Jumaat, 22 Februari 2013

ISU BAHASA : Hasutan kumpulan Anglofil berbahaya


Oleh : Teo Kok Seong
 
PPPM wadah terbaik perjuang bahasa Melayu

Laporan Akhir Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dikatakan sedang diteliti oleh Majlis Raja-Raja untuk kelulusan terakhir. Sudah tentu banyak perkara yang ditimbulkan ketika pertemuan dengan orang ramai diambil kira, untuk kebaikan anak bangsa dan juga negara.

Namun, ada pihak tertentu mendakwa bidang pendidikan dipolitikkan dalam PPPM. Antaranya ialah golongan Anglofil, yakni mereka  yang amat menyanjungi budaya Inggeris. Dakwaan ini dibuat kerana dua kehendak utama mereka tidak diambil kira, iaitu penerusan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan pengembalian persekolahan aliran Inggeris.

Dengan tiadanya dua kehendak ini dalam PPPM, mereka menuduh kerajaan mencampuradukkan bidang pendidikan dengan politik, sebaliknya, mereka menuntut agar PPSMI bersifat bebas politik.

Sebenarnya apakah maksudnya apabila dikatakan PPPM itu dipolitikkan dan apa itu politik sebenarnya? Kalaulah politik itu dilihat sebagai usaha untuk mengurus dan mengatur kehidupan ummah sebaik mungkin, dari segi kebajikan dan kesejahteraan mereka, PPPM tidak boleh sama sekali dianggap bersifat politik, yakni menyebelahi satu pihak dan menindas yang lain. Ia bersifat neutral untuk kebaikan semua pihak.

Kita sebetulnya perlu lebih matang dalam hal pengurusan pendidikan negara, khususnya dari segi pembangunannya agar bukan saja berwawasan, tetapi juga beraspirasi. Dalam hal ini, bidang pendidikan kita adalah untuk mengembangkan keupayaan pelajar dari segi kecendekiaan dan lain-lain, selain menyatupadukan mereka dalam keadaan kemajmukan etnik dan kepelbagaian budaya.

Manfaat terbesar kepada rakyat

Untuk mencapai tujuan ini, kerajaan cuba mempertimbang segala kehendak rakyat. Namun, hanya yang dapat memberi manfaat terbesar kepada rakyat jelata, dimasukkan ke dalam PPPM. Bagi yang tidak dapat dimasukkan, tidak bolehlah kita mendakwa bahawa kerajaan telah mempolitikkan bidang pendidikan. Lebih rungkap lagi, golongan ini menyelar Menteri Pelajaran sebagai menyebelahi golongan nasionalis bahasa Melayu.

Sebaliknya, golongan Anglofil ini perlu menerima Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), dan bekerjasama dengan kerajaan untuk mempertingkat kecekapan berbahasa Inggeris di negara ini, yang juga perjuangan utama mereka.

Mereka tidak boleh terus memusuhi kerajaan dan menghasut pelbagai pihak untuk mendesak agar PPSMI dan persekolahan aliran Inggeris dikembalikan. Tindakan mereka untuk menggalakkan rakyat menyokong gabungan politik yang boleh memenuhi dua kehendak mereka itu, dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, adalah subversif sekali.

Hasutan di Sabah, Sarawak

Hasutan mereka agar pemimpin Sabah menuntut supaya bidang pendidikan di sana diuruskan kerajaan negeri sendiri dan bukannya oleh Kerajaan Pusat, seperti yang tertera pada Perjanjian 20 Perkara ketika Sabah menyertai Malaysia, adalah perbuatan yang betul-betul melampau. Tidak cukup dengan hasutan keji ini, golongan ini juga mengacum agar Perkara 2, iaitu bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi Sabah, yang digunakan untuk semua tujuan tanpa sebarang had masa, dilaksanakan di sana.

Golongan ini juga cuba menghasut pemimpin Sarawak untuk mendesak Kerajaan Pusat menukar semua sekolah mubaligh di sana kepada sekolah aliran Inggeris, selari dengan Perjanjian 18 Perkara ketika Sarawak menyertai Malaysia. Perkara mengenai penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi di Sarawak juga diungkit golongan ini yang mahu melihat penggunaan bahasa Inggeris yang lebih dominan di seluruh Malaysia.

Sampai begitu sekali sifat dendam golongan ini terhadap kerajaan kerana bahasa Inggeris. Sehubungan itu, mereka menyalahkan tindakan kerajaan yang pada mereka boleh merugikan bangsa Melayu sendiri, yang kini adalah kelompok mahasiswa menganggur yang terbesar. Malah mereka mahu kerajaan bertanggungjawab dalam hal ini.

Sebenarnya, mereka ini yang terdiri daripada orang Melayu sendiri, lupa bahawa hanya melalui bahasa Melayu yang digunakan secara dominan dalam bidang pendidikan, wibawa bangsa Melayu itu boleh bertambah sasa. Lebih penting lagi ialah bahasa Melayu itu adalah sebahagian daripada orang Melayu dan adalah jati diri mereka.

Oleh itu, bahasa Melayu perlu diberi kesempatan oleh orang Melayu sendiri untuk berkembang. Untuk ini, PPPM adalah wadah terbaik yang boleh memberi dan menambah nilai kepada bahasa Melayu. Melaluinya bahasa dan budaya Melayu bukan saja boleh diperkasa tetapi lebih penting lagi dilestarikan di wilayah watannya sendiri.

Penulis ialah Profesor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan