BUKIT MERTAJAM : Timbalan
Menteri Pelajaran Mohd Puad Zarkashi berkata guru-guru perlu membantu memberi
penjelasan dan pemahaman mengenai gejala lesbian, gay, biseksual dan
transgender (LGBT) kepada pelajar agar mereka tidak mudah terjerumus dengan gejala
negatif yang kian berleluasa itu.
Beliau berkata walaupun tiada
mata pelajaran khusus disediakan, tetapiguru-guru boleh menggunakan mata
pelajaran kesihatan dan reproduktif sosial secara kreatif, untuk memberi
penjelasan mengenai kesan negatif gejala itu.
"Tugas dan tanggungjawab
seorang guru hari ini bukan sekadar memahami cabaran dalam isu-isu pendidikan
atau mendidik pelajar di dalam bilik darjah, tetapi perlu memahami dan
menangani cabaran isu-isu sosial seperti penularan gejala LGBT.
"LGBT bukan masalah bagi
satu kelompok bangsa atau agama sahaja tetapi ia telah menjadi masalah global.
Pelbagai usaha mengekang gejala ini masih diteruskan bagi menghindar budaya
songsang itu terus memusnahkan struktur sosial," katanya.
Beliau berkata demikian kepada
pemberita selepas merasmikan seminar keibubapaan (Menangani Isu LGBT) di Dewan
Mutiara, Politeknik Seberang Perai, Permatang Pauh di sini hari ini.
Mohd Puad berkata seminar kali
kedua diadakan di peringkat negeri Pulau Pinang itu merupakan yang ke-21 untuk
seluruh negara. Ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan Kementerian
Pelajaran Malaysia mengalu-alukan penganjuran seminar seperti itu.
"Saya yakin dengan adanya
seminar seperti ini, pengetahuan mengenai gejala LGBT dapat diperluas, dan gejala
ini dapat dicegah daripada terus menular hingga merosakkan struktur sosial
sesebuah negara," katanya.
Seminar sehari anjuran Yayasan
Guru Malaysia Berhad (YGMB) itu dihadiri lebih 1,000 peserta terdiri daripada
guru kaunseling, guru hal ehwal pelajar,guru pendidikan kesihatan dan Persatuan
Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Sebanyak dua kertas kerja
dibentangkan oleh tiga orang ahli panel iaitu Ketua Pengarah Biro Tatanegara,
Jabatan Perdana Menteri Datuk Raja Arif Raja Ali (Liberalisasi - Cabaran Masa
Kini) dan Perunding Kaunseling dan Motivasi Hushim Salleh (Pengenalan LGBT-
Overview dan Simptom LGBT).
Turut diadakan ialah sesi
perkongsian pengalaman dengan individu yang pernah terlibat dengan gejala LGBT
yang dikendalikan oleh Hushim. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan