Jumaat, 13 April 2012
ISU EKONOMI : Pertumbuhan ekonomi global semakin hambar
Perdagangan negara EU meleset, pasaran niaga China pudar
PERTUMBUHAN perdagangan global yang sudah pun lemah daripada yang diunjurkan tahun lalu, akan bertambah perlahan lagi tahun ini berikutan masalah kemelesetan negara Kesatuan Eropah (EU), sementara kadar pertumbuhan ekonomi yang dinamik di China pula semakin pudar, demikian mengikut Pertumbuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Badan perdagangan dunia itu berkata, kejutan ekonomi seperti krisis hutang zon euro menyebabkan pertumbuhan perdagangan dunia semakin perlahan tahun ini, iaitu kepada 3.7 peratus berbanding 5.0 peratus tahun lalu.
Pelbagai masalah yang berlaku sepanjang tahun lalu telah menjejaskan pertumbuhan perdagangan lebih daripada yang dijangkakan, demikian kata ahli ekonomi pada September tahun lalu perdagangan global akan berkembang 5.8 peratus bagi seluruh 2011.
Selain krisis zon euro, WTO turut menyatakan kesan gempa bumi Jepun dan tsunami serta banjir teruk di Thailand sebagai antara penyebab utama.
Tahun lalu, pertubuhan yang berpangkalan di Geneva itu mengunjurkan perdagangan global tumbuh pada kadar 6.5 peratus bagi 2011 selepas kembali mencatatkan peningkatan kukuh 13.8 peratus pada 2010 selepas krisis kewangan sebelumnya.
WTO menjangkakan perdagangan dunia akan kembali pulih sedikit menjelang 2013 dan seterusnya mencatatkan pertambahan pertumbuhan kepada kadar 5.6 peratus.
“Kini lebih tiga tahun sudah berlalu sejak kejatuhan perdagangan global pada 2008/2009, tetapi ekonomi dunia dan perdagangan kekal rapuh.
“Kadar perlahan itu dijangka berlanjutan pada 2012 dan semua ini menunjukkan bahawa risikonya kekal tinggi. Kita masih lagi belum keluar sepenuhnya daripada krisis kemelesetan,” kata Ketua Pengarah WTO, Pascal Lamy.
Unjuran terkini WTO itu memperlihatkan pertumbuhan dalam pengeluaran global tahun ini hanya berada pada kadar 2.1 peratus (turun daripada 2.4 peratus pada 2011) tetapi terdapat beberapa faktor risiko, seperti kemerosotan yang lebih teruk daripada yang dijangkakan di Eropah serta harga minyak yang semakin meningkat, bakal memberi kesan teruk kepada perdagangan global.
“Data pengeluaran baru-baru ini mencadangkan bahawa EU mungkin sudah pun berada dalam kemelesetan dan perkembangan ekonomi yang dinamik China juga turut akan perlahan tahun ini,” kata WTO. – AFP
ISU KESIHATAN : Akta Farmasi atasi lebihan ubat
Oleh Syed Azwan Syed Ali
syedazwan@bharian.com.my
Kementerian Kesihatan kerjasama dengan SKMM pantau produk tiruan
KUALA LUMPUR: Akta Farmasi yang sedang digubal dan menggabungkan lima akta sedia ada memberi kuasa kepada Kementerian Kesihatan menangani masalah lambakan ubat dan produk kosmetik tidak berdaftar dan tiruan, termasuk produk dijual secara online.
Akta itu juga memperuntukkan hukuman lebih keras, iaitu penjara minimum setahun dan denda minimum RM200,000, berbanding akta sedia ada yang memperuntukkan hukuman denda RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu menjual ubat dan kosmetik tiruan dan tidak berdaftar.
Menerusi akta itu kementerian akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memantau penjualan ubat tiruan dan produk kosmetik tidak berdaftar yang mengandungi racun berjadual dikawal penggunaannya seperti steroid, sildenafil (ubat kuat lelaki), tadalafil, verdanafil dan sibutramine secara online.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata Rang Undang-Undang Farmasi sudah dihantar ke pejabat Peguam Negara dan bacaan pertama di Parlimen dijangka akhir tahun ini.
Katanya, penggubalan akta lebih tegas itu bertujuan menangani masalah lambakan ubat tiruan dan produk kosmetik tidak berdaftar dengan lebih menyeluruh.
“Kementerian tidak benar racun berjadual dijual secara online. Kementerian akan bekerjasama dengan SKMM untuk siasatan dan serbuan serta sekat laman web terbabit,” katanya kepada Berita Harian.
Racun berjadual seperti sibutramine kebiasaannya terkandung dalam produk melangsing badan dan sildenafil dikawal penggunaannya kerana boleh membawa mudarat kepada pengguna jika diambil tanpa pengawasan doktor.
Penggunaan racun berjadual juga boleh menyebabkan penyakit kronik, termasuk gila jika individu memakan campuran bahan berkenaan tanpa nasihat doktor.
Semua ubat dan produk kosmetik perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Kementerian Kesihatan untuk dijual dan digunakan pengguna, yang mana ubat racun akan ditandakan huruf A pada hujung nombor pendaftaran (contoh: MAL1999244A) dan hanya boleh diperoleh di klinik atau farmasi, ubat bukan racun (OTC) ditanda X (contoh: MAL199955080X).
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU PENGAJIAN TINGGI : Mahasiswa Perlu Realisasikan Tiga Cabaran Utama
Oleh SITI HAJAR ABD AZIZ
KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telahpun diumumkan buat sekian kalinya, maka ramailah lepasan SPM yang memasang impian untuk menjadi sebahagian daripada warga kampus dengan harapan mereka boleh membina kerjaya yang cemerlang dan berbakti kepada ibu bapa di kemudian hari.
Di universiti pula, yang sudah bergelar mahasiswa berlumba-lumba untuk menjalankan pelbagai aktiviti termasuklah pameran, diskusi dan khidmat masyarakat.
Ada yang melakukannya atas dasar ingin mendapat markah yang baik dan ada juga yang benar-benar mahu berjasa kepada universiti dan komuniti setempat.
Inisiatif warga universiti untuk menyemarakkan aktiviti di dalam dan di luar universiti masing-masing sememangnya harus dipuji, namun idea aktiviti kemahasiswaan ini hanya semata-mata untuk mendapat segulung diploma atau ijazah perlu ditangkis, paling tidak, dikikis.
Mahasiswa rata-rata sedar bahawa mereka dipandang tinggi di dalam masyarakat, sesuai dengan identiti dan status mereka sebagai para pencari ilmu dan golongan cerdik-pandai.
Kita juga berharap mereka sedar, gelaran itu bukanlah gaya atau tiket untuk menunjuk lagak, tetapi peranan mahasiswa yang dianggarkan berjumlah 1.2 juta orang ini sangat besar.
Jika di dalam sesebuah negara demokrasi, kuasa yang dikenal pasti oleh cendekiawan ialah empat kuasa (four estate) iaitu kerajaan (pemerintah), parlimen (pembuat undang-undang), badan kehakiman dan media, maka mahasiswa hampir layak dinobatkan sebagai kuasa yang kelima (fifth estate) berdasarkan kekuatan mereka dan perubahan yang mampu mereka laksanakan sekiranya mereka bergabung tenaga.
Memang benar, kalau sebut sahaja kempen, mudah sekali kita membayangkan betapa bosannya aktiviti tersebut dan kemungkinan besar ia sukar mendapat penyertaan ramai.
Namun tidak dinafikan kempen-kempen kesedaran, majlis ilmu dan diskusi intelektual yang sering berlangsung di dalam universiti perlu juga diketengahkan ke khalayak ramai supaya keberkesanannya lebih meluas lagi.
Kempen “Bumi Hijau” contohnya, yang sering diangkat sebagai tema penganjuran yang popular dalam kalangan mahasiswa hari ini, perlu juga dilaksanakan secara menyeluruh dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, organisasi bukan kerajaan dan penduduk setempat.
Pelaksanaan secara integrasi dan besar-besaran boleh menukar kempen kesedaran alam sekitar seperti dari satu perkara yang bermusim kepada satu cara hidup yang dituntut semua dan untuk kebaikan sejagat.
Satu lagi kempen yang semakin dilupai ialah kempen derma darah. Kempen kesihatan seperti ini tidak seharusnya dipelopori oleh mereka yang terbabit secara langsung seperti hospital atau pelajar perubatan sahaja, tetapi ia harus didokong oleh mahasiswa dari pelbagai bidang kerana kesihatan adalah sebuah matlamat bersama, iaitu untuk membantu tabung darah hospital setempat yang memang memerlukan sumbangan orang ramai setiap masa.
Mahasiswa perlu terus maju dalam melaksanakan program-program berkepentingan sosial seperti ini tanpa perlu rasa jemu, seperti kempen membanteras penagihan dadah dan pembuangan bayi, kempen budi bahasa, kempen kebersihan dan kempen kebudayaan.
Kementerian Pengajian Tinggi sememangnya menyokong usaha melibatkan golongan mahasiswa secara aktif dengan masyarakat di dalam program-program interaksi yang memupuk sikap penyayang dan persahabatan.
Menurut Menterinya Datuk Mohamed Khaled Nordin, mahasiswa memikul tiga peranan besar di bawah tema “Mahasiswa: Gerak untuk Malaysia”.
Cabaran Pertama ialah mahasiswa sebagai penyedar dan penyebar kesedaran Nasional.
Cabaran Kedua, untuk membangunkan keperibadian, idealisme, kemahiran dan kepemimpinan melalui program dan aktiviti yang menjadi tumpuan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Manakala Cabaran Ketiga ialah bagaimana mahasiswa boleh menjadi penyelesai kepada isu dan cabaran semasa dan masa hadapan.
Cabaran-cabaran ini perlu disahut dengan cara mengaplikasikan pengajaran di dalam bilik dengan segera melalui aktiviti-aktiviti keilmuan, keusahawanan, kemasyarakatan dan penyelidikan tanpa perlu menunggu tamatnya tempoh pengajian masing-masing.
Hanya dengan cara inilah keperibadian dan keterampilan mereka dapat ditingkatkan sesuai dengan status mereka sebagai seorang mahasiswa.
PENULIS IALAH PENSYARAH FAKULTI KOMUNIKASI DAN PENGAJIAN MEDIA UiTM MELAKA
Sumber : http : //www.mstar.com.my/
ISU BAHASA : Menghargai 77 tahun A. Samad Said
Oleh AZNAN BAKAR
aznan.bakar@utusan.com.my
SELASA lalu bersamaan 9 April, genap 77 tahun umur Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said. Dua hari sebelum tarikh tersebut, bertempat di kedai buku Kinokuniya, KLCC telah berlangsung majlis pelancaran tiga buah buku yang membabitkan penulis tersohor negara itu.
Dua daripadanya, A. Samad Said: Memberi Hati Nurani dan Pak Samad: Di Mata Kami bukan karya beliau.
Ia merupakan catatan daripada teman-teman dan mereka yang pernah mengenali dan dikenalinya sama ada secara jauh atau dekat.
"Saya tidak tahu apa isi buku ini." Itu kata A. Samad atau mesra dipanggil Pak Samad ketika diminta reaksi mengenai pelancaran buku pada majlis Menjelang 77 Tahun A. Samad Said itu.
Hanya kesyukuran dan terima kasih dilahirkan sebagai menghargai kata-kata manis, pujian, penghargaan dan kritikan terhadapnya dalam dua buku tersebut.
Hanya Rindu Ibu - koleksi 101 puisi kanak-kanak - merupakan karya beliau. Buku yang sebelum ini diterbitkan oleh Wira Bukit Sdn. Bhd., diterbitkan semula oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) bersama dengan Wira Bukit.
Koleksi puisi khusus untuk kanak-kanak itu membawa mesej penuh teladan dengan bait-bait puitis mudah diungkap dan dituturkan oleh kanak-kanak.
A. Samad Said: Memberi Hati Nurani boleh dianggap sebagai buku biografi pertama mengenai Sasterawan Negara yang penuh kontroversi itu.
Siapa tidak kenal Pak Samad dengan mogok seninya. Kini, dia kerap turun ke jalanan bagi meluahkan rasa tidak puas hati dengan sistem yang ada.
Buku yang disusun oleh Dr. Rosnah Baharudin memaparkan perjalanan hidup Pak Samad yang penuh dengan warna-warni. Kisah hidupnya sebagai wartawan, sasterawan dan juga ilmuwan. Buku itu sedikit sebanyak menampilkan pandangan dan pemikiran beliau terhadap aspek sosial, ekonomi dan politik.
Semua elemen itu dinyatakan sama ada secara tersurat atau tersirat dalam karya-karyanya.
Pak Samad: Di Mata Kami pula merupakan catatan 30 penulis dalam bentuk tulisan dan puisi mengenai Pak Samad.
Semua tulisan tersebut adalah mengenai dirinya sama ada dari dekat mahupun jauh termasuk perjuangan dalam perhimpunan anti-PPSMI bersama Allahyarham Datuk Hassan Ahmad seperti yang dinukilkan oleh Penolong Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Husin.
Penyumbang lain dalam buku yang disunting oleh Rahimidin Zahari itu (sekadar menyebut beberapa nama) ialah A. Wahab Hamzah, Abdul Ghafar Ibrahim, Marsli N.O., Sani Sudin, Victor A. Pogadaev, Puzi Hadi, Mior Hashim Manap. U-Wei Saari, Ladin Nuawi dan Pyanhabib.
Seperti kata Pengarah Urusan ITBM, Mohd. Khair Ngadiron, Pak Samad: Di Mata Kami ditulis berdasarkan pengalaman 30 penulis terbabit semasa berurusan secara peribadi dengan Sasterawan Negara itu.
Mohd. Khair ketika berucap pada majlis itu juga berkata, ketiga-tiga buku itu adalah simbolik penghargaan kepada jasa dan sumbangan Pak Samad yang tidak pernah jemu memperjuangkan sastera Melayu.
"Kisah tokoh sastera ini merupakan khazanah yang perlu dipelihara," katanya.
Sementara itu, Sasterawan Negara, Datuk Dr. Anwar Ridhwan ketika merasmikan majlis dan melancarkan ketiga-tiga buku tersebut berkata, segala apa yang dilalui oleh Pak Samad adalah untuk merintis jalan bagi generasi akan datang.
Pak Samad adalah lambang perjuangan bagi menegakkan kesusasteraan dan bahasa Melayu.
Seperti catatan Pyanhabib pada muka surat 169 Pak Samad: Di Mata kami: "Pak Samad tidak minta hak orang. Dia minta hak dia. Dia mahu hidup hasil daripada karya-karyanya. Apabila Pak Samad mogok seni, secara langsung dia menyedarkan golongan establish bahawa penulis mampu hidup dengan berkarya. Dan Pak Samad telah buktikan".
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU GLOBAL : Lima maut dalam gempa Aceh
Tiada kerosakan teruk berlaku
BANDA ACEH: Lima orang terbunuh dan seorang kanak-kanak cedera parah apabila satu gempa besar melanda kawasan pantai utara Indonesia kelmarin.
Menurut jurucakap agensi pengurusan bencana Indonesia, Encik Sutopo Purwo Nugroho, sekurang-kurangnya dua orang meninggal dunia akibat serangan jantung, seorang meninggal dunia akibat terkejut dan seorang kanak-kanak cedera parah setelah terjatuh dari pokok.
'Korban jiwa dan kerosakan lain masih disiasat,' katanya kepada pihak media menerusi kiriman mesej khidmat pesanan ringkas (SMS).
Beberapa penduduk turut dilaporkan cedera ketika cuba melarikan diri ke kawasan tanah tinggi.
Gegaran gempa kelmarin mengimbas memori bencana tsunami pada 2004 yang menyorbankan sekitar 220,000 jiwa di negara Lautan Hindi.
Namun, tiada kerosakan teruk akibat gempa sekuat 8.6 pada Skala Richter dan gempa susulan berukuran 8.2, kelmarin.
Selain daripada dinding retak dan sebatang jambatan rosak, penduduk kawasan itu mengatakan seperti tiada apa-apa yang berlaku.
'Saya benar-benar rasakan doa saya terkabul,' kata Encik Usman Basyah, 45 tahun, yang kehilangan seorang anak lelaki dalam bencana tsunami 2004, yang membunuh 170,000 penduduk Aceh.
'Saya amat bersukur. Kami sudah cukup melalui trauma,' katanya yang berniaga kecil-kecilan.
Dua gempa besar dan gegaran-gegaran susulan menyebabkan amaran tsunami dikeluarkan sejauh Afrika.
Dengan kekuatan 8.6 pada Skala Richter, gempa pertama kelmarin merupakan yang ke-10 paling kuat bagi tempoh 100 tahun lalu dalam senarai 10 gempa paling kuat - gempa lain dalam senarai itu telah menyebabkan bencana tsunami berlaku. -- Reuters, AP.
ISU GLOBAL : Sekatan terhadap Iran, hanya memalukan Amerika
Oleh MANSOR PUTEH
ANCAMAN sekatan atau sanction ke atas mana-mana negara oleh Amerika sebenarnya bukan sesuatu yang baru; ia adalah satu tindakan terdesak yang melampaui kuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan diplomasi antarabangsa.
Lebih dari itu, ia adalah perbuatan yang tidak masuk akal. Tujuannya adalah untuk Amerika memaksa sesebuah negara tunduk kepada kehendaknya.
Dalam usahanya yang telah lalu, sekatan yang dianjurkan dan dikenakan oleh Amerika dan sekutu-sekutunya ternyata tidak berkesan.
Yang berkesan hanyalah sekatan yang telah dilakukan oleh negara-negara di dunia ke atas kerajaan apartheid Afrika Selatan yang akhirnya menyebabkan negara minoriti kulit putih itu tunduk kepada tindakan negara-negara majoriti sehinggakan Afrika Selatan bebas dan menjadi negara kulit hitam seperti sekarang.
Sekatan lain yang turut berkesan tetapi belum mendatangkan hasil sepenuhnya adalah sekatan terhadap negara Zionis Israel yang dikenakan oleh banyak negara Islam. Ia telah menyebabkan Israel hidup dalam dunia yang amat sempit tanpa mempunyai rakan-rakan yang mahu berhubung dengan mereka.
Ini juga menyebabkan ramai rakyat mereka tidak dapat bergerak dengan mudah di mana-mana termasuk di Amerika sendiri bila mereka tidak dapat mengaku mereka dari Israel.
Sebaliknya sekatan terhadap Iran yang dikenakan sekarang, tidak pula menyebabkan rakyat Iran daripada bergerak dari satu negara ke negara lain; mereka boleh menjalankan kehidupan seharian seperti biasa dan ini yang mencemaskan apabila ramai antara mereka kini berada di Amerika sendiri, dan ramai lagi pergi ke negara Islam lain termasuk Malaysia yang mana akan menghasilkan satu pertembungan yang sihat.
Kemenangan filem Iran iaitu 'A Separation' dalam malam anugerah akademi Februari lalu juga menunjukkan sekatan ke atas Iran hanya berlaku di Washington DC dan tidak di Hollywood di mana mereka senang menerima filem-filem dan pengkarya filem dari Iran.
Dan banyak filem dan pengkarya filem Iran juga disenangi dan sering disanjung oleh pesta filem di Eropah dan Barat termasuk di Amerika. Ini semuanya menunjukkan kesan terhadap sekatan terhadap Iran yang dikenakan oleh Amerika dan sekutunya ke atas Iran tidak berkesan.
Dan ini juga telah membuat Amerika dan sekutunya terdesak mahu mengambil tindakan lebih drastik daripada itu iaitu dengan mengenakan sekatan terhadap penjualan minyak ke negara-negara Barat dan sekutunya.
Ini adalah atas dakwaan Amerika bahawa Iran kini giat berusaha membuat bom nuklear yang boleh mengancam Timur Tengah khususnya kewujudan Israel, dan juga negara-negara di Eropah kalau Iran mempunyai peluru berpandu jarak jauh yang boleh sampai ke sana.
Ini sebenarnya bukan soalannya. Soalannya adalah apakah Iran juga tidak ada cita-cita murni untuk membangunkan negara mereka dengan mengguna cara dan tindakan yang sekutunya, Israel telah lama ada, yang mana mereka telah menggunakannya untuk menggugat ketenteraman dan keselamatan negara-negara yang berjiran dengannya?
Malah tanpa memiliki kuasa nuklear, Israel sudah lama dapat dihapuskan. Dan mereka sendiri sedar tanpa kuasa nuklear yang mereka tidak berani mengaku memiliki, mereka juga tidak berani untuk menjadi angkuh.
Kuasa nuklear atau 'nuclear option' ini adalah satu-satunya sebab kenapa Israel berani bersikap angkuh dan terus merampas tanah Palestin dan membunuh pemimpin mereka dengan sewenang-wenangnya.
Ini ditambah pula dengan sokongan padu daripada Amerika yang tidak akan mengambil tindakan ke atas Israel selain daripada memberi nasihat sahaja. Amerika ada kuasa veto yang telah mereka gunakan untuk mematikan sebarang ketetapan yang diluluskan oleh PBB ke atas Israel.
Oleh sebab veto dan kuasa nuklear inilah maka Israel dapat berkembang dan menjadi lebih angkuh. Kalau tidak bagaimanakah sebuah negara yang dianggap sebagai pariah dapat bertahan sehingga kini?
Israel telah 'ditubuhkan' dalam tahun 1948, apabila dunia Islam bergolak dengan pergerakan kemerdekaan masing-masing. Negara-negara Islam tidak bersepakat dan keadaan seperti ini telah membenarkan Israel wujud.
Dan negara-negara Arab dan Islam ketika itu pada dasarnya tidak mementingkan sangat untuk memiliki kuasa tentera, jauh sekali mahu memikirkan untuk memiliki kuasa nuklear, maka mereka tertindas dengan tindakan negara-negara kuasa besar lain yang awal-awal lagi tahu bahawa kewujudan mereka di dunia ini hanyalah bergantung kepada kuasa nuklear.
Oleh itu, Israel juga beria-ia mahu memiliki kuasa nuklear sebaik sahaja mereka berjaya mengukir sebuah negara daripada tanah Palestin dalam tahun 1948 supaya ia dapat menjamin keselamatan mereka. Tetapi berapa lamakah Israel dan penyokong kuatnya, Amerika dan sekutu-sekutu pro-Zionis di Barat dapat mempertahankan kedudukan ini?
Sebab lambat-laun Iran atau negara-negara Arab dan Islam lain akan turut mahu dan sudahpun memiliki kuasa nuklear yang mereka gunakan untuk menjamin kemakmuran negara masing-masing, yang boleh menjana peningkatan ekonomi mereka.
Ia adalah bukan kuasa nuklear seperti yang digunakan oleh Amerika dan Israel dan sekutu-sekutunya yang lebih cenderung menggunakan kuasa ini sebagai senjata, sedangkan negara Arab dan Islam lain termasuk Iran hanya mahu menggunakannya untuk menjamin bahawa mereka boleh membangunkan negara masing-masing bagi mengharungi masa depan yang penuh cabaran apabila kuasa fosil atau minyak petrol kering daripada negara mereka.
Dan dengan mengenakan sekatan terhadap Iran sekarang, Amerika dan sekutunya mahu memastikan Iran tidak menjadi sebuah negara maju di Timur Tengah dan Teluk; mereka mahu Iran menjadi seperti Afghanistan dan Iraq yang boleh diperkotak-katikkan.
Malah dengan kegagalan Amerika dan sekutunya yang berusaha untuk menyokong Israel, tindakan mereka terhadap Afghanistan dan Iraq ternyata gagal.
Kebangkitan rakyat di beberapa negara Arab mulai tahun 2011 membuktikan bahawa kuasa sorakan dan tempikan di jalan itu kadangkala lebih berkesan daripada kuasa veto di PBB sendiri.
Rakyat Amerika dan di negara-negara sekutunya juga sedar tentang perkara ini dan sudahpun bangkit daripada lena, apabila mereka menganjurkan protes yang dipanggil 'Occupy Wall Street' di bandar raya New York yang merebak ke banyak bandar raya dan pekan seluruh Amerika.
Malah ia telah juga merebak ke hampir semua negara di Eropah dan Latin Amerika.
Kesannya sudahpun dirasai. Sebabnya juga sudah jelas sekarang, bahawa rakyat Amerika dan negara-negara sekutunya juga tidak senang dengan tindakan pihak pemimpin politik negara masing-masing khususnya di Washington DC yang ternyata dipengaruhi oleh pelobi Zionis.
Dan ini tidak menyenangkan mereka, lebih-lebih lagi apabila mereka sedar bahawa semua perusahaan penting di Amerika khususnya didominasi oleh mereka yang menyokong Zionis dan Israel sedangkan rakyat biasa Amerika melarat.
Amerika dan sekutunya mahu melumpuhkan Iran, tetapi apa yang berlaku sekarang ialah sebaliknya; Iran yang bakal melumpuhkan Amerika dan sekutunya, tanpa ia perlu menggunakan sebarang kuasa ketenteraan, dengan hanya membenarkan Amerika dan sekutu-sekutunya menggunakan kuasa veto dan sekatan mereka, selagi boleh.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU GLOBAL : Satelit Pyongyang ancam keselamatan dunia?
Oleh Azmi Hassan
PELANCARAN satelit merupakan satu perkara lazim dan sepatutnya tidak menjadi satu isu yang besar melainkan satelit yang dilancar mampu mengancam keselamatan dunia.
Sejak satelit pertama Sputnik-1 dilancarkan pada 1957, beribu-ribu satelit telah dilancarkan yang dimiliki oleh lebih dari 50 negara berlainan.
Korea Utara yang dijangkakan akan melancarkan satelit bila-bila masa sahaja telah menarik perhatian bukan sahaja dari kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan Rusia tetapi juga dari kalangan negara Asean dan juga Asia Pasifik.
Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton telah memberi amaran kepada Pyongyang supaya tidak meneruskan hasrat pelancaran tersebut kerana ia mampu menggugat kestabilan bukan sahaja di Asia Timur malah seluruh dunia. Seoul dan Tokyo dengan ugutan akan memintas dan memusnahkan satelit tersebut jika pergerakannya merentasi ruang udara mereka.
Malah dalam kalangan negara ASEAN, Filipina dilihat paling lantang menentang hasrat Pyongyang sehinggakan mengeluarkan amaran akan memusnahkan roket yang melancarkan satelit walaupun Manila tidak mempunyai kemampuan mengotakan ugutan tersebut.
Memang tidak dinafikan kegusaran yang ditunjukkan oleh Seoul, Tokyo dan Manila mempunyai kebenaran kerana pelancaran satelit tersebut akan melalui ruang angkasa ketiga-tiga negara berkenaan dan besar kemungkinan bahagian roket yang digunakan akan menjunam di lautan berdekatan Korea Selatan dan Filipina.
Tetapi perlu diberi perhatian bahawa kemudaratan yang disebabkan oleh pelancaran satelit tersebut sebenarnya adalah begitu minimum sekali walaupun banyak laluan penerbangan berdekatan dengan perjalanan roket tersebut telah diubah sebagai langkah berjaga-jaga.
Kebimbangan yang dipamerkan oleh Seoul, Tokyo dan Manila sebenarnya mencerminkan kegusaran Washington yang telah menuduh Pyongyang mempergunakan pelancaran satelit sebagai helah untuk menguji kemampuan peluru berpandu berjarak jauh.
Ada kebenaran kebimbangan tersebut kerana roket Unha-3 yang digunakan untuk meletakkan satelit itu di orbit mempunyai teknologi yang serupa dengan peluru berpandu balistik. Jika satelit tersebut digantikan dengan peledak senjata nuklear, maka Unha-3 dengan mudah menjadi senjata nuklear.
Walaupun Pyongyang cuba menyakinkan dunia bahawa pelancaran roket Unha-3 hanyalah untuk meletakkan satelit di orbit yang akan digunakan untuk memantau keadaan cuaca, tetapi masyarakat antarabangsa berasa sangsi kerana telah tiga kali Korea Utara melancarkan satelit, tetapi sehingga hari ini tiada pun satu satelit milik mereka berada di ruang angkasa.
Pertama kali Korea Utara melancarkan satelit adalah pada 1998 dan diikuti pelancaran kali kedua pada 2006. Paling terbaru adalah pada April 2009. Setiap kali pelancaran satelit dilaksanakan, roket yang digunakan adalah pembaharuan dari yang terdahulu. Umpamanya pelancaran satelit 2009 menggunakan roket Unha-2 tetapi kali ini menggunakan roket Unha-3 yang mempunyai beberapa kelebihan yang perlu diuji.
Sebab itu niat sebenar Korea Utara melancarkan satelit dituduh sebagai melindungi tujuan menguji kemampuan teknologi peluru berpandu. Ada kebenaran mengapa Korea Utara cuba berselindung kerana Pyongyang ditegah membangun dan menguji teknologi peluru berpandu melalui resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Masalah masyarakat antarabangsa dengan Korea Utara dan Iran adalah serupa iaitu bersangkut paut dengan nuklear. Iran telah berjaya melancarkan tiga satelit di orbit tetapi isu ini tidak mendapat bantahan keras dan meluas seperti mana yang diterima oleh Korea Utara.
Kali terakhir Iran melancarkan satelit adalah pada Februari lepas iaitu sempena menyambut Hari Revolusi Iran seperti mana Korea Utara mempunyai niat menyambut ulang tahun ke 100 pemimpin agung mereka Kim Il Sung dengan hasrat pelancaran satelit.
Setiap kali Iran melancarkan satelit maka setiap kali Washington membuat bantahan tetapi pelancaran tetap diteruskan kerana setiap negara mempunyai hak untuk melancarkan satelit dan tiada resolusi Majlis Keselamatan yang menegah Iran dari berbuat demikian. Sekatan yang dikenakan keatas Iran hanya berkaitan dengan teknologi nuklear berbeza dengan Korea Utara yang bersangkut paut dengan teknologi peluru berpandu.
Kebimbangan masyarakat antarabangsa terhadap hasrat terbaru Pyongyang ada meritnya kerana untuk mencegah Korea Utara dari memiliki senjata nuklear berasaskan peluru berpandu. Kemampuan teknologi peluru berpandu Korea Utara adalah masih terhad walaupun dikatakan mempunyai peluru berpandu Taepodong yang mampu bergerak sehingga 3,500 kilometer tetapi masih belum dapat dibuktikan kesahihannya. Berbeza pula dengan Iran kerana mereka mempunyai kemampuan teknologi peluru berpandu yang agak tinggi tetapi masih belum mempunyai kemampuan senjata nuklear.
Tetapi masyarakat antarabangsa perlu berlaku lebih adil apabila berdepan dengan isu yang agak sensitif tetapi agak samar. Seperti mana Iran bertegas pembangunan teknologi nuklear hanya akan digunakan untuk menjana kuasa elektrik dan bukannya untuk senjata nuklear, tetapi niat Tehran tetap di tegah. Tetapi masalahnya ada negara yang begitu jelas membangunkan senjata nuklear tidak pula dilarang seperti mana Israel dan India.
Begitu juga dengan tegahan supaya Korea Utara tidak membangunkan teknologi peluru berpandu kerana khuatir akan digunakan untuk senjata nuklear, AS terutama sekali perlu berlaku lebih adil dan telus dalam hal ini.
Jika Korea Selatan boleh menerima perpindahan teknologi peluru berpandu dari AS untuk meningkatkan keupayaan Seoul yang pada ketika ini mempunyai kemampuan peluru berpandu yang agak terhad, maka sudah pasti Pyongyang merasa terancam dengan niat sebenar jiran terdekat mereka.
PENULIS ialah GeoStrategis Institut GeoSpatial dan Sekolah Perdana UTM.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU ALAM SEKITAR : Fenomena Halo di Alor Setar
ALOR SETAR - Orang ramai di bandar raya ini dikejutkan dengan satu fenomena apabila lingkaran cahaya seakan-akan pelangi mengelilingi matahari atau bulan.
Keadaan yang dikenali sebagai Fenomena Halo itu mula dikesan tengah hari semalam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia kepada Bernama hari ini, keadaan itu adalah satu fenomena semula jadi.
"Terdapat banyak jenis halo, tetapi kebanyakannya terjadi daripada kristal ais dalam awan tinggi cirrostratus yang kelihatan seakan-akan kepingan awan yang terletak pada ketinggian sekitar 6,000 hingga 18,000 meter di atas paras tanah," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata dalam amalan pemerhatian cuaca, kewujudan halo merupakan antara petunjuk yang boleh digunakan untuk meramal hujan atau ribut petir dalam tempoh 12 hingga 24 jam, terutama jika ia diikuti awan jenis pertengahan.
Menurut kenyataan itu, lapisan awan cirrostratus sangat nipis sehinggakan matahari atau bulan boleh dilihat dengan jelas melaluinya, tetapi kadang-kadang matahari atau bulan juga boleh kelihatan sebagai bayangan malap melalui lapisan awan yang tebal.
Apabila cahaya matahari atau cahaya bulan melalui kristal ais awan cirrostratus, cahaya tersebar atau dibiaskan yang menyebabkan halo terbentuk.
Menurut kenyataan itu lagi orang ramai yang ingin melihat halo perlu memastikan kedua-dua mata dilindungi daripada pancaran matahari.
"Jangan sesekali memandang halo secara terus dan dalam tempoh yang lama dan perlu sembunyikan matahari dari penglihatan di sebalik binaan, bangunan atau apa-apa sahaja," katanya.
Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati apabila mengambil gambar halo tanpa pelindung matahari kerana ia sangat berbahaya terutamanya ketika menggunakan kamera Single-lens reflex (SLR).
Sumber : http : //www.bernama.com.my/