Ahad, 22 Januari 2012
NAGA OH NAGA ...
Dalam Kamus Dewan, naga ditakrifkan sebagai sejenis makhluk rekaan berupa seperti buaya atau ular tetapi bersayap dan berkuku cekam yang boleh menghembuskan api dari mulutnya. Bagi masyarakat Melayu, sebenarnya naga tidak begitu asing. Hal ini terbukti apabila kita meneroka khazanah silam masyarakat Melayu, iaitu peribahasa dan pantun, naga diungkapkan dengan jelas dan mempunyai maksud tertentu . Bersempena Tahun Naga ini marilah kita meneliti beberapa peribahasa dan pantun Melayu tentang naga.
PERIBAHASA :
i. Naga ditelan ular lidi maksudnya anak orang bangsawan yang berkahwin dengan orang kebanyakan.
ii. Seekor cacing menelan naga maksudnya orang yang berkuasa dapat dialahkan oleh orang yang lemah.
iii. Cacing menelan naga maksudnya anak orang bangsawan diperisteri oleh orang kebanyakan; orang yang berkuasa dapat dialahkan oleh orang yang lemah.
iv. Cacing menjadi ular naga maksudnya orang hina menjadi orang mulia.
v. Cacing hendak menjadi naga maksudnya orang kecil hendak menyama-nyamai orang besar-besar.
vi. Bercintakan geliga di mulut naga maksudnya mengharapkan sesuatu yang mustahil.
vii. Seperti bulan dimakan rahu maksudnya memeluk kekasih dengan asyik sekali.
*[rahu = ular naga yang dipercayai menyebabkan gerhana bulan (matahari)].
(Sumber : Kamus Istimewa Peribahasa Melayu)
PANTUN :
Kalau begini naga-naganya,
Naga hidup kita kan lari;
Sungguh begini dagang rasanya,
Badan hidup separuh mati.
Kalau begini naga-naganya,
Kayulah hidup dimakan api;
Kalau begini rasa-rasanya,
Dari hidup baiklah mati.
Pulau Tioman Lautan Cina,
Asalnya naga mati berhempas;
Sungguh nampak bena tak bena,
Dalam hati haram tak lepas.
Kinabalu bertanggalah pati,
Ambil gemala di mulut naga;
Jikalaulah sudah kehendak di hati,
Mahal dan murah turuti harga.
Kinabalu bertangga peti,
Ambil gemala di mulut naga;
Kalau sudah paksa di hati,
Mahal murah baik harga.
Mustika embun tinggi warga,
Dikulum anak Raja Naga;
Tak termasuk pada sangka,
Mata tidur bantal berjaga.
Kinabalu bertanggalah pati,
Ambil kumala di mulut naga;
Jikalaulah sudah kehendak di hati,
Mahal dan murah turuti harga.
Kinabalu bertangga peti,
Ambil kumala di mulut naga;
Jikalau sudah kata di hati,
Tepian hidup terus dicuba.
Cina melompat lautan api,
Merebut gemala di mulut naga;
Asal mendapat kehendak hati,
Mahal murah dibayar harga.
Ada satu raja Makasar,
Cukup dengan rakyat menteri;
Jangan dipanah naga yang besar,
Naik ke darat karam sekali.
Sayang cempaka dipukul ribut,
Jatuh mari tanah seberang;
Di mulut naga lagi kurebut,
Inikan pula di tangan orang.
Pokok rambutan dipukul ribut,
Hanyut sampai hutan seberang;
Di mulut naga alang kurebut,
Inikan pula di tangan orang.
(Sumber : Kurik Kundi Merah Saga)
ISU KEBUDAYAAN : Pelbagai kejutan diramal warnai Tahun Naga
Oleh Manja Ismail
manja@nstp.com.my
Usah jadikan sambutan Tahun Baru Cina medan tambah jumlah nahas
HARI ini adalah tanggal pertama Tahun Naga Air, yang disambut oleh masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Malah, di negara ini, sambutan Tahun Baru Cina menjadi perayaan kedua terbesar selepas Aidilfitri dengan cuti rasmi dua hari, menyebabkan lebuh raya dan jalan Persekutuan sesak kerana warga kota tanpa mengira kaum pulang ke kampung atau keluar bercuti. Kebetulan cuti Tahun Baru Cina kali ini bersambung dengan hujung minggu, maka berlakulah kesesakan dan jumlah kemalangan yang lebih daripada kebiasaan.
Naga ialah haiwan kelima dan satu-satunya binatang dongengan daripada 12 haiwan dalam zodiak Cina. Bagi masyarakat Cina, Tahun Naga ialah tahun bertuah kerana haiwan itu menjadi lambang kejayaan dan kebahagiaan. Setiap kali kedatangan Tahun Naga juga mencetuskan fenomena kelahiran bayi lebih tinggi, khususnya dalam kalangan masyarakat Cina. Ini kerana kepercayaan bayi Tahun Naga kononnya bakal memiliki keberanian dan kebijaksanaan selain mempunyai ciri positif – keusahawanan, artistik, inovatif, berkuasa, bertuah, bersemangat dan intuitif, walaupun bersifat angkuh, tidak berhati perut dan cepat marah.
Walaupun Tahun Naga sering dikaitkan dengan tuah, kedatangan Tahun Naga Air disambut dengan kebimbangan oleh masyarakat Cina dan pakar Feng Shui. Ini kerana energi kehidupan naga air menurut kepercayaan Feng Shui, sentiasa mencetuskan perubahan besar sama ada berunsurkan positif atau sebaliknya.
Menurut kebanyakan pakar Feng Shui, Tahun Naga Air 2012 (berdasarkan perhitungan mereka bermula pada 4 Februari) bakal membawa banyak perubahan kerana berlaku pertembungan antara unsur air dengan unsur bumi. Selain meramalkan berlaku bencana alam besar, ekonomi dunia yang tidak menentu, Tahun Naga Air juga diramalkan menyaksikan beberapa perubahan dalam bidang politik di seluruh dunia.
Kali terakhir Tahun Naga Air muncul ialah pada 27 Januari 1952 hingga 13 Februari 1953. Antara peristiwa besar dicatat pada tempoh itu ialah Ratu Elizabeth II ditabalkan dan bersemayam hingga kini; drama Mousetrap yang diadaptasi daripada karya Agatha Christie dibuka di London dan memecah rekod sebagai produksi drama terpanjang dalam sejarah. Tahun Naga Air pada 1952 juga menyaksikan penciptaan dua senjata pemusnah terbesar dalam sejarah – bom hidrogen dan pesawat pengebom B-52 yang kemudian digunakan dalam Perang Vietnam.
Di Malaysia, beberapa pakar Feng Shui tempatan meramalkan sektor hartanah dijangka lebih memihak golongan pembeli kerana harganya yang dianggap keterlaluan sekarang, agak lebih stabil tahun ini, manakala keadaan ekonomi negara walaupun agak perlahan, tidaklah seburuk negara lain. Pakar Feng Shui terkenal, Kenny Hoo daripada Good Feng Shui Geomantic Research menamakan Tahun Naga 2012 sebagai ‘Revival Year’ kerana negara bakal mencapai tahap lebih tinggi selepas mengalami pelbagai kesukaran. Beliau meramalkan berlaku pelbagai perubahan dan kejutan dalam semua bidang termasuk politik, sosioekonomi, cara berfikir, perkhidmatan dan perhubungan.
Walaupun air turut dikaitkan dengan suhu yang lebih sejuk, tiada siapa dapat meramalkan mengenai suhu politik negara pada Tahun Naga Air ini. Yang pasti, ‘gurauan’ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap pada program Turun Padang di Parlimen Wangsa Maju pagi Jumaat lalu, memanaskan lagi suhu Pilihan Raya Umum Ke-13, yang dipercayai ramai akan diadakan tahun ini. “Mudah-mudahan Tahun Naga ini tahun yang beruntung. Tahun Naga tahun baik untuk buat pilihan raya,” katanya sambil menambah sejurus selepas itu “... Ataupun tahun depan.”
Apa pun ramalan mengenai Tahun Naga Air dan sama ada kita mempercayai atau tidak, harapan sempena Tahun Baru Cina ini ialah agar rakyat tanpa mengira kaum dan agama, dapat terus hidup dengan semangat muhibah serta mengecapi nikmat keamanan, kemakmuran dan kestabilan. Gong Xi Fa Cai.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU UMUM : 2,077 pusat asuhan beroperasi secara haram
KUALA LUMPUR 22 Jan. - Sebanyak 2,077 pusat asuhan kanak-kanak dikenal pasti beroperasi secara haram di seluruh negara.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Heng Seai Kie berkata, pihaknya tiada pilihan selain membenarkan pusat terbabit beroperasi tanpa permit bagi menjaga kepentingan ibu bapa yang menghadapi kesukaran mendapatkan pengasuh untuk anak mereka.
Menurutnya, operasi dan pengurusan pusat asuhan terbabit akan dipantau dari semasa ke semasa oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan pengusaha mematuhi peraturan seperti faktor kebersihan dan keselamatan dalam premis.
"Jika dibandingkan dengan bilangan pusat asuhan kanak-kanak yang berdaftar pada masa ini, cuma ada 777 buah berbanding 2,077 pusat yang belum berdaftar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kematian dua bayi lelaki, Muzaffar Mohd. Faizal, tiga bulan dan Arif Amsyar, tujuh bulan yang ditinggalkan di sebuah pusat asuhan di Taman Permata, Ampang, Khamis lalu, dipercayai akibat tersedak susu.
Selain itu, menurut Seai Kie, kegagalan pengusaha mendapatkan permit operasi pusat asuhan disebabkan halangan daripada penduduk setempat yang tidak membenarkan premis seperti itu beroperasi di kawasan mereka.
Katanya, kebenaran penduduk berhubung permohonan perkara itu perlu diperoleh sebelum Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Kesihatan melakukan pemeriksaan premis bagi memastikan permohonan mematuhi Akta Pusat Jagaan Kanak-kanak 1994 dan Akta Taska 1994.
Kata beliau, masalah itu dijangka diatasi pada masa terdekat melalui usaha pihaknya menubuhkan pusat sehenti bagi membantu memudahkan pengusaha pusat asuhan terbabit mendapatkan permit.
''Kita tidak boleh melonggarkan atau mengubah peraturan sedia ada semata-mata mahu memudahkan pengusaha mendapatkan permit memandangkan perkara ini melibatkan soal keselamatan dan kesihatan anak-anak.
''Kementerian juga dilihat tidak mahu berkeras dalam tindakan penguatkuasaan terhadap pengusaha premis pusat asuhan tanpa lesen kerana kita tidak mahu ibu bapa mengalami kesukaran ekoran tindakan seperti ini," katanya.
Mengenai tindakan terhadap pengusaha pusat asuhan pada insiden Khamis lalu, Seai Kie berkata, kertas siasatan kes itu telah dibuka dan pihaknya sedang mengumpul bukti berhubung kegagalan pihak berkenaan mematuhi peraturan sedia ada.
Kata beliau, selain kemungkinan berhadapan pendakwaan di mahkamah, pengusaha terbabit boleh dikompaun tidak lebih RM5,000 kerana menjalankan operasi pusat asuhan tanpa kebenaran JKM.
Pada masa sama, Seai Kie menasihatkan ibu bapa agar tidak terlalu terdesak dengan menghantar anak-anak mereka ke pusat jagaan yang tidak diketahui status operasinya tanpa merujuk terlebih dahulu dengan JKM.
Sementara itu, Polis sudah merakam keterangan tujuh individu bagi membantu siasatan berhubung kematian dua bayi di pusat asuhan Taman Permata di sini Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, individu berkenaan termasuk pemilik dan penjaga pusat asuhan itu selain keluarga dua bayi berkenaan.
"Setakat ini, punca sebenar kematian dua bayi terbabit masih belum dapat dikenal pasti berikutan laporan bedah siasat masih belum diperoleh. Kita tunggu laporan itu untuk siasatan seterusnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU GEOGRAFI : Titik tengah Semenanjung
Oleh Rosli Abdul Jalil
bhnews@bharian.com.my
PERNAHKAH anda terfikir di manakah kedudukan sebenar titik tengah Semenanjung Malaysia serta apakah kepentingannya kepada negara dan penduduk setempat? Sebelum ini, ada dua pendapat popular mengenai kedudukan sebenar titik tengah Semenanjung Malaysia iaitu di daerah Lipis dan Kampung Kertau, Maran di Pahang.
Kampung Belimbing yang terletak di Lipis dianggap titik tengah Semenanjung Malaysia sejak pemerintahan Inggeris lagi. Malah, jika berkunjung ke lokasi ini, anda boleh menemui batu penanda `0' kilometer yang menjadi rujukan jarak ke seluruh negeri di Semenanjung.
Bagaimanapun, penentuan titik tengah pada era itu dikatakan tidak begitu tepat. Ini kerana ia sekadar menjadi titik rujukan pemerintah Inggeris dan bukannya titik sebenar.
Pada masa sama, Kampung Kertau di Maran pula dikatakan sebagai titik tengah sehingga menimbulkan pertikaian di kalangan ahli akademik yang gagal mencapai kata putus mengenai kedudukan sebenar titik istimewa ini.
Namun, sehingga 2009, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) melakukan kajian komprehensif untuk menentukan titik tengah sebenar Semenanjung Malaysia dengan menggunakan beberapa kaedah.
Bekas Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Sallehuddin Ishak berkata, JUPEM menggunakan tiga kaedah untuk menentukan lokasi sebenar titik tengah Semenanjung Malaysia iaitu berdasarkan rupa bentuk muka bumi tanah Semenanjung, pengiraan jisim dan kaedah matematik.
Sallehuddin berkata, mengikut kaedah pengukuran rupa bentuk muka bumi, JUPEM melakukan pengiraan dengan menghubungkan titik-titik pada bahagian paling hujung Semenanjung menggunakan garisan di mana titik tengah Semenanjung Malaysia dikenal pasti berdasarkan pertemuan garisan berkenaan.
Sallehuddin yang kini Timbalan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan (Kemajuan Pengurusan Dan Perundangan Tanah), Ibu Pejabat Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian berkata, mengikut kaedah itu, titik pertemuannya ialah pada kedudukan x bersamaan 469053.344 dan y (464283.582) iaitu di Hutan Simpan Ulu Cheka, Lipis.
“Mengikut kaedah kedua pula, pengiraan jisim secara abstrak dengan mengandaikan kedudukannya pada x bersamaan 63626.711462 dan y (446971.55564) iaitu di Jerangsang, Benta, Lipis,” katanya kepada sisipan Rona baru-baru ini.
Sallehuddin berkata, kaedah ketiga melalui pengiraan matematik iaitu menghubungkan titik paling jauh dengan titik paling dekat menggunakan 37,371 titik.
Menurutnya, pada akhir pengiraan, titik tengah dikenal pasti pada kedudukan x bersamaan 469519.6934 dan y (386338.7621) iaitu di Kampung Paya Siput, Lanchang, Temerloh.
"Berdasarkan tiga kaedah itu, JUPEM menyerahkannya kepada kerajaan negeri untuk pertimbangan selanjutnya.
"Sehubungan itu, kerajaan negeri memutuskan cara terbaik menentukan titik tengah ialah berasaskan kepada keputusan yang boleh dicabar secara saintifik supaya ia dapat dibuktikan dan lebih praktikal," katanya.
Beliau berkata, penentuan itu juga dibuat dengan mengambil kira kedua-dua lokasi terdahulu yang menggunakan kaedah rupa bentuk muka bumi dan pengiraan jisim terletak di kawasan hutan dan sukar dikunjungi.
Malah, dari segi `common sense', kedudukan Lanchang, Temerloh memang terletak di antara Lipis dan Maran.
Selain itu, mengambil kira kedudukan stesen Pusat Remote Sensing Negara (MACRES) dan PULARES yang secara strategiknya terletak di Temerloh, ia bagai sokongan kuat membuktikan lokasi ini terletak di tengah-tengah Semenanjung Malaysia.
Dari segi jarak perjalanan, Temerloh terletak tengah-tengah iaitu antara Kuantan dan Kuala Lumpur atau antara pantai barat dan timur.
Sehubungan itu, daerah Temerloh yang sebelum ini popular sebagai `bandar ikan patin' juga bakal dikenali sebagai bandar `titik tengah Semenanjung Malaysia' serta dapat membawa banyak manfaat kepada penduduk tempatan.
Sementara itu, pengiktirafan Temerloh sebagai daerah titik tengah Semenanjung Malaysia bukan saja menamatkan perdebatan di kalangan ahli akademik, malah secara langsung memberi kelebihan kepada daerah ini dalam menarik pelancong.
Bandar Temerloh yang sekian lama terkenal dengan jolokan `bandar ikan patin' sudah cukup membuatkan penggemar ikan sungai berkunjung ke bandar ini untuk menikmati keenakan masakan spesies ikan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Sharkar Shamsuddin, berkata titik tengah Semenanjung Malaysia yang dikenal pasti terletak di Kampung Paya Siput, Lanchang sudah tentu menjadi tarikan untuk pengunjung melawat Temerloh yang sebelum ini terkenal dengan produk pelancongan alam sekitar.
"Tarikan terbaru ini boleh menjadi pelengkap kepada destinasi pelancongan sedia ada seperti Gunung Senyum; Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah; Santuari Rusa di Bukit Rengit dan Lembah Harimau," katanya.
Sharkar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri berkata, kedudukan Kampung Paya Siput terletak di antara Sungai Kepong dan Kampung Bongsu.
"Ia dikenal pasti sebagai titik tengah Semenanjung Malaysia berdasarkan pengiraan matematik oleh JUPEM," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, pengisytiharan Kampung Paya Siput, Lanchang sebagai lokasi titik tengah Semenanjung Malaysia mempunyai signifikan tersendiri.
"Bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah penduduk setempat perlu merebut peluang yang ada dengan bertindak secara proaktif membabitkan diri mempromosikan kawasan mereka.
"Mereka tidak boleh mengharapkan kerajaan semata-mata untuk menyediakan prasarana sebaliknya memanfaatkan peluang seperti menjual cenderahati bermotifkan titik tengah kepada pelancong," katanya.
Shafik berkata, kerajaan boleh membangunkan Temerloh tetapi akhirnya penduduk setempat perlu mempunyai kesedaran dan tanggungjawab memeliharanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Datuk Tarif Abdul Rahman berkata, pihaknya merancang membangunkan beberapa kemudahan di kawasan istimewa itu.
"Sudah tentu kita mahu kawasan itu mempunyai kemudahan untuk pelancong termasuk aktiviti penjualan cenderahati dan rekreasi bagi menjadikannya menarik.
"Kita juga merancang mendirikan monumen atau mercu tanda yang boleh meninggalkan kenangan kepada pelancong," katanya.
Tarif berkata, kedudukannya di kawasan Kampung Paya Siput cukup menarik kerana ia mempunyai penempatan kampung tradisional dan kemudahan asas yang lengkap.
Penduduk tempatan nanti limpahan
PENDUDUK Kampung Paya Siput, Lanchang, yakin pengiktirafan kawasan perkampungan itu sebagai titik tengah Semenanjung sudah tentu memberi makna yang mendalam kepada mereka.
Walaupun ia tidak merubah wajah kampung itu dalam sekelip mata, mereka percaya kawasan itu akan lebih dikenali dan menjadi sebutan kerana kedudukannya yang begitu unik berbanding tempat lain di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Rantau Panjang, Zainal Abidin Mat Taha berkata, Kampung Paya Siput adalah antara tiga kampung yang terletak di bawah pentadbiran JKKK Kampung Rantau Panjang selain Kampung Bukit Wau dan kampung Orang Asli Bukit Licin.
"Lebih menarik, titik tengah sebenarnya terletak betul-betul di bawah sebuah pondok di pusat pengajian agama, Madrasah Darul Ulum yang diusahakan Sabaruddin Othman sejak lima tahun lalu.
"Sehubungan itu, kami berharap pihak Pejabat Daerah dan Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) akan membangunkan kawasan terbabit untuk menjadikannya sebagai tarikan pelancongan ke negeri ini," katanya.
Zainal Abidin berpendapat, suatu mercu tanda perlu dibangunkan di kawasan itu bagi membolehkan orang ramai sama ada penduduk setempat atau pelancong luar tahu kedudukan sebenar titik tengah berkenaan.
Selain itu, beliau berkata, beberapa kemudahan lain juga boleh disediakan di kawasan terbabit seperti jalan masuk, tempat jualan cenderahati dan ruang perniagaan yang boleh dimanfaatkan penduduk setempat.
Bagi Sabaruddin, 43, beliau tidak keberatan membenarkan sebahagian tanahnya dibangunkan untuk kepentingan awam kerana percaya pemilihan kawasan itu ada hikmah tersendiri.
"Saya tidak mahu mengambil kesempatan di atas perkembangan ini, sebaliknya menerima apa juga keputusan pihak berkuasa tempatan.
"Saya difahamkan, titik tengah yang dimaksudkan itu terletak betul-betul di bawah satu daripada pondok yang digunakan sebagai asrama oleh penghuni madrasah ini. Apa yang saya tahu, pihak berkuasa bercadang mewartakannya untuk dibangunkan dengan prasarana.
"Cuma, saya berharap beberapa pondok yang berada dalam lingkaran titik itu dapat dialihkan ke tempat lain yang lebih sesuai," katanya.
Madrasah Darul Ulum kini mempunyai kira-kira 100 penghuni termasuk dari kalangan remaja, anak yatim dan pasangan warga tua yang ingin mendalami ilmu agama secara percuma.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU BAHASA : Mencari idealisme penulis muda
Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my
PENULIS sentiasa berevolusi mengikut zaman, justeru gaya dan subjek penulisan juga sentiasa berubah seiring dengan zaman mereka sendiri.
Ia amat ketara andai kita telusuri tema novel-novel besar mahupun novel picisan zaman pra merdeka dan pasca merdeka.
Karya-karya awal para sasterawan kebanyakannya menjadikan tema perjuangan menuntut kemerdekaan selain kritik sosial terhadap penjajah dan sebagainya. Ini jelas terakam dalam karya-karya besar Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) berjudul Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila.
Ini sesuai dengan zaman beliau yang sememangnya berhadapan dengan kebobrokan penjajah. Anak Mat Lela Gila adalah novel pertama dalam sejarah Tanah Melayu diharamkan. Awal lagi sebelum itu, dikatakan novel yang pertama dicetak di Tanah Melayu adalah karangan Syed Syeikh al-Hadi iaitu Hikayat Faridah Hanom. Syed Syeikh al-Hadi merupakan ulama yang terdedah kepada aliran kaum muda. Beliau dan beberapa lagi rakan seperjuangan banyak terpengaruh dengan Syeikh Jamaluddin al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh. Ia juga dilihat sesuai dalam konteks permasalahan pada zaman tersebut.
Pada peringkat itu, tema novelnya lebih kepada berunsur didaktik selain dilapik dengan kritik sosial dalam jalur keagamaan. Novel tersebut sangat laris dan memberi untung yang besar kepada Syed Syeikh sehingga beliau dapat membuka syarikat penerbitan dan percetakan beliau sendiri iaitu Jelutong Press.
Dunia kesusasteraan dan penulisan kreatif pernah dicemari dengan novel-novel lucah malah para penulis tanpa segan silu menulis serta mendakwa mereka menulis realiti zaman dengan menampilkan kisah-kisah erotik dengan mengangkat pelacur, mangsa rogol, ibu dan bapa ayam dan sebagainya.
KEBANGKITAN
Begitu juga dengan kebangkitan novel berunsur Islam seperti Ayat-Ayat Cinta di Indonesia, ia dilihat sesuai dengan masalah dan cabaran agama dan sosial di sana. Sememangnya pembikinan Ayat Ayat Cinta oleh Habiburrahman adalah suatu perancangan rapi daripada kelompok penulis Islam yang kemudian membentuk jemaah mereka sendiri dinamakan Forum Lingkaran Pena.
Ternyata dengan perancangan yang rapi selain daripada karya yang mengesankan sesuai dengan keperluan masyarakat Indonesia, ia juga memberikan tempias kepada Malaysia. Antara objektif utama adalah bagi mengimbangi dan memberi alternatif seterusnya menelan karya-karya sastera wangi (baca lendir) yang didukung oleh kelompok sasterawan Utan Kayu. Habiburrahman menulis bagi menjawab isu yang sangat relevan dengan suasana masyarakat dan fahaman agama di Indonesia.
Apa yang perlu ditulis oleh penulis muda? Apakah kewajaran idealisme bagi seorang penulis? Cukupkah sekadar berfikir asal boleh jual sahaja tanpa mengambil kira kebertanggungjawaban seorang penulis sebagai satu daripada komponen dakwah yang sangat penting?
Hakikatnya di Malaysia, kita punya masalah dan isu yang tersendiri. Semua isu ini memerlukan ulasan dan pelestarian daripada para pemikir, cendekiawan dan sasterawan sama ada dalam bentuk kertas kerja dan penulisan ilmiah mahupun dalam bentuk karya kreatif.
Kita tahu dan faham, andai sesuatu isu hanya dibincangkan dalam dewan seminar dan kertas kerja yang dibentangkan, sebaran maklumat dan ilmu itu akan terbatas. Justeru penulisan kreatif wajar dieksploitasi untuk melawan dakyah semasa selain menyebarkan kebaikan dan keindahan Islam dan ilmunya.
Sudah tiba masanya penulis muda bangkit mencabar status quo politik tanah air sebagai contoh, mengungkapkan dan menghuraikan secara indah segala penentangan, sokongan dan cadangan kepada zaman. Begitu juga perlu berani mencabar fahaman-fahaman yang semakin meliar dan cuba menghakis nilai Islam yang sudah tertegak kemas buat sekian lama di bumi Melayu. Ini termasuk isu rasuah, kepincangan ahli politik, kebebasan akademik dan AUKU sewajarnya menjadi subjek dan sumber ilham kepada para penulis muda. Bacalah Cinta Hari-Hari Rusuhan karya Faisal Tehrani. Beliau berjaya merakam dengan baik apa yang berlingkar pada zamannya sebagai mahasiswa kemudian menterjemahkan idealisme tersebut dalam karya. Sehingga kini novel itu masih terasa relevannya.
Namun hari ini kita kecewa apabila melihat penulis muda yang lesu tiada idealisme dan idea tuntas. Ini mungkin kerana mereka hanya lahir daripada kursus dan bengkel mewah dan bukannya bergelut dan bersepuh keringat sendiri.
Akhirnya kita akan sentiasa rindu akan karya-karya yang mempunyai nilai sikap meskipun sikap di penulis adalah berlawanan dengan sikap yang kita ambil. Ini kerana kita tahu pada penulisan mereka sesuatu yang istimewa dan tiada pada orang lain. Kita akan sentiasa rindukan Sasterawan Negara (SN) Usman Awang, SN Shahnon Ahmad, SN A Samad Said dan beberapa lagi kerana mereka tidak hanya bersastera untuk sastera, bersastera untuk masyarakat, mereka bersastera untuk keadilan sejagat, menentang korupsi dan kezaliman, mereka bersastera adalah untuk berjuang sebagaimana yang dituntut agama.
Kerana hanya pada karya kreatif sahaja punya cerita dan bahasa yang indah, cerita yang membawa ilmu dan hikmah yang benar malah cerita yang merangkumkan isu agama, politik, sejarah dan budaya dalam sebuah buku. Hanya sebuah novel mampu melakukannya tidak pada buku lain.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/