Oleh : Johardy Ibrahim
APLIKASI Jailbroken ialah
aplikasi yang diguna untuk mematikan perisian keselamatan Apple dalam telefon
pintar iPhone. Aplikasi itu memberi keupayaan untuk menambah ciri-ciri atau
aplikasi baharu yang mungkin merupakan isu yang belum dimuktamadkan oleh Apple,
selain memuat naik aplikasi yang tidak diluluskan atau cetak rompak.
Pada masa yang sama, tindakan
individu yang mematikan perisian keselamatan Apple pada gajet mereka itu,
mendedahkannya kepada ancaman keselamatan, sebagaimana yang terjadi semasa
penularan virus ikee pada tahun 2008.
Persoalan ini tidak menjadi
masalah bagi pengguna iPhone yang memilih untuk 'tidak mempedulikan risiko'.
Ini adalah kerana peluang untuk memuat turun pelbagai aplikasi secara percuma,
adalah lebih menarik!
Blackberry pula berharap model
terbaru yang bakal dilancarkan bulan depan itu, akan mengembalikan syarikat
Research In Motion (RIM) ke tahap yang berdaya saing setelah mengalami
kemerosotan kesan daripada populariti iPhone keluaran Apple dan Android milik
Google.
Di kalangan penganalisis telefon
pintar, BlackBerry dianggap memiliki perlindungan keselamatan terbaik di antara
semua telefon pintar yang terdapat di pasaran. Ketua Pegawai Teknologi
Neohapsis Labs, Steve Hunt merumuskan BlackBerry adalah 'mungkin pilihan
terbaik dalam soal keselamatan' dan mengesyorkannya bagi tujuan urusan
perniagaan.
Paling terbaru, RIM menerbitkan
senarai kata laluan yang ditegah dipakai bagi produk keluarannya kerana
dianggap sebagai 'sangat lemah'. Ia termasuk kata laluan seperti 123456,
snoopy, biteme, Internet, selain watak kartun Winnie the Pooh iaitu Tigger,
piglet dan poohbear, dan kata laluan paling kerap diguna kita semua: password.
Sila rujuk senarai penuh kata laluan dalam infografik. Jika kata laluan anda
guna sekarang ada tersenarai, silalah ubah.
Pengurus Kanan Produk bagi
Keselamatan BlackBerry di RIM, Tim Segato berkata, senarai tersebut telah
dikenal pasti oleh penyelidik industri sebagai kata laluan paling lemah yang
paling kerap digunakan. Menurutnya, larangan penggunaan kata laluan itu
merangkumi semua kata laluan bagi laman web syarikat, aplikasi dan
perkhidmatan. Namun larangan itu tidak meliputi kata laluan untuk individu
membuka gajet peribadi.
Senarai kata laluan BlackBerry
itu adalah sebahagian daripada usaha yang semakin lazim dilaksanakan oleh firma-firma
teknologi bagi memaksa para pengguna menyediakan kata laluan yang 'sukar'
kepada akaun Internet, terutama e-mel. Ini adalah kerana kebanyakan pengguna
Internet sama sekali tidak boleh dipercayai untuk mencipta kata laluan yang
'kuat' untuk diri mereka sendiri, kata pakar-pakar. Tahun lalu, Microsoft
mengharamkan kata laluan lemah dari perkhidmatan e-mel miliknya, Hotmail.
Google Wallet juga mengenakan larangan serupa.
Menguji
Senarai BlackBerry ini tidak
menyeluruh sebenarnya kerana banyak lagi cara para pengguna yang mendedahkan
diri kepada ancaman dengan mencipta kata laluan yang mudah. Penggodam kini
menggunakan perisian memecah-kata laluan percuma seperti John the Ripper untuk
menguji jutaan kata laluan yang lazim digunakan di laman-laman web yang telah
diceroboh.
Kegiatan seumpamanya begitu mudah
bagi penggodam kerana kebanyakan pengguna Internet hanya menggunakan kata
laluan yang diulang pakai banyak kali. Maka bila sesebuah kata laluan dicuri
dari sebuah pelayan syarikat telah diketahui, ia menjadi kunci kepada penggodam
untuk menceroboh akaun mangsa di syarikat lain.
Kaji selidik Microsoft pada 2007
mendapati purata pengguna Web memiliki 25 akaun berlainan tetapi hanya
menggunakan 6.5 kata laluan untuk melindungi mereka.
Pakar keselamatan Internet
berkata, para pengguna wajib mencipta kata laluan yang panjang dan rumit,
diadun dengan perkataan dan nombor, serta menggunakan kata laluan berlainan
bagi akaun berbeza untuk mengelakkan penggodam mengesannya dan mengakibatkan
malapetaka kepada kehidupan digital mereka.
Mungkin kebanyakan daripada kita
malas hendak 'menguatkan' lagi kata laluan internet kita. Cuba lihat daripada
aspek berikut: anda menggunakan kata laluan e-mel anda, sama untuk Facebook dan
Twitter dan blog. Satu sahaja daripadanya yang diterobos oleh penceroboh maya,
segala data keselamatan anda terancam.
Ini bukan senario enteng yang
anda ingat tidak akan berlaku pada anda atau tidak memberi impak kepada anda.
Lihat sahaja bagaimana mudahnya penggodam berjaya mencuri dan menggunakan nama
akaun seseorang untuk menghantar virus kepada kawan-kawannya menerusi Facebook
atau Twitter.
Namun saya pasti ramai akan
berfikiran bahawa 'sangat sukar untuk mengingati kata laluan berlainan untuk
pelbagai kegunaan Internet'. Anda tidak salah. Apatah lagi untuk mengingati
kata laluan yang sangat kompleks seperti s^b#+.br.0A atau perkataan Inggeris
yang jarang anda guna seperti Onomatopoeia, Conscientiously, Organoleptic.
Memang sukar tetapi kita kini
berada dalam dunia Internet. Malas atau tidak, kita tidak ada pilihan,
melainkan anda guna Internet sekali sebulan sahaja. Bagi anda yang merupakan
pengguna harian, anda mesti laksanakan langkah keselamatan sewajarnya, supaya manfaat
Internet boleh dinikmati secara penuh, lengkap dan memuaskan.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan