Ahad, 13 Januari 2013

ISU KENEGARAAN : Pilihan raya ke-13 pemisah zaman


Oleh : MUHAMMAD ALI HASHIM

2013 tahun penentu yang pasti membawa kesan besar terhadap hala tuju negara dan destinasi masa depan bangsa Malaysia, kerana PRU13 akan diadakan dalam tahun ini. Bangsa Malaysia keturunan Melayu dan umat Islam tidak wajar terpengaruh kepercayaan superstition Barat, bahawa cantuman dua “13”, iaitu PRU13 dalam tahun 2013 membawa implikasi tidak baik dan satu petanda celaka atau malang. Ini bukan kepercayaan kita.

Apa pun, saya yakin bagi ramai warga Malaysia PRU13 berpengertian besar dan kritikal kerana ia dilihat sebagai satu watershed atau turning point dalam sejarah politik negara. Pada saya, PRU13 satu peristiwa pemisah zaman, satu proses pendewasaan negara dari zaman remaja ke zaman dewasa politik berdemokrasi.

Pembaharuan

Ramai merasakan suatu pembaharuan besar pasti berlaku selepas PRU13 - change is in the air! Tegasnya, tidak kira pihak mana menang menerajui politik negara, PRU13 mencorak semula landasan dan senario politik dengan memantapkan sistem demokrasi dwi-parti yang dijangka mewarnai kehidupan bangsa dalam dekad mendatang.

PRU13 berlaku sedang negara dalam peringkat awal perubahan menuju ke jurusan politik dominasi dwi-parti. Persaingan politik dwi-parti sememangnya lebih sengit dan panas kerana sifat asasi adversarialnya, iaitu berlandaskan politik berpembangkangan. Apa pun, ia satu kematangan kerana rakyat mendapat pilihan mengguna kuasa majoriti PRU menentukan pemerintahan. Sebenarnya, dalam amalan demokrasi, bukan memilih pemerintah sahaja yang penting. Lebih penting lagi ialah rakyat mempunyai pilihan parti alternatif untuk menolak pemerintah andainya tidak disenangi atau gagal menepati aspirasi politik mereka.

Tegasnya, warga negara Malaysia perlu bersedia menghadapi suasana politik bergelora yang mengancam kestabilan dekad mendatang. Paling penting, bangsa Melayu dan umat Islam khasnya perlu bijak melayari perahu negara, supaya dalam suasana bergelora dan tidak menentu, kita tidak pula cemas sampai lemas. Dengan kata lain, dalam kemelut berebut kerusi dan kuasa PRU mendatang, jangan kita hilang akal sampai kemudi negara langsung terlepas tangan dan perahu bangsa hanyut atau karam.

Pendewasaan politik, antara lain, juga menuntut Malaysia memperbaharui dan memantapkan institusi asas demokrasi. Sebagai contoh, pendewasaan politik memerlukan negara menjamin kebebasan semua pihak, khasnya pembangkang, menyuarakan pendapat dan pandangan sama ada pro atau kontra dengan kebebasan penuh semua saluran media. Media rasmi kerajaan harus menyampai dan menyebarluaskan informasi dan pandangan secara adil dan seimbang.

Semua ini menuntut ketelusan, keterbukaan dan kebebasan melontar isu dan menzahirkan pandangan, sekali pun dengan menunjuk perasaan dan berdemonstrasi. Jika selama ini kebebasan terhad dan disekat, menyebabkan pandangan dan suara rakyat tertekan, pendewasaan menuntut semua had, sekatan dan tekanan diketepikan dengan bijak, berhemah dan teratur. Jika semua ini dapat kita sempurnakan, ia petanda baik bagi masa depan.

Kesempatan menerajui peralihan zaman

2013 juga tahun peralihan besar antarabangsa. Sebenarnya seluruh dunia berada dalam situasi peralihan zaman kerana senario politik dan sosioekonomi antarabangsa juga sedang pesat berubah dan dalam proses mencorak semula kehidupan dan tamadun manusia. Paling ketara, pemisahan zaman antarabangsa membabit-membabitkan perpindahan paksi kuasa dunia dari tangan Barat ke tangan Timur.

Kemerosotan Barat (terutama Amerika Syarikat) dan kebangkitan Republik Rakyat China menjadi kuasa ekonomi kedua terbesar dunia berimplikasi besar dan luas. Bagi Malaysia khasnya dan umat Islam amnya, fokus utama ialah mempertahankan kehidupan umat daripada ditenggelami tsunami Timur yang datang menerusi kebangkitan kuasa baru dunia kombinasi Republik Rakyat China, Jepun dengan Korea Selatan.

Apakah umat Islam rela, setelah berabad didominasi kuasa Barat, dalam suasana pembaharuan zaman kali ini kita pula tunduk didominasi kuasa Timur? Apa implikasi semua ini kepada masa depan umat? Di mana kedudukan kita sebagai 'umat terbaik' yang dijanjikan kedudukan khalifah di muka bumi? Apa yang wajib kita lakukan untuk menjadikan janji ini satu realiti?

Umat Islam sebenarnya sedang berada dalam krisis paling serius, diancam dari segala sudut dan penjuru, sama ada berpunca dalaman mahupun ancaman hebat bukan Islam dari luar. Pergolakan, konflik dan pertumpahan darah berpanjangan dunia Islam serta ledakan Revolusi Arab (yang masih belum sampai ke penghujungnya) antara petanda mewajibkan bangsa Melayu dan umat Islam Malaysia bangkit menangani pembaharuan dengan penuh hikmah dan bijaksana untuk mengelakkan mala petaka.

Tegasnya, peralihan zaman juga membawa suasana krisis, cabaran dan kesukaran besar, sama ada dalam negara mahu pun antarabangsa. Untuk mengatasi krisis dengan baik, kita wajar melihat krisis dan kesukaran sebagai 'API' dalam erti kata ia mengandungi tiga elemen penting, iaitu pertama: Ancaman, kedua: Peluang dan ketiga: Ikhtiar. Dengan kaedah ini krisis tidak hanya mengandung erti negatif melemahkan, malah positif memberangsangkan.

Sesungguhnya, sama seperti api, krisis mengancam dan boleh membakar diri. Namun kita tidak perlu takutinya hingga lari menyepi menjauhkan diri. Kerana apabila jauh dari api, kita akan kegelapan, atau terpinggir kesejukan. Justeru kita perlu bijak menangani setiap ancaman api krisis atau kesukaran. Kita mesti merapati dan memanfaatkan peluang daripadanya, kerana dalam krisis dan kesukaran sentiasa terdapat peluang, paling kurang untuk memperbaharui.

Bagi umat Islam, kita berulang kali diingatkan dalam setiap krisis atau kesukaran ada kemudahan. (Lihat al-Quran, 94: 5 dan 6; juga 2: 185). Justeru, elemen ketiga paling penting dalam menangani dan mengatasi ancaman api krisis ialah berikhtiar bersungguh-sungguh mencari kemudahan kurniaan Tuhan, iaitu menggunakan segala daya, usaha, hikmah dan kebijaksanaan mencari jalan keluar terbaik.

Leraikan bisnes daripada politik

Andainya politik adversarial bercirikan pembangkangan mengancam perpaduan dan menggugat kestabilan negara dan kerananya Melayu pula berkonflik dan berkrisis berpanjangan, bangsa Melayu dan umat Islam mesti bijak mempertahan dan melindungi kepentingan asas bangsa dan negara. Kepentingan asas bangsa yang wajib dipertahan dan dilindungi dalam apa jua keadaan ialah pertama, agama dan nilai hidup; dan kedua, kepentingan ekonomi dan bisnes sumber rezeki kehidupan. Kedua-duanya tidak wajar dibiar terhakis pergolakan politik adversarial, dikompromi, dijual-beli atau diperdagangkan semata-mata untuk meraih undi dan populariti merebut kuasa dan kerusi.

Bahaya dan ancaman terbesar kepada bisnes dan ekonomi berbangkit apabila perjuangan merebut kuasa politik mengheret bisnes dan ekonomi Melayu ke kancah kepentingan politik melampau kepartian atau keperibadian pemimpin berkuasa. Apabila berleluasa, harta dan sumber milik awam serta khazanah negara sekalipun boleh habis digadai semuanya, memusnahkan kepentingan jangka panjang bangsa, agama dan negara.

Politik melampau kepartian juga cenderung mengkerajaankan dan mempolitikkan semua, menyebabkan kedua-dua parti, sama ada pemerintah mahu pun pembangkang, bertindak cantas-mencantas hingga memusnahkan semua, merugikan bangsa dan negara. Sesungguhnya kita mengharapkan PRU13 pemisah zaman dapat meleraikan (decouple) bisnes dan ekonomi daripada terlampau dipolitikkan atau dikerajaankan. Semoga GLC Malaysia khasnya, iaitu benteng terakhir ekonomi bangsa, dapat diautonomikan dengan teraju pengurusan GLC diserahkan kepada ahli korporat profesional dan tidak kepada aktivis politik sepenuh masa, pesara politik kitar semula, atau kroni dan proksi politik berkuasa.

Paling penting, jangan sekali GLC, syarikat strategik milik GLC atau harta dan sumber awam khazanah negara diswastakan, malah diinstitusikan dan di angkat kedudukannya mengatasi politik, iaitu ke tahap above politics. GLC strategik harus diiktiraf institusi korporat amanah bangsa, dan antaranya ditransformasi menjadi institusi Waqaf Korporat dilindungi penguasa politik dan dikembangkan berkekalan untuk manfaat generasi masa depan.

Dengan cara ini pemisahan zaman yang dicetus PRU13 bukan petanda buruk. Malahan ia sesuatu yang wajar dialu-alukan sebagai pembawa pembaharuan untuk dimanfaatkan bangsa Melayu dan umat Islam khasnya. Kita harus merebut kesempatan pemisahan zaman memperkukuh benteng bisnes dan ekonomi bangsa di samping menegakkan syiar Islam dan menginstitusikan keadilan ekonomi untuk kemakmuran dan kesejahteraan berpanjangan.

* Tan Sri Muhammad Ali Hashim Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)

Sumber : http : //www.sinarharian. com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan