Oleh : Johan Jaaffar
Syukurlah, sekurang-kurangnya
daripada senarai 40 rakyat Malaysia yang terkaya, terdapat tujuh orang Melayu.
Dalam senarai terbaru majalah Malaysian Business, tiga daripada mereka
berketurunan India, tujuh orang Melayu dan 30 orang Cina. Majalah perniagaan yang
dihormati terbitan Berita Publishing Sdn Bhd itu pertama kali terbit pada tahun
1972. Selama lebih 40 tahun Malaysian Business telah merakamkan denyut nadi
dunia perniagaan tanah air dengan segala drama, suka duka dan jatuh bangunnya.
Menurut majalah itu, sejak
senarai itu bermula pada tahun 2002, 81 ahli perniagaan telah disenaraikan
tetapi hanya 15 orang yang bertahan dalam senarai itu sepanjang masa 12 tahun.
Kedudukan kekayaan mereka bergantung pada pasaran saham dan ekonomi negara.
Bagi senarai kali ini secara terkumpul 40 orang yang tersenarai itu bernilai
RM194.8 bilion pada bulan Januari 2013, yang menampakkan peningkatan nilai
kekayaan mereka.
Bagi keluaran kali ini, ahli
perniagaan Malaysia yang bertapak di Hong Kong, Robert Kuok Hock Nien dari
Kumpulan Kerry/Kuok berada dalam senarai teratas. Beliau dikatakan bernilai
RM46.1 bilion. T. Ananda Krishnan (Usaha Tegas) berada di tempat kedua dengan
nilai RM32.9 bilion. Tan Sri Teh Hong Piow (Public Bank) dan Tan Sri Quek Leng
Chan (Kumpulan Hong Leong) masing-masing bernilai RM13.7 bilion dan RM11
bilion, berada pada tempat ketiga dan keempat.
Tokoh perniagaan Melayu yang
tidak asing lagi, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary merupakan orang Melayu
terkaya, dan nombor lima dalam senarai itu dengan nilai RM10.6 bilion. Tan Sri
Azman Hashim (AmBank Group) pada kedudukan nombor 11 dengan nilai RM3.8 bilion.
Datuk Mokhzani Mahathir (Sapura/Kencana Petroleum ) di tempat ke-13 dengan
RM2.6 bilion. Dua beradik dari Kumpulan Sapura, Datuk Shahril Shamsuddin dan
Datuk Shahriman (kedua-duanya bernilai RM1.6 bilion tiap seorang) berada di
tempat ke-19 dan 20. Dua orang ahli perniagaan Melayu lain yang tersenarai
ialah Datuk Kamaruddin Meranum (AirAsia) di tempat ke-29 dan Datuk Abdul Hamid
Sepawi (Ta Ann Holdings) di tangga ke-38.
Dalam kalangan orang Melayu yang
tersenarai, Datuk Shahriman merupakan yang termuda (44 tahun) dan Azman (73)
yang tertua. Dalam kalangan mereka hanya Kamaruddin yang mencatatkan penurunan
kedudukan, daripada 22 ke 29 (RM1.4 bilion kepada RM1.3 bilion). Bagi kedua
beradik dalam kumpulan Sapura, menampakkan peningkatan daripada 24 dan 25
kepada 19 dan 20. Syed Mokhtar, Azman dan Mokhzani kekal pada kedudukan yang
sama seperti tahun lalu.
Kedudukan ekonomi dunia, setempat
Memanglah kekayaan rakyat
Malaysia relatif kecil berbanding dengan individu lain di dunia. Malah mungkin
seorang atau berdua rakyat kita yang tersenarai dalam 100 individu terkaya di
dunia. Tiga orang yang terkaya di dunia hari ini menurut senarai majalah
Forbes, Carlos Sim Helu (syarikat telekomunikasi), Bill Gates (Microsoft) dan
Warren Buffet (Berkshire Hathaway) masing-masing bernilai RM234.6 bilion,
RM207.4 bilion dan RM149.6 bilion.
Kedudukan ekonomi dunia dan
setempat boleh menjejaskan prestasi mereka. Tidak semuanya boleh bertahan pada
kedudukan yang sama sepanjang masa. Menurut majalah itu, T. Ananda Krishnan
mencatatkan penurunan nilai yang tertinggi dalam kalangan mereka yang
tersenarai, yakni sebanyak 23.5 peratus berbanding tahun lalu. Namun demikian
beliau masih berada pada kedudukan nombor dua seperti tahun lalu.
Sudah tentulah ada pihak akan
mempersoalkan kejayaan sesetengah orang Melayu dalam bidang perniagaan. Ada
yang mengatakan mereka terhasil akibat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menguntungkan
mereka atau kaitan politik yang kuat. Malang sekali, tuduhan yang sama jarang
dilemparkan pada ahli perniagaan Cina, 30 orang dalam senarai itu.
Kebanggaan orang Melayu
Dunia perniagaan penuh dengan
cerita suka duka. Bagi ahli perniagaan seperti Syed Mokhtar dan Azman, soal
jatuh bangun bukan perkara baru. Syed Mokhtar yang terbabit dalam banyak bidang
perniagaan selalu menarik perhatian banyak orang. Banyak orang lupa bagaimana
beliau bermula. Buku Biografi Syed Mokhtar Albukhary yang ditulis oleh Premilla
Mohanlall sepatutnya dijadikan rujukan oleh semua ahli perniagaan Melayu. Buku
ini secara jujur menggariskan bagaimana beliau yang tidak berpelajaran tinggi
mula berniaga secara kecil-kecilan di Kedah. Bukan rahsia lagi bahawa
perniagaan pertama yang sebenar bagi Syed Mokhtar ialah jual beli lembu. Syed
Mokhtar tidak disediakan dulang emas. Beliau bersakit-sakit bertahun-tahun,
membina jati diri dan belajar daripada kesilapan untuk menjadi anak Melayu
paling berjaya dalam dunia perniagaan hari ini.
Beliau tidak menafikan peranan
yang dimainkan oleh DEB bagi memudahkan usaha beliau pada peringkat awal. Malah
beliau mengakui menerima rahmat atau menjadi benefisiari dasar itu. Ribuan yang
lain juga menikmatinya tetapi berapa banyakkah daripada kalangan ini yang
benar-benar berjaya?
Cerita kejayaan Syed Mokhtar
seharusnya diteladani oleh ahli perniagaan Melayu atau mereka yang ingin
berniaga. Tidak mudah untuk menjadi kaya dan lebih sukar untuk mengekalkan
kekayaan. Syed Mokhtar menjadi kebanggaan orang Melayu dengan dedikasi dan
semangatnya. Beliau tidak akan bertahan di tempat kelima dalam senarai individu
terkaya Malaysia sekiranya beliau mudah patah hati atau kecewa.
Itulah pengajaran terbaik
daripada senarai Malaysian Business yang terbaru ini.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Nota Hujung :
Senarai 40 Orang Paling Kaya di Malaysia 2013
Nota Hujung :
Senarai 40 Orang Paling Kaya di Malaysia 2013
1. Robert Kuok Hock Nien (46,100.00) (Kerry Group/Kuok
Group)
2. T Ananda Krishnan (32,904.28) (Usaha Tegas)
3. Tan Sri Teh Hong Piow (13,734.25) (Public Bank)
4. Tan Sri Quek Leng Chan (11,090.00) (Hong Leong Group)
5. Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary (10,600.00) (Al-Bukhary
Foundation)
6. Tan Sri Lee Shin Cheng (10,557.48) (IOI Group)
7. Tan Sri Lim Kok Thay (8,120.57) (Genting Group)
8. Puan Sri Lee Kim Hua (7,235.44) (Genting Group)
9. Tan Sri Tiong Hiew King (6,346.53) (Rimbunan Hijau)
10. Ong Beng Seng (4,016.40) (Hotel Properties Ltd)
11. Tan Sri Azman Hashim (3,840.00) (Arab-Malaysian Corp)
12. Tan Sri Yeoh Tiong Lay (3,467.13) (YTL Group)
13. Datuk Mokhzani Mahathir (2,669.11) (SapuraKencana
Petroleum)
14. Tan Sri Vincent Tan (2,256.08) (Berjaya Group)
15. Datuk Desmond Lim (1,869.20) (Pavilion REIT)
16. Datuk Lee Yeow Chor (1,742.47) (IOI Group)
17. Lee Yeow Seng (1,699.14) (IOI Group)
18. Tan Sri Lau Cho Kun (1,697.84) (Hap Seng Consolidated)
19. Datuk Shahril Shamsuddin (1,642.22) (Sapura Group)
20. Datuk Shahriman Shamsuddin (1,641.03) (Sapura Group)
21. Tan Sri Jeffrey Cheah (1,581.93) (Sunway Group)
22. Tan Sri Tony Fernandes (1,561.92) (AirAsia)
23. Tan Sri Lee Oi Hian (1,557.64) (Batu Kawan)
24. Datuk Lee Hau Hian (1,554.02) (Batu Kawan)
25. Tan Sri Francis Yeoh (1,463.73) (YTL Group)
26. Datuk Yeoh Seok Hong (1,392.56) (YTL Group)
27. Datuk Michael Yeoh (1,367.02) (YTL Group)
28. Datuk Yeoh Seok Kian (1,337,77) (YTL Group)
29. Datuk Kamarudin Meranun (1,316.69) (AirAsia)
30. Tan Sri Dr. Lim Wee Chai (1,281.92) (Top Glove Group)
31. Datuk Mark Yeoh Seok Kah (1,273.52) (YTL Group)
32. Puan Sri Chong Chook Yew (855.75) (Selangor Properties)
33. Ong Leong Huat & Khor Chai Moi (787.31) (OSK
Holdings/Willowglen)
34. Ngau Boon Keat (746.99) (Dialog)
35. Datuk Ak Nathan (687.72) (Eversendai)
36. Tan Sri Leong Hoy Kum (665.23) (Mah Sing Group)
37. Datuk Tan Heng Chew (651.31) (Tan Chong Motors Holdings)
38. Datuk Abdul Hamed Sepawi (570.40) (Ta Ann Holdings)
39. Datuk Seri Stanley Thai (488.70) (Supermax Corporation)
40. Tan Sri Kua Sian Kooi (485.34) (KSK Group)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan