Para peserta PABM 2013 bergambar bersama Datin Seri Rosmah |
PUTRAJAYA 18 Feb. -
Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri
2013 mampu menjadi platform untuk mengangkat bahasa nusantara itu ke persada
dunia.
Isteri Perdana Menteri, Datin
Seri Rosmah Mansor berkata, melalui PABM, bahasa Melayu dapat 'dieksport' dan
diperkembang menggunakan saluran formal di institusi-institusi pengajian tinggi
utama seluruh dunia.
Katanya, matlamat utama acara
tahunan terulung sejak 2007 adalah untuk memartabatkan citra negara bangsa dan
kedaulatan bahasa Melayu, justeru penganjuran PABM mesti diteruskan demi
kelangsungan bahasa tersebut.
"Perdana Menteri semasa
mencetuskan idea pertandingan ini mahu melihat satu usaha berterusan dijalankan
bagi mengumpulkan para pelajar yang mendalami ilmu bahasa Melayu dari segenap
penjuru dunia.
"Mereka seterusnya akan
beradu kekuatan minda, bertanding bagi memilih seorang peserta yang terhebat
untuk dinobatkan sebagai pemidato terbaik dalam bahasa Melayu di dunia,"
katanya.
Beliau berkata demikian ketika
berucap pada Majlis Resepsi PABM di Kompleks Seri Perdana di sini hari ini.
Hadir sama, isteri Menteri
Pengajian Tinggi, Datin Seri Rosni Omar dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi,
Datuk Dr. Hou Kok Chong.
Rosmah berkata, bahasa Melayu
pada masa kini semakin berkembang maju dan menjadi salah satu bahasa asing yang
diminati di kebanyakan universiti terkemuka dunia.
"Bahasa Melayu juga sejak
kebelakangan ini menjadi salah satu bahasa yang diminati untuk dipelajari
khususnya di China, Korea Selatan, dan Jepun.
"Ini mungkin berpunca
daripada pembangunan pesat sektor ekonomi negara di rantau Asia, di samping itu
sebahagian besar penduduk di Asia Tenggara iaitu kira-kira 300 juta orang
adalah penutur asli bahasa Melayu," katanya.
Pada masa sama, beliau melahirkan
keyakinan penganjuran PABM dapat menjadi wadah bagi kerajaan dan Kementerian
Pengajian Tinggi dalam memartabatkan bahasa Melayu melalui bidang pengucapan
awam.
"Selain itu, PABM juga mampu
untuk memberi kesedaran dan keyakinan kepada orang Melayu itu sendiri bahawa
bahasa Melayu masih dominan dan relevan walau di mana jua dan apa jua keadaan
sekali pun," katanya.
TAJUK - TAJUK PIDATO ANTARABANGSA BAHASA MELAYU (PABM) 2013 :
1. Malaysia Di Hatiku
2. Kesukarelawanan Melahirkan Keperibadian Murni
3. Uniknya Budaya Malaysia
4. Malaysia Hab Pengajian Tinggi Antarabangsa
5. Kesederhanaan Malaysia Contoh Terbaik Dunia
6. Belia Cerminan Keunggulan Negara
7. Kelestarian Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama.
8. Keamanan Sejagat Keutamaan Kita
9. Persefahaman Membentuk Keamanan Dunia
10. Budaya Wadah Perpaduan Antara Negara
11. Inovasi dan Kreativiti Asas Kemajuan Negara
12. Transformasi Minda Tonggak Kegemilangan Negara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan