Oleh : Zin Mahmud
BANYAK bahasa di dunia yang kini
sudah tiada. Termasuklah bahasa-bahasa besar seperti Latin dan Sanskrit.
Kini, banyak perkataan Latin
terdapat dalam bahasa Itali, Sepanyol, malah juga Inggeris.
Begitu juga dengan Sanskrit.
Perkataan-perkataan daripada bahasa itu turut diwarisi bukan saja ke dalam
bahasa Hindi tetapi juga ke dalam bahasa Melayu, Thai dan Khmer.
Ini kerana Sanskrit pernah
menjadi bahasa pemikiran di Nusantara ketika wilayah ini menganut Hindu dan
Buddha. Setelah datangnya Islam, maka pemikiran wilayah ini kuat dipengaruhi
bahasa Arab.
Tetapi apabila Belanda menjajah
Hindia Timur dan Inggeris di Malaya, bahasa Melayu tidak lagi menjadi bahasa
pemikiran. Bahasa ilmu adalah bahasa Belanda dan Inggeris.
Cuba bayangkan jika penjajah
Belanda memaksa bahasanya ke atas semua penduduk Hindia Timur maka apabila
Indonesia berjuang untuk kemerdekaan, maka para nasionalis di situ mungkin
mengambil bahasa Belanda sebagai bahasa
penyatuan seperti mana India yang merdeka mengambil bahasa Inggeris.
Sementara di Malaya pula, andai
kata Malayan Union berjaya ditubuhkan, maka besar kemungkinan bahasa rasmi
negeri ini adalah bahasa Inggeris.
Jika perkara ini tidak
menimbulkan perasaan peka di kalangan orang Melayu, maka setelah beberapa
generasi, bahasa ini juga pupus. Seperti mana juga kini tulisan jawi telah
pupus, maka begitu jugalah bahasa Melayu jika orang dahulu tidak mempertahankan
untuk menjadikannya bahasa kebangsaan bagi Malaysia.
Itulah realitinya. Tanpa usaha
menyuburkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Malaysia, bahasa ini boleh hilang
seperti terpupusnya banyak bahasa lain di dunia. Jika rakyat Malaysia tidak
mahukan bahasa Melayu, maka ia akan hilang selepas beberapa generasi saja.
Dengan kehilangannya, pemikiran dalam warisan Melayu juga akan turut hilang.
Rabu lalu, agensi berita Associated
Press ada menyiarkan satu laporan mengenai satu bahasa yang sedang
terpupus.
Bahasa itu bernama Kanakanavu
yang kini hanya boleh dituturkan oleh sepuluh orang di kampung Dakanua di Taiwan.
Apabila orang ini tiada kelak, pastinya bahasa ini juga pupus.
Kanakanavu adalah salah satu
daripada banyak bahasa orang asli di Taiwan. Hanya dua peratus daripada 23 juta
penduduk Taiwan terdiri daripada orang asli.
Kerajaan Taipei mengiktiraf 14 bahasa
orang asli. Empat daripadanya masih dituturkan oleh ribuan orang. Kanakanavu
pula adalah antara yang sedang pupus.
Seorang ahli bahasa di Universiti
Kebangsaan Taiwan, Sung Li-may sedang berusaha untuk menyelamatkan bahasa ini
daripada kepupusan.
Banyak orang asli Taiwan
meninggalkan bahasa ibundanya dan mengambil bahasa China yang dominan di pulau
itu untuk survival.
Dalam laporan itu, Sung
memberitahu bahawa Kanakanavu ini adalah salah satu bahasa yang terdapat dalam
rumpun Austronesia.
Katanya rumpun bahasa ini bermula
dari Taiwan 4,000 tahun lalu. Daripadanya ia berkembang hingga ke Pulau Easter
di Lautan Pasifik hingga ke Madagascar di Afrika.
Ada satu perkataan dalam bahasa
lama orang asli Taiwan, iaitu galinga. Dalam dialek bahasa orang asli moden
Taiwan, ia menjadi calinga. Dalam bahasa Tagalog, ia menjadi tainga. Dalam
bahasa Fiji ialah dalinga. Samoa pula talinga dan di Papua New Guniea, ia
adalah taringa.
Dalam bahasa Melayu, perkataan
itu ialah telinga.
Ada orang asli Taiwan yang
berkunjung ke New Zealand mendapati bahawa bahasa Maori mempunyai banyak
perkataan sama dengan mereka, terutama nama angka.
Ahli arkeologi Peter Bellwood dan
ahli bahasa Robert Blust menampilkan teori bahawa orang purba Taiwan mempunyai
kemahiran laut yang hebat hingga mereka belayar dan berhijrah ke Asia Tenggara
di selatan dan pulau-pulau Pasifik di timur. Juga ke Madagascar di Afrika
dengan membawa bahasa mereka.
Rumpun bahasa inilah yang disebut
Austronesia atau kepulauan selatan termasuklah Nusantara.
Ibu negara Madagascar bernama
Antananarivo. Ada pengkaji menyatakan bahawa ia bermaksud tanah seribu. Dalam
bahasa mereka, Malagasy, pokok kelapa dipanggil nyior.
Rumah tradisi mereka juga
mempunyai tiang dan reka bentuknya tidak berbeza daripada rumah Melayu di
Sumatera. Sementara cara mereka menanam padi secara bertingkat-tingkat adalah
seperti yang dilakukan di Jawa dan Filipina.
Haiwan pada lambang negara
Madagascar ialah kerbau. Kerbau, seladang dan banteng sememangnya haiwan
tradisi di Nusantara. Menurut kisah purba, negeri Minangkabau itu adalah hasil
daripada menang dalam perlawanan laga kerbau. Haiwan ini juga muncul dalam
lambang negara Indonesia. Di Filipina, ada jenama pakaian Carabao dengan
lambang kerbau.
Dalam rumpun bahasa dan bangsa
yang luas ini, muncullah bahasa Melayu yang kini menjadi bahasa kebangsaan
Indonesia dan Malaysia.
Tetapi bahasa hanyalah alat untuk
mengungkapkan pemikiran. Ia akan menjadi besar jika penutur menggunakannya
secara meluas dan mendalam. Mendalam, bermaksud pemikiran.
Pemikiran pula adalah hasil
daripada perbahasan. Bahas menjadi bahasa. Kalau tidak ada perbahasan, tidak
muncul bahasa. Sementara untuk berbahas, pemikiran perlu diasah dan dicerahkan.
Melihat buku-buku yang diterbitkan
di Indonesia, seseorang akan mendapati banyak tajuk yang dibahaskan di sana.
Kesusasteraan memperkayakan bahasa. Tetapi buku-buku bukan fiksyen pelbagai
tajuk juga adalah penting untuk tamadun bangsa.
Pengguna Bahasa Malaysia tidak
wajar memencilkan diri daripada Bahasa Indonesia. Itulah sebabnya ejaan bagi
kedua bahasa disamakan pada tahun 1972.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan