Rabu, 11 Januari 2012
ISU PENDIDIKAN : Pemilihan murid ke SBP berdasar syarat ditetap KPM
KPM mengucapkan terima kasih kerana keprihatinan masyarakat terhadap pemilihan pelajar ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP).
Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, KPM hanya menguruskan kemasukan dan penempatan murid di SBP manakala penempatan murid di Sekolah Berprestasi Tinggi, Sekolah Kluster Kecemerlangan dan Sekolah-sekolah kawalan negeri diuruskan oleh Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing.
Pemilihan murid ke Tingkatan 1 di SBP adalah berdasarkan syarat dan kriteria yang telah ditetapkan oleh KPM iaitu:
* Warganegara Malaysia;
* Murid dari Sekolah Kebangsaan/Bantuan Penuh Kerajaan;
* Memperoleh keputusan 5A atau 4A, 1B dalam UPSR dengan mata pelajaran sains dan matematik memperoleh gred A;
* Memperoleh keputusan 3A2B dalam UPSR bagi murid dalam golongan miskin tegar; dan
* Pencapaian aktif dalam kokurikulum.
Walau bagaimanapun, bilangan murid yang mencapai prestasi cemerlang dalam UPSR dan kokurikulum, semakin meningkat dari setahun ke setahun.
Jumlah permohonan ke SBP yang diterima oleh KPM juga meningkat berbanding bilangan tempat yang ditawarkan.
Pada tahun ini, permohonan ke Tingkatan 1 di SBP yang diterima oleh KPM ialah 99,765 untuk kemasukan ke 57 buah SBP, dan bilangan tempat yang dapat ditawarkan di SP ialah 7,657.
Sehubungan itu, KPM telah melaksanakan proses pengambilan murid berdasarkan merit yang merangkumi:
* Pencapaian akademik:
* Pencapaian kokurikulum:
* Pencapaian khas seperti aspek kepemimpinan; dan
* Status sosioekonomi keluarga.
KPM telah menyediakan peluang untuk permohonan ke Tingkatan 1 di SBP, yang tidak berjaya mengemukakan rayuan melalui talian e-rayuan di Portal Rasmi KPM iaitu di laman sesawang http//www.moe.gov.my bermula 14 Disember 2011 hingga 4 Januari 2012 .
Sekiranya pemohon memenuhi syarat dan kriteria yang telah ditetapkan oleh KPM, permohonan mereka boleh dipertimbangkan jika terdapat kekosongan tempat di SBP.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Kementerian Pelajaran Malaysia
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU BAHASA : Kekeliruan penggunaan bahasa
Faktor penyatuan bangsa dan kesopanan terpinggir
KEKELIRUAN penggunaan bahasa yang berbeza mengikut etnik boleh menimbulkan tanggapan yang tidak sihat ke arah penyatuan bangsa sehingga ia perlu ditangani secara akademik untuk membuka ruang saling memahami.
Persoalan ini dan hal berkait rapat dengan aspek kesopanan yang menjadi jati diri bangsa di gugusan kepulauan Melayu ini antara yang disorot pada Persidangan Linguistik ASEAN V di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Selain persoalan yang bersifat setempat, persidangan anjuran Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan DBP itu, turut merentas sempadan serantau apabila melihat realiti pengembangan bahasa Melayu di luar negara yang turut berkait rapat dengan kedudukan bahasa berkenaan di buminya sendiri.
Ketua Program Bahasa Melayu dan Linguistik, Universiti Brunei Darussalam, Dr Azmi Abdullah, berkata kekeliruan yang berpunca daripada aspek kebahasaan dalam komunikasi perlu ditangani untuk mengelakkan pergeseran sosial.
“Tanggapan terhadap penggunaan bahasa yang kedengaran kasar pada etnik lain bukan bibit penyatuan yang positif, sekiranya arah atau hala tuju sosial adalah mewujudkan masyarakat nasional yang utuh dan harmoni.
“Kekeliruan yang berpunca daripada aspek kebahasaan seperti ini tidak boleh dibiarkan begitu saja dan perlu diperjelaskan dengan tuntas agar punca pergeseran sosial dapat dileraikan pada tahap dasar dan cara lebih wajar,” katanya ketika membicarakan Linguistik Bahasa (+) Hormat Dan Bahasa (-) Hormat: Satu Tinjauan Pragmatik Silang Budaya.
Dr Azmi meninjau komunikasi silang budaya antara etnik Kedayan dengan Melayu Brunei yang membabitkan penggunaan kata panggilan ‘kau’ yang digunakan secara meluas dan biasa dalam masyarakat Kedayan, tetapi turut diucapkan apabila berkomunikasi dengan etnik lain.
“Apabila ia berlaku, Melayu Brunei cenderung menanggapi penutur dialek Kedayan sebagai orang atau komuniti yang berbahasa kasar atau kurang sopan, walaupun tanggapan ini mungkin tidak diluahkan secara terus-terang.
“Berdasarkan pengalaman dan pengamatan saya, tanggapan seperti ini lebih sesuai diistilahkan sebagai ‘dakwaan’ saja,” katanya.
Ini kerana, kata Dr Azmi, dakwaan itu kurang mendapat penjelasan yang wajar tentang bagaimanakah rasionalnya dakwaan yang dilemparkan seperti itu dapat diterima oleh komuniti masing-masing.
“Apabila berlaku pergeseran sosial ketika pertembungan silang budaya, penutur dialek Kedayan mungkin akan mengatakan, ‘itulah bahasa kami’ atau ‘itulah cara kami berbahasa’.
“Walhal, jauh dalam hati penutur dialek Melayu Brunei mungkin akan mengatakan ‘Ah! Memang mereka (komuniti/puak) ini bahasanya kasar,” katanya.
Pandangan Dr Azmi itu bertepatan dengan pandangan Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Dan Kesusasteraan Melayu UKM, Sa’adiah Ma’alip yang mengkaji sistem panggilan kekeluargaan Orang Asli Temuan di Desa Temuan, Pusat Bandar Damansara, Petaling Jaya.
“Hasil kajian menunjukkan kebanyakan responden bersetuju kata panggilan kekeluargaan perlu dipertahankan dan terus digunakan bagi mencerminkan sesuatu budaya yang unik dengan mempunyai kata-kata yang khusus dalam memanggil atau menyapa seseorang.
“Melalui kata panggilan kekeluargaan juga dapat menggambarkan nilai keutuhan dan mengeratkan tali persaudaraan dalam sesebuah keluarga, sekali gus berfungsi bagi melahirkan perasaan hormat-menghormati di kalangan ahli keluarga tanpa mengira taraf hidup seseorang,” katanya.
Sa’adiah berkata, masyarakat Orang Asli Temuan menggunakan kata panggilan seperti Wak, Tahak, Mamak, Get dan Bah bagi menyapa atau memanggil bapa saudara mereka yang dalam budaya Melayu dipanggil Pak Long, Pak Ngah, Pak Lang, Pak Anjang, Pak Cik dan Pak Usu.
“Bagi kata panggilan yang merujuk kepada emak saudara, masyarakat Melayu menggunakan kata panggilan seperti Mak Long, Mak Ngah, Mak Anjang, Mak Cik dan Mak Usu, manakala Orang Asli di tempat kajian pula menggunakan Tahak, Inak dan Gauk.
“Panggilan bagi datuk dan nenek mereka juga memperlihatkan bentuk berbeza, iaitu Ninik bagi menyapa atau memanggil datuk dan Genui (nenek),” katanya.
Beliau berkata, masyarakat Orang Asli yang mengamalkan adat resam dan kesopanan dalam pertuturan yang menyamai orang Melayu, seseorang itu harus cekap dalam pemilihan kata-kata sapaan yang sesuai semasa bertutur atau berhubung dengan individu tertentu.
“Jika pemilihan kata-kata berkenaan tidak bersesuaian akan menyebabkan wujudnya suasana yang tidak menyenangkan antara kedua-dua belah pihak,” katanya.
Selain isu kesopanan dalam bahasa, persidangan itu turut menyorot sejarah pembinaan dan pengembangan program pengajian bahasa Melayu di luar negara khususnya di Korea Selatan.
Di sebalik Universiti Pengajian Bahasa Asing Hankuk sudah menubuhkan Jabatan Bahasa Melayu-Indonesia sejak 1960 lagi, Pemegang Kursi Pengajian Melayunya, Prof Dr Zaharani Ahmad, berkata pelajarnya lebih berminat untuk membuat program 1 semester di Indonesia berbanding Malaysia.
“Daripada temu bual dengan beberapa pelajar, kebanyakannya berpandangan kemahiran berbahasa mereka lebih baik ketika berada di Indonesia disebabkan bahasa Indonesia digunakan sepenuhnya dalam aktiviti seharian.
“Di negara ini sebaliknya pula kerana orang ramai lebih suka berbahasa Inggeris, sekali gus tidak membantu mempertingkatkan kemahiran bahasa Melayu mereka,” katanya.
Selain itu, Prof Zaharani berkata, faktor kos sara hidup yang lebih murah juga mendorong pelajar memilih Indonesia daripada Malaysia, selain peluang pekerjaan yang lebih terbuka di Indonesia kerana wujudnya perusahaan dan perkilangan Korea yang banyak di sana, iaitu sekitar 700 perusahaan berbanding Malaysia (100).
Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU PENDIDIKAN : Krisis pendidikan dunia boleh cetuskan konflik global
MASYARAKAT dunia masih mengharapkan masa depan dunia pendidikan memberi impak positif selepas dibelenggu pelbagai isu tahun lalu.
Ia diharap menjadi titik-tolak meningkatkan mutu pendidikan secara keseluruhan selain memberi manfaat kepada pelajar
Pengarah Bersekutu Kanan Institut Kebangsaan Kepimpinan Akademik, New York, Amerika Syarikat, Paula P Brownlee, berkata pemerhatian, tumpuan dan pengharapan itu sepatutnya menjadi ‘peringatan’ kepada pentadbir untuk melaksanakan tanggungjawab lebih berdedikasi bagi memastikan tiada lagi isu panas terpalit dalam dunia pendidikan hingga merosakkan kredibiliti.
Dengan merujuk kepada kegagalan menangani segala masalah berbangkit, beliau bersetuju mereka seharusnya bersikap lebih sensitif terutama dalam urusan tradisi iaitu melahirkan pelajar serba boleh.
“Sudah tentu ia bukan tugas mudah, namun persoalannya, adakah barisan pentadbir sudah ada persiapan menuju destinasi itu?
“Pendidikan bukan cabang yang boleh dijadikan uji kaji secara rawak ia ada aturan, perancangan serta piawaian yang perlu diikuti. Dibelenggu isu besar sekalipun, asasnya ialah berusaha melahirkan pelajar terbaik demi masa depan mereka,” katanya.
Pengharapan masyarakat itu bagai ingin memadamkan kisah tahun lalu yang dibelenggu masalah bajet, imigrasi, jenayah serta prejudis dunia pendidikan terhadap sekelompok pelajar.
Akibatnya banyak sasaran tidak tercapai, keselamatan terancam selain ketidakadilan dalam pelaksanaan tanggungjawab lantas menyukarkan usaha meraih keyakinan masyarakat bahawa dunia pendidikan masih ampuh.
AS tersenarai sebagai sebuah negara yang mempunyai kadar kenaikan yuran paling tinggi dengan menanggung perbelanjaan minimum setiap pelajarnya di institusi pendidikan awam kira-kira RM38,000 setahun.
Kenaikan itu bukan saja menyusahkan terutama kepada golongan berpendapatan rendah malah mengejutkan banyak pihak kerana hanya dalam tempoh tiga dekad saja kadar kenaikan perbelanjaan persekolahan meningkat dua kali ganda.
Menurutnya, pendidikan yang baik pasti boleh memberi manfaat kepada semua sebaliknya apa yang berlaku semakin menyukarkan keadaan hingga menyebabkan dunia pendidikan gagal menjalankan fungsinya secara menyeluruh.
“Ini tidak bertepatan matlamat pendidikan sebaliknya hanya menambahkan bebanan dan kesusahan. Sudah semestinya ia salah dan mesti diperbetulkan.
“Pelaburan berbaloi ialah apabila dapat memberi pendidikan yang baik, mereka akan memulangkannya semula kepada negara juga masyarakat. Malangnya itu tidak berlaku kerana masyarakat terpaksa berdepan isu lain digembar-gemburkan sebagai satu keutamaan.
“Hakikatnya, pendidikan adalah inti pati utama yang perlu diperkukuhkan terlebih dulu sebelum tumpuan pada yang lain, namun tidak ramai menyedarinya sebaliknya menganggapnya sebagai keperluan semata-mata,” katanya yang turut kesal apabila terdapatnya jurang pendidikan yang sepatutnya dinikmati sama tara.
“Jurang itu sepatutnya tidak wujud jika pentadbir berani bertindak seperti mempertahankan hak setiap pelajar biarpun banyak alasannya. Jika mereka memperolehnya, adakah ia bermutu dan boleh membantu pada masa depan?
“Banyak persoalan, kekeliruan perlu diselesaikan biarpun remeh-temeh.
Masyarakat berhak dan perlu diberitahu mengenainya supaya persediaan boleh diambil jika krisis atau kemelut berlaku,” katanya.
Beliau turut melahirkan kegusaran kerana kebanyakan negara berdepan krisis pendidikan dengan jutaan pelajar tidak menerima pendidikan sempurna yang memungkinkan mereka gagal dalam kehidupan.
“Ia mencetuskan konflik global dan jika tidak ditangani, ia akan mengakibatkan mereka yang tidak bersalah menjadi mangsa. Lebih buruk, dengan ketidakupayaan itu akan mengakibatkan kualiti pendidikan menjunam dan usaha melahairkan rakyat berpendidikan gagal,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui ada peningkatan tertentu yang tidak boleh disangkal terutama dalam penghasilan pelajar dan institusi peringkat tinggi.
Menurutnya, jumlah jurnal bermutu dihasilkan, peningkatan penyelidikan serta kepercayaan pelabur yang konsisten terhadap kemampuan institusi juga membantu menjaga reputasi dunia pendidikan daripada terus dipandang serong.
“Sedikit sebanyak ia menjadi penawar kepada masyarakat untuk tidak terus menaruh persepsi buruk kepada dunia pendidikan. Paling penting, semua pihak perlu bersatu dan menyokong tanpa mempertikaikan kebenaran atau kesalahan antara satu sama lain. Jadikan pendidikan sebagai platform untuk bersatu,” katanya.
Beliau berharap pihak yang menerima pujian tidak lupa diri dan mempertingkatkan pencapaian sedia ada sebagai persiapan lebih dinamik berdepan perubahan institusi dan cabarannya.
“Biarpun dipuji, institusi perlu meningkatkan kualiti program pembelajaran, penyelidikan dan khidmat kepada masyarakat bagi mencapai misi optimum dunia pendidikan. Kegagalan bermakna mereka akan memusnahkan masa depan masyarakat sendiri,” katanya.
Susunan Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
Sumber : http ://www.hmetro.com.my/