KATA penegas tergolong dalam
golongan kata tugas. Kata penegas disebut juga partikel.
Partikel ialah sejumlah perkataan
yang memberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat.
Ayat yang mengandungi kata
penegas ialah ayat penegas kerana mengandungi sesuatu penegasan tentang sesuatu
perkara.
Kita mengenal sesuatu ayat penegas
itu melalui adanya kata penegas dalam binaan predikat ayat. Dengan adanya kata
penegas itu, hal atau perkara yang hendak ditekankan, atau yang hendak
diutamakan dapat disampaikan dengan jelas dan berkesan.
Selain partikel -kah, -lah, -tah
(penegas frasa predikat, dan bahagian-bahagiannya), juga, jua, pun, sahaja,
lagi dan memang (penegas frasa subjek dan frasa predikat), kata kerja tak
transitif ada juga dapat berfungsi sebagai penegas ayat.
Sebagai kata penegas, 'ada' menjadi
unsur dalam binaan predikat ayat. Ayat yang mengandungi kata 'ada' dinamai ayat
penegas.
Perhatikan penggunaan kata
penegas 'ada' dalam ayat-ayat contoh yang berikut ini:
1. Saya / ada bersamanya ketika
kejadian itu terjadi.
2. Dia / ada mengatakan hal itu
kepadanya.
Dalam ayat (1) dan (2), kata
penegas ada yang menjadi unsur utama predikat ayat digunakan untuk menegaskan
kesungguhan sesuatu hal yang hendak diperkatakan.
Hal demikian itu terkandung dalam
makna frasa kerja ayat (1) dan (2), iaitu ada bersamanya dan ada mengatakan.
Jadi, untuk menegaskan frasa kerja, maka kata penegas ada dapat digunakan.
Bagaimana pula halnya untuk
menegaskan frasa nama, frasa adjektif dan frasa sendi nama?
Untuk frasa adjektif dan frasa
sendi nama, kata penegas 'ada' perlu ditambahkan dengan partikel -lah di
belakangnya, lalu membentuk kata adalah.
Harus diingat, dalam golongan
kata bahasa Melayu, kata adalah ialah kata pemeri.
Fungsi kata pemeri tidak lain
daripada tugasnya sebagai unsur yang menjadi pemeri hal selain sebagai
perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat.
Dengan kata lain, maksud pemerian
merupakan suatu penegasan juga. Hal yang demikian ini dapat kita perhatikan
dalam ayat-ayat contoh seperti yang berikut:
3. Komputer riba ini adalah untuk
anak bongsunya.
(adalah diikuti oleh frasa sendi
nama dan penegas frasa sendi nama "untuk anak bongsunyanya")
4. Kenyataan saksi perbicaraan
itu adalah benar.
(adalah diikuti oleh frasa
adjektif dan penegas frasa adjektif "benar")
Untuk frasa nama, kata pemeri
ialah bukan adalah digunakan kerana penggunaan ialah dapat menunjukkan
pemerihalan secara persamaan atau akuatif.
Oleh itu, untuk maksud yang
demikian itu, ialah hadir di hadapan frasa nama. Contohnya dalam ayat:
5. Wanita itu ialah pramugari.
(ialah diikuti oleh frasa nama,
dan penegas frasa nama "pramugari")
Untuk tujuan pertanyaan pula,
partikel -kah digabungkan dengan kata ada dan ia membentuk kata tanya adakah
dan iakah. Partikel -kah pada kata 'ada', dan ia bertujuan semata-mata untuk
menegaskan hal yang ditanyakan.
Lihatlah tanya jawab yang berikut
yang menunjukkan cara kata penegas tanya itu digunakan:
6. Adakah Syahmi datang ke sini?
Ya, Syahmi ada datang ke sini.
7. Adakah berita itu benar?
Ya, berita itu adalah benar.
8. Iakah lelaki itu abangmu?
Ya, lelaki itu ialah abangku.
Harus diingat bahawa kata tanya
apakah tidak boleh dijadikan kata penegas tanya seperti adakah atau iakah.
Perhatikan betapa janggalnya ayat
tanya yang menggunakan kata tanya apakah dalam ayat tanya berikut:
9. Apakah keluarganya merestui
perkahwinanmu?
Seharusnya: Adakah keluarganya
merestui perkahwinanmu?
10. Apakah orang itu mantan
merinyu polis?
Seharusnya: Iakah orang itu
merinyu polis?
11. Apakah bandar Melaka ibu
negeri Melaka?
Seharusnya: Adakah bandar Melaka
ibu negeri Melaka?
Begitulah huraian tentang bentuk
kata 'ada' yang berfungsi sebagai kata penegas dalam ayat bahasa Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan