Oleh : Ku Seman Ku Hussain
LAPAN tahun lalu, pada 11
Februari 2005 Kementerian Kebudayaan dan Warisan (KEKWA) melancarkan kempen
Budi Bahasa dan Nilai Murni. Tetapi banyak yang tidak perasan bahawa kempen ini
satu tamparan yang paling hebat; orang Malaysia hilang budi bahasa.
Kempen yang dicetuskan oleh Dr.
Rais Yatim semasa memimpin KEKWA ini mengejutkan kita yang terlena.
Pertentangan fahaman antara pemimpin politik mengikis budaya budi bahasa.
Mereka seolah-olah bebas daripada lingkungan adab sopan dan pengikut pun melihat
contoh di depan mata mereka.
Sepatutnya kita meraikan
pertentangan dengan hujah bukannya cercaan. Sebenarnya tidak ada kelonggaran
kepada orang politik untuk tidak beradab dan berbudi bahasa. Golongan muda juga
sudah pandai mencerca, padahal semasa kecil mereka disenandungkan dengan seloka
dan gurindam supaya bersopan santun dan berbudi bahasa.
Semasa perhimpunan "haram" di Kuala
Lumpur, tanda aras budi bahasa dan kesantunan golongan muda begitu rendah sekali.
Tidakkah ini suatu hal yang membimbangkan apabila mencerca polis dan pemimpin tertentu
dihalalkan atas nama perjuangan politik?
Tentulah suatu yang amat
memalukan apabila negara yang majoritinya orang Melayu dan beragama Islam yang
terkenal dengan kesantunan terpaksa diajar berbudi bahasa. Orang Melayu
sebenarnya sangat prihatin perihal kesantunan dan budi bahasa. Seawal usia bayi
lagi, orang Melayu menyanyikan lagu yang menyingkap peribadi mulia Nabi
Muhammad. Selepas petah berbicara, dididik pula berkata-kata dengan bahasa yang
mulia.
Di manakah silapnya apabila orang
Melayu juga kini menjadi penyumbang kepada tanda aras masyarakat yang biadab di
negara ini? Padahal dalam kerangka budaya Melayu dan agama Islam sudah
menekankan kesantunan serta seni berkomunikasi dengan bahasa yang baik.
Kempen Budi Bahasa dan Nilai
Murni sama sekali tidak diwujudkan kalau masyarakat kita berbudi bahasa
selayaknya. Kempen ini menandakan keruntuhan tonggak peradaban orang Malaysia
termasuk Melayu.
Sasterawan Negara Usman Awang
menerusi puisi Melayu telah menggariskan sikap orang Melayu terhadap adab dan
kesantunan biarpun untuk melepaskan kemarahan. Kata Usman Awang;
"Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam
jenaka
Budi bahasanya tidak
terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih
bersopan
Bila mengampu bijak
beralas tangan"
Ini adalah kesantunan Melayu yang
menunjukkan budi bahasanya cukup tinggi hinggakan kalau hendak bersikap kurang
ajar pun mesti bersopan santun. Tetapi warisan ini semakin hilang apabila orang
Melayu cepat lekang dek panas dan lapuk dek hujan. Orang politik pula tidak
banyak memberikan teladan yang baik.
Banyak pemimpin politik tidak
lagi bersilat kata dengan santun. Mereka lupa bahawa warga melihat sisi
peribadi ini dengan nyata. Baiknya kalau yang menolak untuk diteladani. Tetapi
tidak kurang juga yang mewajarkan atas kebebasan bersuara dan mengejar kuasa.
Enam tahun lalu majalah Readers
Digest menyiarkan hasil kajian kesantunan di 36 bandar raya di dunia. Hasilnya
Kuala Lumpur berada di tangga ketiga terakhir. Pada tahun lalu pula turun
setakah menjadi bandar raya kedua paling biadab.
Kita boleh sahaja mempertikaikan
kajian itu di atas beberapa sebab, antaranya dicurigai kaedah yang digunakan
untuk menilai takah kesantunan dan kebiadaban.
Tetapi mempertikai sahaja tidak
mampu membersihkan kita daripada kedudukan kedua paling biadab. Kurang
kesantunan menyumbang kepada rendahnya kesedaran sivik dan ini boleh disaksikan
sendiri di Kuala Lumpur ini. Adakah kita mahu menafikan?
Sebenarnya tanpa kajian oleh
Readers Digest pun secara jujur diakui peradaban masyarakat telah jauh menurun.
Kesantunan yang tinggi menyumbang kepada peradaban yang juga tinggi.
Dalam masyarakat Melayu di
kampung, keutuhan ditunjangi oleh sikap kekitaan, tetapi nilai di bandar
menonjolkan keakuan, keasingan yang akhir sekali hilang seni berkomunikasi yang
beradab.
Pemikir dan wartawan, Allahyarham
Pak Sako pada tahun 1984 pernah menulis dalam kolumnya Di Simpang-Simpang Jalan
dalam Utusan Malaysia mengenai pengalaman diherdik oleh kerani di kaunter
sebuah pejabat pos. Pak Sako menulis, di kaunter berkenaan ada dua pelanggan
dan Pak Sako pelanggan kedua. Kerani yang sebaya cucu Pak Sako dengan kasar
menyuruh Pak Sako beratur.
Ini satu contoh hilangnya seni berkomunikasi
yang beradab. Padahal dalam budaya Melayu semua ini telah ditekankan termasuk
menghormati orang yang lebih tua.
Di sebalik kempen berbudi bahasa,
orang kita mudah leka dengan pujian. Dalam akhbar kerap dilaporkan pelancong
asing memuji orang Malaysia ramah dan
berbudi bahasa". Sebahagian besar daripada kita pun berbangga dengan pengiktirafan" yang diberikan oleh pelancong berkenaan.
Tidak terfikirkah kita bahawa kenyataan itu mungkin untuk menyedapkan hati tuan
rumah? Tetapi ada dalam kalangan kita tidak bijak memahami antara pujian dan
diplomasi.
Warga Malaysia mesti menghentikan
serta merta kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni. Mesti. Mereka mesti menganggap
bahawa kempen ini sangat memalukan. Pemimpin politik mesti menyumbang kepada
pembinaan kesantunan yang tinggi. Seperti kata Usman Awang, Kurang ajarnya tetap santun." Caranya ialah kembali
kepada budaya hidup yang berpaksikan adab dan kesantunan.
Memang menarik apa yg diperkatakan. Semoga rakyat M'sia dapat mengembalikan kedaulatan bahasa.
BalasPadam