Oleh : Dr Wan Mohd Faizal Wan
Ishak
Langkah bersepadu perlu
dilaksana elak kos pemulihan terus meningkat
Secara asasnya pertumbuhan
ekonomi di kawasan Asia meningkatkan taraf sosio kehidupan penduduknya. Pada
masa sama, keadaan ini membawa kepada peningkatan penggunaan sumber semula jadi
dan eksplotasi persekitaran untuk keperluan sosial dan industri. Akibatnya, di
kebanyakan bandar negara Dunia Ketiga, pembuangan sampah yang tidak diurus
dengan baik akan mengakibatkan masalah besar seperti banjir.
Penghasilan sisa pepejal di
kebanyakan negara Asia meningkat terutama di negara mempunyai kepadatan
penduduk tinggi dan sistem pengurusan sisa pepejal yang teruk serta pemahaman
mengenai kepentingan penjagaan yang masih rendah. Sekiranya setiap individu
terus mengamalkan sikap suka membuang sisa pepejal secara tidak berhemah,
masalah banjir kilat akan menjadi lebih kritikal.
Banjir adalah bencana alam yang
sering melanda di kebanyakan tempat di Malaysia. Ia berpunca daripada
ketidakseimbangan kitaran air yang biasanya disebabkan peningkatan kawasan tepu
bina, kelemahan sistem pengairan bandar di sesebuah lembangan dan beberapa
faktor fizikal lain.
Sebagai contoh kawasan yang
sering dilanda banjir ialah kawasan tanah rendah terutama di kawasan Pantai
Timur Semenanjung seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan yang dilanda musim
tengkujuh antara November hingga Mac. Masalah ini menyebabkan penduduk
kehilangan harta benda dan paling menyedihkan ia juga meragut banyak nyawa.
Masalah banjir juga turut berlaku
di Georgetown, Pulau Pinang khasnya di sekitar Jalan P Ramlee dan Jalan Perak
pada September 1995. Banjir kilat berlaku sekiranya hujan lebat untuk tempoh
masa agak lama disertai peningkatan paras air sungai yang mendadak.
Pembuangan sampah
Antara punca masalah banjir kilat
ialah pembuangan sampah sarap oleh penduduk yang tidak bertanggungjawab.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP)
turut memperakui bahawa sisa pepejal adalah punca berlakunya masalah banjir di
kawasan berkenaan.
Di Kuala Lumpur, banjir kilat
sering berlaku di sekitar Jalan Klang Lama, Kampung Baru, Pantai Dalam dan
Kampung Haji Abdullah Hukum. Kepadatan penduduk yang semakin bertambah dan
kepesatan pembangunan di Kuala Lumpur memburukkan lagi keadaan.
Hal ini dibuktikan dengan
terjadinya banjir kilat yang agak serius sejak kebelakangan ini, termasuk pada
10 Jun 2003 yang mana bandar raya Kuala Lumpur ditenggelami air diikuti pada 14
Julai 2004 di mana kawasan sekitar Sungai Buluh pula dilanda banjir. Kejadian
terbaru banjir kilat di Kuantan pada 24 Disember 2012 lalu pula akibat limpahan
air Sungai Galing dan menenggelamkan beberapa kawasan bandar Kuantan sehingga
1.5 meter.
Walaupun fenomena hujan lebat
yang dikaitkan dengan masalah pemanasan global dikatakan sebagai punca utama,
faktor asas lain seperti pembuangan sisa pepejal yang menghalang pengaliran air
yang sempurna tidak boleh dipandang remeh dan perlu diselesaikan bagi
mengelakkan perkara seperti ini berulang lagi pada masa hadapan.
Tiada kesedaran
Sikap penduduk membuang sampah ke
dalam longkang atau perparitan menyebabkan sistem pengaliran air tersekat.
Kebanyakan sampah yang dibuang ke dalam parit perbandaran akan mengalir ke
dalam sungai dan menyebabkan pengaliran air sungai tidak lancar.
Selain itu, endapan terkumpul
akibat kerja pembinaan yang pesat dan tidak terkawal serta hakisan tebing
menyebabkan parit dan kawasan sungai menjadi cetek. Hal ini akan mengurangkan
kapasiti pengaliran air dan menyebabkan limpahan sungai.
Beberapa siri banjir dan banjir
kilat sejak 2001 sehingga 2012 di negeri-negeri Pantai Timur dan pada 2006 di Johor
menelan kos pemulihan jutaan ringgit dan ia akan terus meningkat pada masa akan
datang jika langkah bersepadu membendung banjir tidak dilaksanakan.
Secara asasnya bagi mengelakkan
kejadian banjir kilat ini terus melanda sama ada di kawasan yang biasa terkena
banjir atau tidak, setiap individu mesti mempunyai kesedaran yang maksimum
untuk mengubah cara pemikiran mereka supaya masalah pembuangan sisa pepejal ke
sistem perparitan dan sungai tidak berlaku sesuka hati.
Penulis ialah Pengarah Pusat
Penyelidikan & Pembangunan Sumber Alam (CERRM) Universiti Malaysia Pahang
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan