Oleh : MUHAMMAD ALI HASHIM
2013 tahun penentu yang pasti
membawa kesan besar terhadap hala tuju negara dan destinasi masa depan bangsa
Malaysia, kerana PRU13 akan diadakan dalam tahun ini. Bangsa Malaysia keturunan
Melayu dan umat Islam tidak wajar terpengaruh kepercayaan superstition Barat,
bahawa cantuman dua “13”, iaitu PRU13 dalam tahun 2013 membawa implikasi tidak
baik dan satu petanda celaka atau malang. Ini bukan kepercayaan kita.
Apa pun, saya yakin bagi ramai
warga Malaysia PRU13 berpengertian besar dan kritikal kerana ia dilihat sebagai
satu watershed atau turning point dalam sejarah politik negara. Pada saya,
PRU13 satu peristiwa pemisah zaman, satu proses pendewasaan negara dari zaman
remaja ke zaman dewasa politik berdemokrasi.
Pembaharuan
Ramai merasakan suatu pembaharuan
besar pasti berlaku selepas PRU13 - change is in the air! Tegasnya, tidak kira
pihak mana menang menerajui politik negara, PRU13 mencorak semula landasan dan
senario politik dengan memantapkan sistem demokrasi dwi-parti yang dijangka
mewarnai kehidupan bangsa dalam dekad mendatang.
PRU13 berlaku sedang negara dalam
peringkat awal perubahan menuju ke jurusan politik dominasi dwi-parti.
Persaingan politik dwi-parti sememangnya lebih sengit dan panas kerana sifat
asasi adversarialnya, iaitu berlandaskan politik berpembangkangan. Apa pun, ia
satu kematangan kerana rakyat mendapat pilihan mengguna kuasa majoriti PRU
menentukan pemerintahan. Sebenarnya, dalam amalan demokrasi, bukan memilih
pemerintah sahaja yang penting. Lebih penting lagi ialah rakyat mempunyai
pilihan parti alternatif untuk menolak pemerintah andainya tidak disenangi atau
gagal menepati aspirasi politik mereka.
Tegasnya, warga negara Malaysia
perlu bersedia menghadapi suasana politik bergelora yang mengancam kestabilan
dekad mendatang. Paling penting, bangsa Melayu dan umat Islam khasnya perlu
bijak melayari perahu negara, supaya dalam suasana bergelora dan tidak menentu,
kita tidak pula cemas sampai lemas. Dengan kata lain, dalam kemelut berebut
kerusi dan kuasa PRU mendatang, jangan kita hilang akal sampai kemudi negara
langsung terlepas tangan dan perahu bangsa hanyut atau karam.
Pendewasaan politik, antara lain,
juga menuntut Malaysia memperbaharui dan memantapkan institusi asas demokrasi.
Sebagai contoh, pendewasaan politik memerlukan negara menjamin kebebasan semua
pihak, khasnya pembangkang, menyuarakan pendapat dan pandangan sama ada pro
atau kontra dengan kebebasan penuh semua saluran media. Media rasmi kerajaan
harus menyampai dan menyebarluaskan informasi dan pandangan secara adil dan
seimbang.
Semua ini menuntut ketelusan,
keterbukaan dan kebebasan melontar isu dan menzahirkan pandangan, sekali pun
dengan menunjuk perasaan dan berdemonstrasi. Jika selama ini kebebasan terhad
dan disekat, menyebabkan pandangan dan suara rakyat tertekan, pendewasaan
menuntut semua had, sekatan dan tekanan diketepikan dengan bijak, berhemah dan
teratur. Jika semua ini dapat kita sempurnakan, ia petanda baik bagi masa
depan.
Kesempatan menerajui peralihan
zaman
2013 juga tahun peralihan besar
antarabangsa. Sebenarnya seluruh dunia berada dalam situasi peralihan zaman
kerana senario politik dan sosioekonomi antarabangsa juga sedang pesat berubah
dan dalam proses mencorak semula kehidupan dan tamadun manusia. Paling ketara,
pemisahan zaman antarabangsa membabit-membabitkan perpindahan paksi kuasa dunia
dari tangan Barat ke tangan Timur.
Kemerosotan Barat (terutama
Amerika Syarikat) dan kebangkitan Republik Rakyat China menjadi kuasa ekonomi
kedua terbesar dunia berimplikasi besar dan luas. Bagi Malaysia khasnya dan umat
Islam amnya, fokus utama ialah mempertahankan kehidupan umat daripada
ditenggelami tsunami Timur yang datang menerusi kebangkitan kuasa baru dunia
kombinasi Republik Rakyat China, Jepun dengan Korea Selatan.
Apakah umat Islam rela, setelah
berabad didominasi kuasa Barat, dalam suasana pembaharuan zaman kali ini kita
pula tunduk didominasi kuasa Timur? Apa implikasi semua ini kepada masa depan
umat? Di mana kedudukan kita sebagai 'umat terbaik' yang dijanjikan kedudukan
khalifah di muka bumi? Apa yang wajib kita lakukan untuk menjadikan janji ini
satu realiti?
Umat Islam sebenarnya sedang
berada dalam krisis paling serius, diancam dari segala sudut dan penjuru, sama
ada berpunca dalaman mahupun ancaman hebat bukan Islam dari luar. Pergolakan,
konflik dan pertumpahan darah berpanjangan dunia Islam serta ledakan Revolusi
Arab (yang masih belum sampai ke penghujungnya) antara petanda mewajibkan
bangsa Melayu dan umat Islam Malaysia bangkit menangani pembaharuan dengan
penuh hikmah dan bijaksana untuk mengelakkan mala petaka.
Tegasnya, peralihan zaman juga
membawa suasana krisis, cabaran dan kesukaran besar, sama ada dalam negara mahu
pun antarabangsa. Untuk mengatasi krisis dengan baik, kita wajar melihat krisis
dan kesukaran sebagai 'API' dalam erti kata ia mengandungi tiga elemen penting,
iaitu pertama: Ancaman, kedua: Peluang dan ketiga: Ikhtiar. Dengan kaedah ini
krisis tidak hanya mengandung erti negatif melemahkan, malah positif
memberangsangkan.
Sesungguhnya, sama seperti api,
krisis mengancam dan boleh membakar diri. Namun kita tidak perlu takutinya
hingga lari menyepi menjauhkan diri. Kerana apabila jauh dari api, kita akan
kegelapan, atau terpinggir kesejukan. Justeru kita perlu bijak menangani setiap
ancaman api krisis atau kesukaran. Kita mesti merapati dan memanfaatkan peluang
daripadanya, kerana dalam krisis dan kesukaran sentiasa terdapat peluang,
paling kurang untuk memperbaharui.
Bagi umat Islam, kita berulang
kali diingatkan dalam setiap krisis atau kesukaran ada kemudahan. (Lihat
al-Quran, 94: 5 dan 6; juga 2: 185). Justeru, elemen ketiga paling penting
dalam menangani dan mengatasi ancaman api krisis ialah berikhtiar
bersungguh-sungguh mencari kemudahan kurniaan Tuhan, iaitu menggunakan segala
daya, usaha, hikmah dan kebijaksanaan mencari jalan keluar terbaik.
Leraikan bisnes daripada
politik
Andainya politik adversarial
bercirikan pembangkangan mengancam perpaduan dan menggugat kestabilan negara
dan kerananya Melayu pula berkonflik dan berkrisis berpanjangan, bangsa Melayu
dan umat Islam mesti bijak mempertahan dan melindungi kepentingan asas bangsa
dan negara. Kepentingan asas bangsa yang wajib dipertahan dan dilindungi dalam
apa jua keadaan ialah pertama, agama dan nilai hidup; dan kedua, kepentingan
ekonomi dan bisnes sumber rezeki kehidupan. Kedua-duanya tidak wajar dibiar
terhakis pergolakan politik adversarial, dikompromi, dijual-beli atau
diperdagangkan semata-mata untuk meraih undi dan populariti merebut kuasa dan
kerusi.
Bahaya dan ancaman terbesar
kepada bisnes dan ekonomi berbangkit apabila perjuangan merebut kuasa politik
mengheret bisnes dan ekonomi Melayu ke kancah kepentingan politik melampau
kepartian atau keperibadian pemimpin berkuasa. Apabila berleluasa, harta dan
sumber milik awam serta khazanah negara sekalipun boleh habis digadai semuanya,
memusnahkan kepentingan jangka panjang bangsa, agama dan negara.
Politik melampau kepartian juga
cenderung mengkerajaankan dan mempolitikkan semua, menyebabkan kedua-dua parti,
sama ada pemerintah mahu pun pembangkang, bertindak cantas-mencantas hingga
memusnahkan semua, merugikan bangsa dan negara. Sesungguhnya kita mengharapkan
PRU13 pemisah zaman dapat meleraikan (decouple) bisnes dan ekonomi daripada
terlampau dipolitikkan atau dikerajaankan. Semoga GLC Malaysia khasnya, iaitu
benteng terakhir ekonomi bangsa, dapat diautonomikan dengan teraju pengurusan
GLC diserahkan kepada ahli korporat profesional dan tidak kepada aktivis
politik sepenuh masa, pesara politik kitar semula, atau kroni dan proksi
politik berkuasa.
Paling penting, jangan sekali
GLC, syarikat strategik milik GLC atau harta dan sumber awam khazanah negara
diswastakan, malah diinstitusikan dan di angkat kedudukannya mengatasi politik,
iaitu ke tahap above politics. GLC strategik harus diiktiraf institusi korporat
amanah bangsa, dan antaranya ditransformasi menjadi institusi Waqaf Korporat
dilindungi penguasa politik dan dikembangkan berkekalan untuk manfaat generasi
masa depan.
Dengan cara ini pemisahan zaman
yang dicetus PRU13 bukan petanda buruk. Malahan ia sesuatu yang wajar
dialu-alukan sebagai pembawa pembaharuan untuk dimanfaatkan bangsa Melayu dan
umat Islam khasnya. Kita harus merebut kesempatan pemisahan zaman memperkukuh
benteng bisnes dan ekonomi bangsa di samping menegakkan syiar Islam dan
menginstitusikan keadilan ekonomi untuk kemakmuran dan kesejahteraan
berpanjangan.
* Tan Sri Muhammad Ali Hashim Presiden
Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)
Sumber : http : //www.sinarharian. com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan