SEPANG - Kerajaan hari ini
melancarkan 'Graduate Employability Blueprint 2012-2017' (Rangka Tindakan
Kebolehpasaran Siswazah) bagi menangani isu tenaga kerja mahir dan profesional
negara.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk
Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pelan itu menggariskan empat intipati
membabitkan sistem pengajian yang berupaya melahirkan modal insan berkualiti;
berdaya saing secara global dan memenuhi keperluan negara; dan mampu
menyediakan peluang kerjaya impian kepada siswazah.
Pelan itu juga akan memastikan
wujud satu kurikulum yang mampu melahirkan individu yang bukan hanya pakar
dalam ilmu pengetahuan tetapi juga berkualiti serta mempunyai sifat yang
diperlukan dalam bidang pekerjaan, katanya ketika berucap melancarkan pelan itu, di
sini.
Menurut Mohamed Khaled, pelan itu
juga bertujuan mewujudkan sistem pengajian yang dapat bertindak secara berkesan
terhadap perubahan ekonomi dan peluang pekerjaan di negara ini.
Katanya sebuah jawatankuasa
ditubuhkan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan rangka tindakan itu.
Selepas enam tahun pelaksanaan,
rangka tindakan itu akan dinilai, katanya.
Bagi menyokong kelancaran
pelaksanaan rangka tindakan itu, beberapa program kebolehpasaran graduan dan
kebolehdapatan kerja dilaksana, antaranya Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE),
iaitu program kerjasama antara universiti dan industri, katanya.
"Sehingga kini enam ICoE
ditubuhkan dalam bidang automotif, elektrik dan elektronik serta pemborongan
dan peruncitan iaitu ICoE-Infineon dengan Universiti Malaysia Perlis,
ICoE-Infineon dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka, ICoE-Sapura dengan Universiti
Malaysia Pahang (UMP), ICoE-Miyazu dengan UMP, ICoE-Mydin dengan Universiti
Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi Mara, dan ICoE-MRCA dengan UUM
dan Kolej Universiti Segi," katanya.
Bercakap kepada pemberita
kemudian, Mohamed Khaled berkata diharapkan dengan pelaksanaan pelan itu,
segala masalah yang dibangkitkan industri selama ini berhubung tenaga kerja
yang dikeluarkan universiti tempatan dapat ditangani. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan