Oleh : TAN SRI LEE LAM THYE
BEBERAPA tahun kebelakangan ini kerajaan telah memperkenalkan pelbagai
dasar untuk menambah baik sistem keselamatan sosial secara umumnya dan sistem
persaraan secara khususnya.
Semuanya bermula dengan penubuhan Jawatankuasa Kajian Kerangka Keselamatan
Sosial dan Persaraan pada November 2009. Jawatankuasa ini telah mengemukakan
beberapa perakuan berkaitan keselamatan sosial kepada Kerajaan.
Kerajaan telah memperkenalkan beberapa langkah untuk memastikan pekerja
mempunyai simpanan yang mencukupi untuk persaraan mereka. Kerajaan melalui
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan Skim Simpanan Persaraan
1Malaysia pada 2010 dengan objektif untuk menggalakkan pekerja sendiri, suri
rumah tangga dan pekerja sektor awam menyimpan untuk persaraan mereka.
Pada 2011, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara diluluskan oleh Parlimen,
dan kemudiannya Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan dipinda bagi membolehkan
penubuhan Skim Persaraan Swasta.
Pada awal tahun lepas, caruman majikan kepada KWSP untuk pekerja yang
menerima gaji tidak melebihi RM5,000 sebulan dinaikkan daripada 12% kepada 13%.
Akhirnya, umur persaraan minimum untuk pekerja sektor swasta ditetapkan pada
umur 60 tahun, namun umur pengeluaran simpanan persaraan KWSP masih kekal pada
umur 55 tahun.
Berbeza dengan amalan baik di negara-negara maju seperti New Zealand,
Jepun, Korea Selatan dan Belanda, perkhidmatan keselamatan sosial di negara
kita adalah berselerak di mana terdapat beberapa kementerian dan agensi
kerajaan yang terlibat dalam memberikan perkhidmatan keselamatan sosial.
Isu-isu berkaitan pendapatan persaraan terletak di bawah tanggungjawab
Jabatan Perkhidmatan Awam bagi pekerja sektor awam dan KWSP bagi pekerja sektor
swasta.
Kementerian Kesihatan pula bertanggungjawab atas hal-hal berkaitan
kesihatan, sementara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
pula bertanggungjawab atas hal-hal
berkaitan dengan bantuan sosial.
Namun begitu, Perkeso yang bertanggungjawab atas perkara-perkara berkaitan
dengan bencana pekerjaan dan pencen ilat pula adalah di bawah Kementerian
Sumber Manusia.
Selalunya, sistem keselamatan sosial yang berselerak akan menghasilkan
dasar-dasar yang bersifat cebisan serta tidak bersepadu. Contohnya, isu-isu
berkaitan pendapatan persaraan sewajarnya dibincangkan dari sudut perspektif
yang inklusif dengan melibatkan semua pekerja sama ada sektor awam atau swasta,
orang bekerja sendiri dan pekerja dalam sektor tidak formal.
Kita perlu melihat kepada amalan baik di negara-negara maju untuk
penambahbaikan pada masa depan.
Isu-isu berkaitan keselamatan sosial di New Zealand diuruskan oleh
Kementerian Pembangunan Sosial, manakala Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan
pula bertanggungjawab atas dasar-dasar keselamatan sosial di Jepun.
Di Korea Selatan, Kementerian Kesihatan dan Kebajikan adalah kementerian
tunggal yang bertanggungjawab untuk menangani semua isu berkaitan kesihatan,
persaraan, kebajikan rakyat, dan jaringan keselamatan sosial. Semua hal
berkaitan dasar keselamatan sosial di Belanda pula diuruskan oleh Kementerian
Kesihatan, Kebajikan dan Sukan.
Selaras dengan tujuan dan maksud kerangka sistem persaraan pelbagai tonggak
dan hasrat Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju menjelang 2020, di samping
hakikat bahawa negara meningkat usianya dengan pantas, sudah sampai masanya
Malaysia menubuhkan Majlis Keselamatan Sosial Kebangsaan (MKSK).
Majlis ini akan berperanan merangka pelan strategik berhubung pendapatan
persaraan warga tua, kesihatan dan sistem sokongan. Pelan ini perlu menjelaskan
secara terperinci wawasan keseluruhan bagaimana Malaysia akan menangani cabaran
dengan peningkatan bilangan warga emas.
Pelan strategik berkenaan perlu mengambil kira pelbagai isu yang akan
dihadapi oleh sistem keselamatan sosial negara; persekitaran politik dan
ekonomi; hubungan tri-partite dalam hal perkongsian risiko dan caruman
dan pengurusan sumber yang berkesan.
Tambahan pula, sistem keselamatan sosial yang bersepadu dan tersusun dapat
menyumbang ke arah bayaran caruman dan penguatkuasaan yang lebih baik dan
berkesan, penyampaian perkhidmatan yang lebih tersusun dan pengurusan sumber
yang lebih baik.
Mereka yang bertanggungjawab ke atas penubuhan MKSK boleh mendapatkan
bantuan daripada pakar-pakar keselamatan sosial bagi merangka pelan strategik
kebangsaan untuk kebaikan semua warga emas dan mereka yang telah bersara.
Penulis ialah
aktivis masyarakat
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan