Selasa, 17 April 2012
ISU SOSIAL : Pelaksanaan gaji minimum kena ambil kira kemampuan majikan
Oleh Kassim Thukiman
m-kassim@utm.my
ISU tuntutan pekerja terhadap gaji minimum bukan perkara baru. Pelaksanaan gaji minimum pula bukan perkara mudah kerana kerajaan perlu mengambil kira pelbagai perkara dan mengambil pandangan pelbagai pihak berkepentingan. Biasanya kerajaan akan berunding dengan majikan dengan mengambil pendekatan 'sama-sama menang'.
Kerajaan tentu lebih memihak kepada rakyat, tetapi pada masa yang sama tidak mahu kehilangan pekerjaan untuk rakyat. Tentu juga kerajaan tidak mengambil tindakan terburu-buru semata-mata atas nama transformasi.
Banyak perkara perlu diambil kira sebelum pelaksanaan gaji minimum. Antaranya dasar transformasi kerajaan, kuasa pasaran, produktiviti pekerja, kos hidup, kemampuan majikan dan lain-lain. Perkara yang menjadi tumpuan utama sekarang ialah berapakah jumlah pendapatan minimum yang akan ditetapkan.
Sehingga kini, pelbagai anggaran gaji antara RM800 hingga RM1,500. Pada hemat penulis, sebarang cadangan penentuan gaji minimum perlu rasional dan bijaksana. Pekerja perlu lebih rasional dalam membuat tuntutan terhadap nilai yang sesuai berkaitan gaji minimum.
Analoginya, penetapan itu agar tidak terlalu rendah dan tidak terlalu tinggi. Kita boleh mengambil semangat kesederhanaan (wasatiyyah) dalam kehidupan. Pada masa sama, harapan pekerja memanglah tinggi berkaitan penetapan gaji minimum.
Penetapan gaji minimum perlu mengambil kira keperluan asas pekerja dan keluarga. Ini berkaitan dengan faktor garis kemiskinan yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri. Dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi ke arah pembentukan negara maju, kerajaan tidak mahu ada rakyat terpinggir dan ketinggalan daripada arus pembangunan.
Atas semangat kemajuan dan pembangunan negara dikecapi bersama seluruh rakyat, maka majikan juga perlu mempunyai hati dan perasaan terhadap pekerjanya. Memang betul pekerja boleh berusaha untuk survival dalam kehidupan, tetapi mereka terpaksa menggunakan segala kudrat dan masa yang maksimum untuk menempuh cabaran kehidupan.
Penetapan gaji minimum harus juga mengambil kira kemampuan majikan untuk membayar dalam tempoh panjang. Jika tidak berkemampuan, mungkin majikan akan menutup perniagaan, akhirnya pekerja yang hilang pekerjaan.
Pepatah Melayu menyebutkan ‘orang tamak selalu rugi.’ Di sinilah semangat muhibah perundingan bersama dititikberatkan antara pekerja, majikan dan kerajaan.
Bagi pihak kerajaan, penetapan gaji minimum adalah satu usaha transformasi untuk mewujudkan sosioekonomi rakyat yang stabil. Inisiatif ini adalah pencernaan daripada semangat 1Malaysia, ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Dalam konteks inilah, dasar dan program transformasi ekonomi mengambil perhatian terhadap kepentingan serta kesejahteraan rakyat.
Sementara rakyat berhak menikmati dan mengecapi kemakmuran ekonomi, kerajaan juga mengambil perhatian terhadap kepentingan majikan dan pelabur asing. Sikap kerajaan adalah jelas. Kerajaan mengambil kira pelbagai faktor membabitkan kepentingan semua pihak. Pelbagai pertimbangan digunakan sebelum melaksanakan sesuatu dasar termasuk penentuan kadar gaji minimum.
Penetapan gaji juga boleh dibuat berdasarkan faktor wilayah yang amat mempengaruhi kos dan kualiti hidup di kalangan pekerja. Walaupun rakyat membayar barangan dengan harga sama walau di mana mereka tinggal, secara relatifnya, kos hidup di luar bandar lebih rendah berbanding bandar.
Justeru, jika kita hendak menetapkan suatu nilai gaji minimum untuk seluruh Malaysia adalah kurang sesuai. Begitu juga dengan jenis atau sektor ekonomi yang pelbagai – peladangan, perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan. Hakikatnya, setiap sektor ekonomi mempunyai fokus dan cabaran perniagaan tersendiri.
Persoalannya, apakah perkara asas pekerja atau rakyat? Pekerja sering menghadapi masalah apabila gaji pokok terlalu rendah. Mereka menghadapi masalah apabila berurusan dengan sektor perbankan untuk membuat pinjaman.
Kesimpulannya, kita perlu menyedari usaha yang diambil kerajaan untuk merealisasikan penentuan kadar gaji minimum. Sebagai ‘bapa’, kerajaan perlu bertindak seadil-adilnya terhadap ‘anaknya’ iaitu rakyat dan ‘sahabatnya’ majikan. Semua pihak perlu berlapang dada untuk berunding dan mengambil keputusan bijaksana, umpama ‘menarik rambut dalam tepung.’
Jelasnya semua orang hendak menikmati dan mengecapi kesenangan serta kebahagiaan hidup yang sementara ini. Jasa pekerja amat besar dalam menggerak pembangunan negara sejak sekian lama. Walau apapun polemik yang timbul berkaitan pelaksanaan gaji minimum, biarlah kita menunggu kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang akan mengumumkan penentuan kadarnya pada sambutan Hari Pekerja nanti.
Semoga pengumuman itu menjadi hadiah paling besar kepada pekerja. Satu perkara yang kita tidak boleh lupakan ialah ‘Pekerja Berinovatif Penggerak Transformasi’ yang menjadi moto Hari Pekerja 2012.
Penulis ialah Pensyarah Kanan UTM dan Felo Institut Sumber Manusia Kebangsaan, Kementerian Sumber Manusia, boleh dihubungi di e-mel m-kassim@utm.my
ISU GLOBAL : ASEAN mampu selesai pertikaian perairan dengan China
Oleh Mustapa Kamal Basri
APAKAH kesudahan ketegangan terbaru yang tercetus antara Filipina dan China berhubung pertikaian di perairan Scarborough Shoal di Laut China Selatan.
Kini sudah lebih seminggu ketegangan antara Filipina dan China itu tercetus tanpa sebarang penyelesaian, sebaliknya krisis itu menemui jalan buntu, apabila kedua-dua pihak terus berkeras tidak mahu beralah.
Ketegangan antara kedua-dua negara itu diumpamakan seperti gajah dan semut. Sebarang kesilapan menangani krisis itu boleh mengundang padah dan mencetuskan perang dan mendorong campur tangan Amerika Syarikat (AS), yang memang mencari alasan untuk bertapak di perairan tersebut, walaupun Filipina berpendirian mahu menyelesaikan krisis itu secara diplomatik.
Secara kebetulan, AS dan Filipina sedang mengadakan latihan tentera bersama selama dua minggu sejak semalam, melibatkan 6,000 askar AS dan Filipina, dan menyatakan China tidak dijadikan bayangan sasaran latihan.
Semuanya bermula pada Ahad minggu lalu apabila pihak berkuasa Filipina menahan bot-bot nelayan China yang didakwa menceroboh kawasan perairan Filipina di Scarborough Shoal di Luat China Selatan.
Ekoran itu, China bertindak menghantar dua bot peronda tentera lautnya ke perairan itu dan Filipina pula menghantar sebuah kapal perangnya.
Filipina mendakwa perairan itu adalah wilayahnya kerana ia berada dalam kawasan 200 batu nautika Zon Eksklusif Ekonomi yang diiktiraf oleh undang-undang antarabangsa, manakala China pula mendakwa kesemua perairan di Laut China Selatan adalah wilayahnya berdasarkan faktor sejarah.
Ini bukan kali pertama, ketegangan berlaku antara kedua-dua negara itu berhubung perebutan wilayah di perairan itu. Pada 2 Mac tahun lalu, dua bot peronda China didakwa menganggu kapal Filipina yang menjalankan kerja-kerja penerokaan minyak semasa mahu beredar dari kawasan perairan yang dikenali sebagai Reed Bank, sehingga mendorong Manila menghantar dua pesawat tentera ke tempat kejadian selepas kapal-kapal peronda China itu beredar dari kawasan itu.
Filipina mendakwa Reed Bank, yang terletak berhampiran kepulauan Spratly, berada dalam perairannya, sementara China pula mendakwa kepulauan Spratly dan perairan bertentangannya adalah miliknya.
Kepulauan Spratly terletak di Laut China Selatan berhampiran Malaysia, Filipina, Vietnam, China dan Brunei. Ia terdiri daripada lebih 100 pulau kecil atau terumbu dan Filipina menuntut hampir 50 buah daripadanya.
China juga pernah menggunakan kekuatan tentera lautnya pada 1995 untuk menawan semula Terumbu Mischief yang diduduki tentera Filipina.
Malahan tentera laut China dan Vietnam pernah bertempur di laut berhubung perebutan ke atas kepulauan Spratly pada 1988 di Johnson Reef. Dalam insiden itu, bot tentera laut China menenggelamkan beberapa buah kapal pengangkut Vietnam yang membawa tentera Vietnam menyebabkan 64 tentera Vietnam terbunuh.
Selain itu, China turut menghadapi perebutan bertindih ke atas perairan dan pulau-pulau kecil di kepulauan Spratly dengan Malaysia, Brunei, Vietnam dan Taiwan.
China berdepan konflik sukar, kerana di samping mempertahankan apa yang dipanggil kedaulatannya di perairan itu, Beijing juga perlu memikirkan hubungan dan perdagangannya dengan negara-negara anggota ASEAN.
China juga pasti tidak mahu terjebak dengan krisis ketenteraan secara terbuka dengan AS berikutan kesilapannya menangani krisis pertikaian wilayah dan perairan di Laut China Selatan.
Dalam konteks ini, ASEAN paling layak untuk menangani pertikaian itu memandangkan hampir semua negara anggota ASEAN terbabit dalam pertikaian ke atas kepulauan Spratly.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU SOSIAL : 54 Peratus Kes Keganasan Rumah Tangga Kerana Selisih Faham
KUALA LUMPUR: Majoriti kes keganasan rumah tangga ketika awal perkahwinan berpunca daripada perselisihan faham antara suami isteri yang mencatatkan sehingga 54 peratus daripada keseluruhan kes bagi tempoh 2007 sehingga Februari lepas.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Heng Seai Kei berkata, faktor lain ialah kewangan, di bawah pengaruh alkohol, cemburu dan masalah anak-anak.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepanjang tempoh itu sebanyak 18,124 kes dilaporkan iaitu 3,756 kes( 2007) ; 3,769 (2008); 3,643( 2009); 3,173 (2010); 3,277 (2011) dan 506 kes untuk dua bulan pertama tahun ini.
Bercakap pada sidang media bersama mangsa keganasan rumah tangga di sini Selasa, Heng berkata, walaupun statistik menunjukkan trend mendatar, kementerian itu tetap memandang serius kes berkenaan.
"Justeru, kementerian telah melaksanakan program bersesuaian antaranya program 'Smart Start' yang telah dilaksanakan semenjak 2009 demi memastikansegala mesej yang ingin disampaikan kepada pasangan yang ingin berkahwin atau yang sudah mendirikan rumah tangga tidak kurang dari lima tahun mendapat pengetahuan asas dalam institusi perkahwinan dan kekeluargaan," katanya.
Katanya, statistik PDRM juga menunjukkan kebanyakan mangsa keganasan rumah tangga adalah golongan wanita yang berusia lingkungan 26 hingga 35 tahun, iaitu 35 peratus daripada jumlah kes.
"Mereka yang melakukan keganasan rumah tangga ini juga kebanyakannya berusia 26 hingga 35 tahun yang mana ada antara mereka baru sahaja mendirikan rumah tangga," katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan masih banyak kes keganasan rumah tangga yang tidak dilaporkan atas faktor budaya masyarakat timur yang konservatif serta malu dan tidak mahu hal rumah tangga diketahui umum.
Bagi memastikan pihak polis dapat membantu mangsa keganasan rumah tangga ini secara efektif, kementerian akan mencadangkan kepada PDRM untuk memasukkan silibus berkenaan cara untuk berhadapan dengan mangsa keganasan rumah tangga ini kepada pelatih polis supaya apabila mereka keluar bertugas kelak, mereka mempunyai kemahiran untuk menyelia kes seperti itu memandangkan kes tersebut merupakan kes yang sensitif dan membabitkan maruah, katanya.
Sementara itu, salah seorang daripada mangsa berusia 20-an yang enggan namanya didedahkan menceritakan pengalamannya dipukul suami sehingga mengalami kecederaan fizikal yang parah.
Katanya, dia menyedari suaminya penagih dadah selepas mendirikan rumah tangga pada tahun 2010.
"Selepas saya melahirkan seorang anak, suami kerap memukul saya terutama sekali apabila dia berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol dan kami juga sering kali berselisih faham sehingga dia pernah mengugut untuk mengancam keluarga saya.
"Pada mulanya, saya berasa takut untuk membuat laporan polis tetapi selepas berfikir saya akhirnya membuat laporan polis," katanya.
Katanya, dia berkongsi pengalaman itu bagi mengelakkan lebih ramai wanita menjadi mangsa keganasan rumah tangga. -BERNAMA
ISU KENEGARAAN : Umat taat kepada pemerintah dijamin ganjaran pahala
Oleh Amran Zakaria
MASYARAKAT Islam negara ini mempunyai pandangan tersendiri terhadap raja. Rakyat bukan saja meyakini institusi raja sebagai pelindung agama, bahkan menjadi payung pelindung rakyat keseluruhannya.
Betapa rapatnya hubungan rakyat dengan raja dapat dikesan dalam ungkapan bernilai iaitu ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’. Manifestasi itu menggambarkan sayang dan kasihnya rakyat terhadap institusi raja yang sudah dipertahankan lebih dari enam dekad lalu.
Kita sering diingatkan sebaik-baik pemerintah ialah orang yang kita kasihi dan pemerintah pula mengasihi sekalian hambanya. Justeru, rakyat akan sentiasa mendoakan untuk kesejahteraan pemerintah, manakala pemerintah mendoakan kebahagiaan rakyatnya.
Sejarah merakamkan dalam tinta emasnya bahawa Raja-Raja Melayu bukan hanya simbol negara, malah terbukti memainkan peranan penting bagi memastikan kestabilan politik di samping istiqamah mempertahankan agama.
Bagi tujuan mengukuhkan kedudukan agama dan perpaduan rakyat, maka ketaatan rakyat terhadap pemerintah adalah dituntut.
Daripada Anas, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dengarlah olehmu semua dengan patuh dan taatlah pula, sekalipun yang digunakan yakni yang diangkat sebagai pemegang pemerintahan atasmu semua seorang hamba sahaya keturunan Habsyi, orang berkulit hitam, yang di kepalanya itu seolah-olah ada bintik-bintik hitam kecil.” (Hadis riwayat Bukhari).
Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wajib atasmu itu mendengar dengan patuh serta mentaati baik engkau dalam keadaan sukar ataupun lapang, juga baik engkau dalam keadaan rela menerima perintah itu ataupun dalam keadaan membencinya dan juga dalam hal yang mengalahkan kepentingan dirimu sendiri.” (Hadis riwayat Muslim)
Menumpahkan taat setia kepada Raja-Raja Melayu tidak harus menjadi medan perdebatan untuk dipersoalkan. Malah, rakyat diseru berpadu sebagai benteng melindungi institusi Raja-Raja Melayu, dalam apa juga keadaan
seperti tersurat dalam Perlembagaan Negara.
Tugas dan tanggungjawab Raja-Raja Melayu mempertahankan agama Islam di Malaysia termaktub dalam sumpah Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong ketika menaiki takhta untuk menjalankan keadilan pemerintahan mengikut undang-undang dan perlembagaan negeri di samping berikrar memelihara kesucian Islam.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kamu akan diperintah oleh pemerintah selepas aku; yang baik akan memerintah kamu dengan kebaikannya dan yang tidak baik akan memerintah kamu dengan keburukannya, maka hendaklah kamu dengar dan taat kepada mereka pada setiap perintah yang sesuai dengan kebenaran; jika mereka melakukan kebaikan, maka kebaikan itu bagi kamu dan bagi mereka; tetapi jika mereka melakukan kejahatan, maka kamu akan beroleh kebaikan, tetapi mereka akan menerima akibat kejahatan yang mereka lakukan.” (Hadis ini disebut Al-Mawardi dalam kitabnya Al-Ahkam al-Sultaniah daripada riwayat Abu Hurairah)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa mentaatiku bererti ia mentaati Allah. Sesiapa menderhakaiku, maka ia sudah menderhakai Allah. Sesiapa mentaati amirku bererti ia taat kepadaku dan sesiapa menderhakai amirku bererti ia menderhakaiku.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)
Oleh itu, menjadi tanggungjawab setiap orang Islam di Malaysia mempertahan dan memelihara institusi raja kita. Sebarang serangan atau usaha yang boleh menggugat peranan dan kedudukan institusi raja mesti ditentang.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa melepaskan ketaatan daripada pemimpin, dia akan berjumpa dengan Allah pada hari kiamat tanpa punya hujah (alasan).” (Hadis riwayat Muslim)
Tokoh pemikir, Ibn Taimiyah, berkata taat kepada Allah dan Rasul-Nya wajib bagi setiap Muslim, taat kepada penguasa (pemerintah) adalah penguat ketaatan kepada Allah. Sesiapa yang taat kepada Allah dan rasulnya dengan menjalankan ketaatan kepada penguasanya, pahalanya dijamin Allah.
Tetapi kalau taat kepada penguasa dalam hal-hal yang menguntungkan saja, apabila diberi hal yang memenuhi kepentingannya ia taat dan sebaliknya jika tidak diberi dia tidak akan taat, orang seperti itu pada hari akhirat tidak punya bahagian (pahala).
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU KENEGARAAN : Ruang demokratik yang mencukupi
Bismillahirrahmanirrahim
“Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang bernama Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dibacakan kali yang kedua sekarang.”
Tuan Yang di-Pertua,
Ahli-ahli Yang Berhormat,
Di ambang Hari Malaysia 16 September 2011 yang lalu, saya telah mengumumkan inisiatif Program Transformasi Politik Negara atau PTP yang melibatkan pembatalan 3 Proklamasi Darurat, pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri, Penggubalan Akta Perhimpunan Aman termasuklah pemindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.
Serentak dengan itu, setelah tujuh bulan berlalu, bukan sekadar semua komitmen ini sedang dilunaskan, kita juga meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti sebagai mengiktiraf kematangan juga hak perlembagaan mahasiswa mahupun mahasiswi terlibat dalam politik berparti.
Tuan Yang di-Pertua,
Menghalusi komponen-komponen Dasar Transformasi Nasional, Program Transformasi Kerajaan atau GTP melalui Program Transformasi Luar Bandar atau RTP lebih responsif kepada keutamaan massa bagi memastikan masyarakat luar bandar memiliki kemudahan prasarana asas yang moden dan mencukupi. Program Transformasi Ekonomi atau ETP bersesekali dengan Model Baru Ekonomi atau NEM pula bertujuan mencapai matlamat nasional menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.
Sehubungan itu, sering kita sebutkan, seandai terkedepan dari segi infrastruktur fizikal atau material semata-mata tanpa kematangan institusi serta wacana politik nasional, mana mungkin mencerminkan kemajuan sebenarnya.
Dalam kata lain, kita ingin merealisasikan potensi Malaysia, bukan setakat menjadi negara demokratik, tetapi lebih daripada itu, untuk melonjakkan tempatnya pada kedudukan disegani di kalangan komuniti negara-negara yang menghormati hak asasi manusia. Lantaran itulah, inisiatif PTP ini bermatlamat bagi memastikan proses pembaharuan dan perubahan nasional dilaksanakan dengan tuntas.
Sememangnya ini adalah satu proses berterusan dan menuntut komitmen semua rakyat Malaysia. Ia bukan misi singkat yang mengambil masa sehari, seminggu, sebulan mahupun setahun, sebaliknya ia memerlukan iltizam bersifat generasi ke generasi.
Tuan Yang di-Pertua,
Jelas sekali, perubahan dan pembaharuan lanskap politik yang sedang kita lakukan kini melalui PTP adalah bagi menangani kejayaan membangunkan negara selama lebih separuh kurun semenjak merdeka. Ia hasil usaha tidak kunjung jemu oleh kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi, menyediakan prasarana fizikal moden, membuka akses kepada prasarana teknologi maklumat serta komunikasi yang menyeluruh sekali gus pelaburan besar dalam bidang pendidikan.
Melalui pindaan, pemansuhan dan penggubalan undang-undang yang sedang berjalan, kerajaan mahu memastikan ruang demokratik mencukupi disediakan untuk perbezaan pendapat serta persaingan idea. Pucuk pangkalnya, kita mahu mencipta sebuah Malaysia di mana prinsip hak asasi manusia dijunjung, kebebasan individu untuk berhimpun secara aman dan untuk menyatakan pendapat secara terbuka diraikan, seraya kepentingan individu dan komuniti diimbangi.
Berdiri di muka gerbang semua ini, segalanya kita mampu gemblengkan kerana kita yakin dengan kematangan semua, kerana kita yakin dengan kesediaan rakyat Malaysia, dan mustahaknya kita yakin bahawa ini adalah perkara yang betul dan wajar untuk dilakukan. Apa yang penting, setiap hak mahupun kebebasan mestilah bersulam dengan tanggungjawab, dengan izin, “freedom with responsibility”.
Tuan Yang di-Pertua,
Jika ditinjau, senario antarabangsa sekalipun, peristiwa dan waktu menunjukkan untuk mencapai tahap demokrasi yang ada seperti hari ini, Amerika Syarikat dan United Kingdom mengambil tempoh berabad lamanya melalui proses perlembagaan, perang saudara, perundangan malah usaha tanpa henti oleh masyarakat sivilnya.
Lain halnya, kita bersyukur kepada Tuhan bahawa usaha evolusi demokrasi negara ini tidak melibatkan pertumpahan darah bahkan ia berkait rapat dengan evolusi sosioekonomi. Seperti diimbas lebih lima dekad yang lalu, Timbalan Perdana Menteri Malaya pada ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak, dalam dewan yang mulia ini juga telah membentangkan rang undang-undang Keselamatan Dalam Negeri 1960 bagi menyediakan negara dengan perkakasan perundangan yang perlu bagi mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen, keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang pasca tamatnya era darurat.
Jadinya, hari ini amat bersejarah dalam menyisir susur galur demokrasi Malaysia. Pentadbiran kini yang sentiasa prihatin merasai denyut nadi rakyat, yang sentiasa mendengar keluh kesah mereka, dan sentiasa mendakap aspirasi massa telah mengambil keputusan untuk memansuhkan ISA. Kita hakikatnya telah memasuki era demokrasi yang lebih matang di mana peranan kerajaan berubah daripada menjadi penentu dan pengukur tahap kematangan rakyat kepada pelindung agar mereka dapat menikmati hak-hak asasi yang sepatutnya.
Tuan Yang di-Pertua,
Tidak ada sesiapa pun mampu menafikan bahawa selama lebih setengah abad kewujudannya, ISA berperanan bagi melindungi cara hidup demokratik di negara tercinta ini.
Ironisnya, undang-undang yang dianggap draconian ini telah memastikan demokrasi, hak asasi manusia dan human dignity dilindungi di Malaysia berbanding alternatif lain jika negara ditadbir oleh sistem kediktatoran komunis.
Namun, masa telah beralih dan peranan ISA telah tiba ke penghujungnya. Kerajaan menyedari hakikat ini dan komited bagi memacu Malaysia ke arah masa depan yang lebih progresif.
Hari ini sudah lebih dua dekad pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya dan Parti Komunis Kalimantan Utara berakhir. Ideologi komunisme sudah tidak lagi mendapat tempat sebagai asas pemerintahan negara-negara di dunia. Namun, berakhirnya ancaman ideologi ini tidaklah membawa era keamanan global yang diharapkan sebaliknya ia menyaksikan ancaman komunisme diganti oleh ancaman keganasan antarabangsa yang berteraskan ideologi ekstremisme.
Kedua-dua ideologi ini walaupun berbeza, namun mempunyai titik persamaan matlamat, iaitu kedua-duanya mahu merubah corak pemerintahan negara yang berteraskan Demokrasi Berparlimen dengan menggunakan keganasan dan cara-cara tidak berperlembagaan. Soalnya, matlamat ini sama sekali tidak dapat diterima oleh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kemajmukan.
Oleh yang demikian, menangani cabaran anti demokratik pasca komunisme yang lebih kompleks dan canggih, negara bukan sahaja memerlukan perisai iaitu kematangan politik rakyat tetapi juga pedang di dalam bentuk Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan 2012. Rang undang-undang ini mewujudkan langkah-langkah khas diperlukan untuk menangani kes-kes keselamatan seperti yang terkandung dalam Bab Enam Kanun Keseksaan.
Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan 2012 digubal di bawah lembayung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Keluwesan diberi kepada kerajaan untuk menggubal perundangan yang tidak selaras dengan Perkara-Perkara 5 dalam hal kebebasan diri, Perkara 9 berkaitan larangan buang negeri dan kebebasan bergerak, Perkara 10 berhubung kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan serta Perkara 13 tentang Hak terhadap harta.
Hendaklah diketahui bahawa, meskipun Rang Undang-Undang ini akan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Rang Undang-Undang ini tidak akan menjejaskan penahanan orang yang sedang ditahan kecuali perintah itu dibatalkan oleh Menteri Dalam Negeri.
Di bawah pindaan undang-undang ini, aktiviti “menjejaskan demokrasi berparlimen” ditafsir sebagai suatu aktiviti yang dilakukan oleh seorang atau kumpulan orang dengan tujuan untuk menggulingkan atau melemahkan demokrasi berparlimen dengan cara yang ganas dan tidak berlandaskan Perlembagaan.
Secara mudahnya jika ada mana-mana rakyat Malaysia sama ada individu, kumpulan atau parti politik berhajat merubah teras asas pemerintahan negara iaitu Demokrasi Berparlimen kepada misalnya pemerintahan yang bersifat teokratik, mereka haruslah menggunakan cara-cara yang diabsahkan oleh Perlembagaan Persekutuan yakni melalui peti undi untuk mendapat sokongan majoriti rakyat. Ini bersesuaian dengan prinsip bahawa rupa bentuk Kerajaan hanya boleh ditentukan oleh rakyat itu sendiri.
Tuan Yang di-Pertua,
Menyedari bahawa rang undang-undang ini digubal di bawah Perkara 149 dan ia membenarkan penahanan individu oleh pihak polis untuk tujuan siasatan yang luar dari norma kebiasaan tatacara jenayah dan undang-undang keterangan yang lazim, maka, kerajaan telah mengambil keputusan mengadakan beberapa lindung jamin atau “safeguards” seperti berikut;
Pertama melalui peruntukan Seksyen 4 Sub-Seksyen 3, “tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah seksyen ini semata-mata atas kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya”. Ini membawa maksud perlindungan kepada penglibatan dalam aktiviti yang sah di sisi undang-undang melalui :-
(a) pernyataan pendapat atau pengambilan tindakan yang dibuat menurut rukun suatu parti politik yang pada masa yang berkaitan itu berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] yang terbukti melalui -
(i) keanggotaan atau sumbangan kepada parti itu; atau
(ii) penyertaan terbuka dan aktif dalam hal ehwal parti itu;
(b) pernyataan pendapat yang ditujukan terhadap mana-mana Kerajaan di dalam Persekutuan; atau
(c) pengambilan tindakan yang ditujukan terhadap mana-mana Kerajaan di dalam Persekutuan.
Kedua, pemansuhan kuasa Menteri Dalam Negeri untuk menahan tanpa perbicaraan mana-mana individu. Fasal 4 rang undang-undang baru ini menyentuh tentang kuasa penangkapan dan penahanan. Di bawah fasal ini, polis mempunyai kuasa khas untuk menangkap dan menahan mana-mana orang yang polis mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa orang itu terlibat dengan kesalahan keselamatan.
Perlu ditekankan disini bahawa, kuasa penangkapan dan penahanan ini adalah untuk tujuan penyiasatan semata-mata. Orang yang ditangkap dan ditahan di bawah fasal ini boleh ditahan untuk tempoh 24 jam bagi maksud penyiasatan. Walau bagaimanapun, polis boleh melanjutkan tempoh tahanan tidak lebih daripada 28 hari bagi maksud penyiasatan.
Selanjutnya, jika polis berpandangan bahawa, penahanan lanjut tidak diperlukan selepas 24 jam atau pada bila-bila masa selepas itu, maka, orang itu boleh dilepaskan tetapi boleh dipasang dengan peranti pengawasan bagi maksud penyiasatan bagi suatu tempoh masa yang tidak melebihi baki tempoh tahanan yang dibenarkan.
Mereka yang ditangkap bebas untuk membuat permohonan habeas corpus di mahkamah dan boleh mencabar alasan tahanan dan tatacara tahanan. Ringkasnya, kuasa semakan kehakiman dikembalikan sepenuhnya kepada Mahkamah bukan seperti peruntukan dalam ISA yang menghalang kuasa semakan kehakiman kecuali dalam tatacara tahanan.
Berkaitan itu, ingin ditegaskan bahawa kerajaan dan pihak berkuasa akan menghormati apapun keputusan yang dibuat oleh mahkamah. Dalam erti kata lain, seseorang yang telah dilepaskan, tidak akan ditahan semula, atas siasatan kesalahan yang sama.
Ketiga, ialah “sunset clause” bagi tempoh tahanan 28 hari hendaklah disemak tiap-tiap lima tahun dan hendaklah terhenti berkuat kuasa melainkan, jika, apabila semakan dibuat, suatu ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa peruntukan itu.
Tuan Yang di-Pertua,
Lindung jamin keempat ialah Fasal 5 memperuntukkan bahawa apabila seseorang ditangkap dan ditahan di bawah fasal 4, polis yang menjalankan penyiasatan hendaklah memberitahu waris kadim atau next-of-kin orang yang ditangkap dan ditahan itu sesegera mungkin mengenai penangkapan dan penahanannya. Pihak polis juga hendaklah memenuhi hak mengguami atau, dengan izin, right to attorney, si ditahan tidak lewat daripada 48 jam.
Lindung jamin kelima, dalam jangka masa yang tidak lebih daripada tamatnya tempoh tahanan, pegawai polis yang menjalankan siasatan itu perlu menghantar Kertas Siasatan kepada pendakwaraya di mana beliau hendaklah membuat keputusan sama ada mendakwa tertuduh di mahkamah atau membebaskannya. Ini bererti, tidak akan ada tahanan selepas tempoh 28 hari.
Lindung jamin keenam ialah apabila Akta ini berkuat kuasa, Kerajaan juga akan menubuhkan suatu Jawatankuasa secara pentadbiran untuk menyemak keseluruhan Akta ini dari masa ke semasa dan Jawatankuasa ini akan juga bertanggungjawab untuk meneliti pelaksanaan Akta tersebut dan mengemukakan syor untuk penambahbaikan. Jawatankuasa ini akan dianggotai bukan sahaja oleh agensi yang berkenaan tetapi juga Presiden Majlis Peguam dan SUHAKAM.
Lindung jamin terakhir dan terbesar adalah kuasa dan kehendak rakyat. Kita harus maklum bahawa, di tangan rakyatlah kuasa setiap lima tahun untuk mengamanahkan parti atau gabungan parti mana yang hendak diberi kuasa sebagai kerajaan. Itulah teras asas sistem demokrasi berparlimen.
Tuan Yang di-Pertua,
Bahagian V rang undang-undang ini pula memperkatakan perbicaraan kes kesalahan keselamatan. Di bawah Bahagian ini terdapat 2 fasal iaitu fasal 12 yang memperuntukkan bahawa kes yang melibatkan kesalahan keselamatan akan dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi.
Dengan mengambil kira keseriusan kesalahan keselamatan, adalah dicadangkan supaya mahkamah khas diwujudkan secara pentadbiran untuk mendengar kes-kes keselamatan di bawah Rang Undang-Undang ini. Para Hakim yang berpengalaman akan diberi pendedahan kepada semua bentuk kesalahan keselamatan dan peruntukan undang-undang yang akan digunakan.
Tuan Yang di-Pertua,
Pembentangan rang-rang undang kesalahan keselamatan 2012 ini, tidak bermakna berakhirnya usaha yang telah dimulakan tujuh bulan lalu. Pastinya, kerajaan akan meneruskan usaha perubahan dan pembaharuan politik yang mulia ini. Untuk itu, suka saya mengumumkan bahawa kerajaan akan mengkaji semula secara komprehensif Akta Hasutan tanpa mengenepikan apa-apa opsyen.
Paling utama, tiga prinsip perlu kekal dalam sebarang evolusi kerangka perundangan baru ini adalah untuk menangani perbuatan dan perlakuan berikut yang :-
i) mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja;
ii) mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia; atau
iii) mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 151, 153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan.
Tuan Yang di-Pertua,
Kerajaan juga akan menggubal rang undang-undang baru bagi menggantikan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Rang undang-undang baru ini akan mengekalkan janji kerajaan untuk menghapuskan keperluan pembaharuan tahunan lesen penerbitan serta menubuhkan Majlis Media yang akan melaksanakan kawal-selia kendiri industri, atau dengan izin, self regulatory.
Sememangnya lagi, kita tidak takut dan gentar bagi bersaing dalam gelanggang demokrasi, kita tidak takut berbanding idea serta dasar dengan sesiapa pun. Kerajaan bersikap terbuka kerana kita percaya era kerajaan mengetahui segala-galanya telah berakhir, dan kita akur bahawa era kerajaan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan telah melabuhkan tirainya.
Dari yang demikian, kita percaya kita telah melakukan yang terbaik demi rakyat Malaysia. Kita akan terus melaksanakan yang terulung untuk rakyat Malaysia. Memang ternyata, kerja kita masih belum selesai. Kita perlu berikhtiar dengan lebih keras bagi memastikan anak-anak Malaysia hidup dalam sebuah negara yang aman sejahtera, makmur lagi bebas daripada ketakutan, kegundahan dan kebimbangan.
Pokoknya, kita sedang mencipta sebuah negara di mana keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang menjadi payung kepada setiap individu, agar bebas menyuarakan pendapat, mengkritik, menyokong, berbeza pandangan, bersiasah, mahupun menganggotai apa-apa pertubuhan.
Pendek kata, tidak ada sesiapa akan dihukum hanya-sanya kerana menjalankan hak-hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara.
Akhir kalam, kita idam-idamkan sebuah Malaysia yang terbaik untuk warganya sebagai tanah tumpah darah mereka. Demi itu, Kerajaan Barisan Nasional akan tetap berdiri teguh, sesekali tidak akan berundur, bahkan berkobar-kobar meneruskan proses tajdid dan islah nasional, menyongsong nahdhoh keemasan demokrasi Malaysia. Insya-Allah.
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadang. Sekian, terima kasih.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/