelayakan tiada masalah.
“Jika graduan baru lelaki
berdepan cabaran penolakan, kami (graduan wanita) juga berdepan dilema sama
malah mungkin lebih hebat,” katanya.
Dia tidak menafikan ada majikan
prihatin dan tidak kisah isu remeh temeh, namun jumlahnya masih sedikit.
“Setiap tahun, lambakan graduan
baru bertambah. Jika hanya sebahagian kecil saja diterima, itu tidak
mencukupi,” katanya yang bagaimana pun mengakui ada graduan baru ‘bermasalah’.
“Mungkin kerana yang bermasalah
inilah kami dicop serupa dan menerima tempias negatif.
“Tapi, saya beri jaminan, bukan
semua begitu. Majikan usah termakan momokan dilemparkan hanya kerana seorang
dua yang bermasalah,” katanya.
Dia juga berpendapat graduan baru
hari ini berdepan konflik hebat meneruskan kehidupan.
“Dulu terpilih masuk universiti,
masa depan sudah terjamin, kini sebaliknya berlaku.
“Universiti bukan lagi jaminan
anda akan memperoleh kehidupan yang baik sebaliknya mengundang cabaran lebih
hebat.
“Dengan sekeping ijazah, anda
perlu bersaing dengan ribuan ijazah milik graduan lain semata-mata mahu
memperoleh satu pekerjaan,” katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan