Ahad, 13 Januari 2013

ISU BAHASA : Menyuburkan bahasa, menyemarakkan pemikiran


Oleh : Zin Mahmud

BANYAK bahasa di dunia yang kini sudah tiada. Termasuklah bahasa-bahasa besar seperti Latin dan Sanskrit.

Kini, banyak perkataan Latin terdapat dalam bahasa Itali, Sepanyol, malah juga Inggeris.

Begitu juga dengan Sanskrit. Perkataan-perkataan daripada bahasa itu turut diwarisi bukan saja ke dalam bahasa Hindi tetapi juga ke dalam bahasa Melayu, Thai dan Khmer.

Ini kerana Sanskrit pernah menjadi bahasa pemikiran di Nusantara ketika wilayah ini menganut Hindu dan Buddha. Setelah datangnya Islam, maka pemikiran wilayah ini kuat dipengaruhi bahasa Arab.

Tetapi apabila Belanda menjajah Hindia Timur dan Inggeris di Malaya, bahasa Melayu tidak lagi menjadi bahasa pemikiran. Bahasa ilmu adalah bahasa Belanda dan Inggeris.

Cuba bayangkan jika penjajah Belanda memaksa bahasanya ke atas semua penduduk Hindia Timur maka apabila Indonesia berjuang untuk kemerdekaan, maka para nasionalis di situ mungkin mengambil  bahasa Belanda sebagai bahasa penyatuan seperti mana India yang merdeka mengambil bahasa Inggeris.

Sementara di Malaya pula, andai kata Malayan Union berjaya ditubuhkan, maka besar kemungkinan bahasa rasmi negeri ini adalah bahasa Inggeris.

Jika perkara ini tidak menimbulkan perasaan peka di kalangan orang Melayu, maka setelah beberapa generasi, bahasa ini juga pupus. Seperti mana juga kini tulisan jawi telah pupus, maka begitu jugalah bahasa Melayu jika orang dahulu tidak mempertahankan untuk menjadikannya bahasa kebangsaan bagi Malaysia.

Itulah realitinya. Tanpa usaha menyuburkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Malaysia, bahasa ini boleh hilang seperti terpupusnya banyak bahasa lain di dunia. Jika rakyat Malaysia tidak mahukan bahasa Melayu, maka ia akan hilang selepas beberapa generasi saja. Dengan kehilangannya, pemikiran dalam warisan Melayu juga akan turut hilang.

Rabu lalu, agensi berita Associated Press ada menyiarkan satu laporan mengenai satu bahasa yang sedang terpupus.

Bahasa itu bernama Kanakanavu yang kini hanya boleh dituturkan oleh sepuluh orang di kampung Dakanua di Taiwan. Apabila orang ini tiada kelak, pastinya bahasa ini juga pupus.

Kanakanavu adalah salah satu daripada banyak bahasa orang asli di Taiwan. Hanya dua peratus daripada 23 juta penduduk Taiwan terdiri daripada orang asli.

Kerajaan Taipei mengiktiraf 14 bahasa orang asli. Empat daripadanya masih dituturkan oleh ribuan orang. Kanakanavu pula adalah antara yang sedang pupus.

Seorang ahli bahasa di Universiti Kebangsaan Taiwan, Sung Li-may sedang berusaha untuk menyelamatkan bahasa ini daripada kepupusan.

Banyak orang asli Taiwan meninggalkan bahasa ibundanya dan mengambil bahasa China yang dominan di pulau itu untuk survival.

Dalam laporan itu, Sung memberitahu bahawa Kanakanavu ini adalah salah satu bahasa yang terdapat dalam rumpun Austronesia.

Katanya rumpun bahasa ini bermula dari Taiwan 4,000 tahun lalu. Daripadanya ia berkembang hingga ke Pulau Easter di Lautan Pasifik hingga ke Madagascar di Afrika.

Ada satu perkataan dalam bahasa lama orang asli Taiwan, iaitu galinga. Dalam dialek bahasa orang asli moden Taiwan, ia menjadi calinga. Dalam bahasa Tagalog, ia menjadi tainga. Dalam bahasa Fiji ialah dalinga. Samoa pula talinga dan di Papua New Guniea, ia adalah taringa.

Dalam bahasa Melayu, perkataan itu ialah telinga.

Ada orang asli Taiwan yang berkunjung ke New Zealand mendapati bahawa bahasa Maori mempunyai banyak perkataan sama dengan mereka, terutama nama angka.

Ahli arkeologi Peter Bellwood dan ahli bahasa Robert Blust menampilkan teori bahawa orang purba Taiwan mempunyai kemahiran laut yang hebat hingga mereka belayar dan berhijrah ke Asia Tenggara di selatan dan pulau-pulau Pasifik di timur. Juga ke Madagascar di Afrika dengan membawa bahasa mereka.

Rumpun bahasa inilah yang disebut Austronesia atau kepulauan selatan termasuklah Nusantara.

Ibu negara Madagascar bernama Antananarivo. Ada pengkaji menyatakan bahawa ia bermaksud tanah seribu. Dalam bahasa mereka, Malagasy, pokok kelapa dipanggil nyior.

Rumah tradisi mereka juga mempunyai tiang dan reka bentuknya tidak berbeza daripada rumah Melayu di Sumatera. Sementara cara mereka menanam padi secara bertingkat-tingkat adalah seperti yang dilakukan di Jawa dan Filipina.

Haiwan pada lambang negara Madagascar ialah kerbau. Kerbau, seladang dan banteng sememangnya haiwan tradisi di Nusantara. Menurut kisah purba, negeri Minangkabau itu adalah hasil daripada menang dalam perlawanan laga kerbau. Haiwan ini juga muncul dalam lambang negara Indonesia. Di Filipina, ada jenama pakaian Carabao dengan lambang kerbau.

Dalam rumpun bahasa dan bangsa yang luas ini, muncullah bahasa Melayu yang kini menjadi bahasa kebangsaan Indonesia dan Malaysia.

Tetapi bahasa hanyalah alat untuk mengungkapkan pemikiran. Ia akan menjadi besar jika penutur menggunakannya secara meluas dan mendalam. Mendalam, bermaksud pemikiran.

Pemikiran pula adalah hasil daripada perbahasan. Bahas menjadi bahasa. Kalau tidak ada perbahasan, tidak muncul bahasa. Sementara untuk berbahas, pemikiran perlu diasah dan dicerahkan.

Melihat buku-buku yang diterbitkan di Indonesia, seseorang akan mendapati banyak tajuk yang dibahaskan di sana. Kesusasteraan memperkayakan bahasa. Tetapi buku-buku bukan fiksyen pelbagai tajuk juga adalah penting untuk tamadun bangsa.

Pengguna Bahasa Malaysia tidak wajar memencilkan diri daripada Bahasa Indonesia. Itulah sebabnya ejaan bagi kedua bahasa disamakan pada tahun 1972.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan