Roh perayaan bercampur perbuatan
maksiat bercanggah dengan akidah Islam
Budaya menjadikan Valentine’s Day
sebagai perayaan diminati untuk diraikan bersama kekasih amat menggusarkan kita
sebagai umat Islam. Ada yang mengirimkan kad ucapan, hadiah, menyanyikan lagu
cinta, membuat upacara tari-menari dan mengadakan acara makan malam disinari
cahaya lilin.
Bertukar perasaan di taman bunga
sehingga berkucupan dan akhirnya sanggup menggadaikan kehormatan diri sendiri
demi membuktikan kesetiaan kepada teman masing-masing.
Menurut Ken Sweiger, perkataan
Valentine berasal dari bahasa Latin bermaksud ‘yang maha perkasa, yang maha
kuat, dan yang maha kuasa’, digunakan pada zaman Rom Kuno kepada Nimrod dan Lupercus,
tuhan orang Romawi.
Sedar atau tidak, jika seseorang
meminta orang lain atau pasangannya menjadi ‘to be my Valentine? maka ia telah
melakukan suatu perbuatan yang bercanggah dengan akidah umat Islam dan dimurkai
Allah SWT kerana telah meminta seseorang menjadi “sang maha kuasa”. Hal ini
sama dengan usaha menghidupkan kembali semangat budaya pemujaan berhala.
Berdasarkan pandangan tokoh
agama, menyambut atau meraikan Hari Valentine bertentangan dengan syarak.
Menurut Panel Kajian Akidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), amalan itu haram dan bertentangan ajaran
Islam.
Begitu juga Jawatankuasa Fatwa
Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang
pada 22 hingga 24 November 2005, memutuskan amalan merayakan Hari Valentine
tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan itu bercampur perbuatan
maksiat adalah bercanggah dan dilarang Islam.
Justeru, ditegaskan pengharaman
dan larangan bukanlah kerana ingin menghalang keseronokan yang menjadi trend
zaman moden tetapi berlandaskan kepada apa yang dinyatakan dalam al-Quran dan
as-Sunnah.
Oleh itu, umat Islam diminta
tidak merayakan hari berkenaan yang bertentangan ajaran Islam sebenar serta
boleh merosakkan akidah dan akhlak umat Islam. Janganlah hanya dengan alasan
inginkan keseronokan serta mengikut peredaran zaman, sanggup membelakangkan
al-Quran dan as-Sunnah.
Ingatlah, agama Islam tidak
sesekali melarang umatnya bercinta kerana cinta adalah fitrah semula jadi
manusia, namun mestilah berdasarkan hukum Islam bukannya berteraskan hawa nafsu
semata-mata.
Berdasarkan pemerhatian, perkara
ini berlaku kerana kualiti keimanan umat Islam yang semakin lemah dan kekaburan
kita dalam menegakkan prinsip asas agama yang menjadi tunjang kehidupan
seseorang Muslim.
Kita jangan lupa bahawa syaitan
dan sekutunya telah berjanji kepada Allah SWT untuk terus menyesatkan orang
yang beriman. Firman Allah SWT: “Dan sungguh, aku akan menyesatkan mereka, dan
memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan menyuruh mereka membelah
telinga binatang ternak; dan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan
sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah,
maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.” (Surah
an-Nisaa, ayat 119)
Ingatlah bahawa agama Islam
sangat mengambil berat dalam memperbetulkan pegangan akidah umatnya supaya
pandangan dan sikap mereka menjadi lurus serta tasawwur mereka mengenai sesuatu
perkara menjadi jelas.
Jangan kita mengikut contoh umat
jahiliah yang menganggap persoalan akidah hanya sekadar mengumumkan identiti
diri dan melahirkan perbuatan baik saja sedangkan hakikat iman ialah panduan
antara keyakinan di hati dasar akidah dengan melaksanakan perintah Allah SWT
dan meninggalkan tegahan-Nya.
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya
orang yang benar-benar beriman ialah orang yang percaya kepada Allah dan
Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan
harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang yang benar.”
(Surah al-Hujurat, ayat 15)
Sumber: Khutbah Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan