Jumaat, 8 Februari 2013

ISU ALAM SEKITAR : Kejamnya! Kenapa bunuh gajah?


Oleh : EZARUDDIN ABD. RAHMAN

TERSENTAK dan sayu saya melihat seekor anak gajah mengejutkan ibunya yang kaku di Sabah (lihat Utusan Malaysia 31 Januari). Berita 10 gajah Pygmy mati akibat diracun adalah satu tragedi besar negara berhubung nasib hidupan liar di negara ini.

Kejadian tersebut tidak boleh diterima akal fikiran manusia. Bagaimana manusia tergamak membunuh gajah yang tidak berdosa mengunakan racun tikus? Menurut laporan akhbar, gajah Pygmy Borneo yang berusia antara empat hingga 20 tahun ditemui mati di Hutan Simpan Rara, Tawau, Sabah.

Walaupun saya bukannya seorang aktivis alam sekitar, sesiapa sahaja yang melihat seekor anak gajah cuba membangunkan ibunya yang telah mati adalah sesuatu yang menyayat hati kita semua.

Tergamakkan kita membiarkan kisah ini terus tenggelam tanpa membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan? Ini sebagai tanda prihatin kita terhadap hak hidupan liar untuk terus hidup di atas muka bumi ini mengikut ketetapan yang telah diatur oleh Allah S.W.T.

Di luar negara, orang sanggup berdemonstrasi untuk menyelamatkan hidupan liar dan alam sekitar, serta untuk menyelamatkan kepupusan khazanah alam sekitar.

Tentu kita sangat bingung memikirkan mengenai 10 ekor gajah mati di negeri Sabah, sedangkan kerajaan telah mengadakan pelbagai kempen dan penguatkuasaan undang-undang demi menjaga hidupan liar di negara ini.

Pengetahuan anak muda di negara ini mengenai alam sekitar masih lagi samar. Misalnya, masih ada yang tidak mengenali haiwan tapir atau dikenali 'gajah kerdil' yang semakin pupus di Malaysia akibat pembalakan dan penerokaan tanah untuk pembangunan.

Kematian 10 ekor gajah sudah pasti akan menarik perhatian antarabangsa dan menyebabkan tanggapan atau persepsi luar yang kurang baik terhadap Malaysia. Bahkan isu ini boleh dimanipulasi secara meluas.

Pelancong asing sangat teruja melawat Malaysia, antara lain disebabkan ekopelancongan yang menarik meliputi kawasan hutan hujan yang menyimpan rahsia biodiversiti. Juga tumpuan pesat pengunjung ke gua- gua, hutan simpan, pusat pemuliharaan Orang Hutan, pulau-pulau dan sungai-sungai.

Umum juga mengetahui Malaysia menjadi tarikan kepada pengkaji hidupan liar sehingga menarik ramai pakar ke Malaysia. Ini kerana Malaysia adalah negara yang sangat kaya dengan alam semula jadi dan menyimpan warisan alam sekitar jutaan tahun.

Pelbagai persoalan timbul di benak kita. Sampai bilakah hidupan liar akan terus dicabul haknya tanpa pembelaan? Siapakah yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Apakah peranan kita dalam membantu membendung masalah ini?

Kita amat mengharapkan pihak berkuasa sentiasa membuat rondaan untuk mengawal hidupan liar di negara ini agar tidak diseludup atau dibunuh sesuka hati. Masih mampukah kita menyelamatkan habitat hutan dan hidupan liar yang menghuni hutan-hutan negara kita supaya tidak pupus daripada muka bumi ini?

Harapan rakyat Malaysia agar mereka yang bertanggungjawab membunuh 10 ekor gajah tersebut dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin. Mereka ini diibaratkan sebagai pengganas kepada alam sekitar.

Semoga kisah menyayat hati seekor anak gajah kehilangan ibunya akan membuka minda rakyat Malaysia betapa pentingnya kita tidak menzalimi hidupan liar yang terancam. Kita harus bersifat berperikemanusiaan terhadap gajah yang tidak berdosa.

Anak gajah ini sudah pastinya akan merindui ibunya seperti mana kita kehilangan orang yang tersayang.

Serdang, Selangor.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan