Dibelenggu Bebanan Hutang |
MENELITI satu persatu rak pakaian
jenama baharu yang dipamerkan dalam gedung dan butik tempatan, tergerak dalam
hati untuk memiliki koleksi yang sama.
Melihat rakan-rakan yang lebih
dulu memakainya, membuat hati meronta-ronta mahu ikut serta.
Akhirnya, digenggam juga pakaian
tersebut tanpa memikirkan wang yang semakin ‘menipis’ dalam simpanan.
“Kadangkala hajat membeli itu
disimpan lama terutamanya untuk memiliki barangan gajet terkini sehingga
sanggup berlapar,” ujar Syafil Syazwan Jeffri, 24, sambil membelek tablet yang
mendapat perhatian golongan muda masa kini.
Gaya hidup di luar kemampuan
sering menjadi punca utama masalah kewangan yang semakin meruncing dalam
kalangan remaja. Hal tersebut membawa kepada bebanan hutang pada usia muda
akibat berbelanja secara berlebihan.
Perbelanjaan terbesar yang perlu
dilunaskan Syafil setiap bulan ialah sewa rumah. Bayaran tersebut hampir
separuh daripada gaji pokoknya. Walaupun berdepan dengan kadar sewa yang
tinggi, dia terpaksa akur dengan pilihan itu memandangkan jarak rumah dan
tempat kerjanya dekat berbanding rumah sewa lain.
“Selain itu, tanggungan bulanan
juga merangkumi bil internet, telefon, kelab gimnasium dan perbelanjaan makan
minum,” jelasnya.
Berdasarkan kaji selidik yang
dijalankan oleh Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) mengenai perilaku
dan tabiat kewangan golongan pekerja muda, 37 peratus daripada kelompok
tersebut mengakui mereka berbelanja melebihi gaji bulanan.
Tahap pengetahuan yang rendah
mengenai pengurusan kewangan menjadi salah satu punca kepada kemelut bebanan
hutang golongan tersebut. Kajian CRRC membuktikan 47 peratus daripada mereka
dibebani hutang serius.
Kos sara hidup yang meningkat
saban tahun turut menyumbang kepada masalah pengurusan wang golongan muda.
Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan
Perdana Menteri (JPM) pada tahun 2009, pendapatan kasar bulanan isi rumah di
kawasan bandar menjulang naik kepada RM4,705 berbanding RM3,357 pada tahun
1999.
Hal ini memberi gambaran bebanan
dan tanggungan perlu dihadapi oleh golongan muda terutamanya graduan yang baru
memasuki alam pekerjaan.
Urus kewangan
Adakah cara hidup generasi ini
perlu disalahkan sepenuhnya atau perlu mengambil kira kos sara hidup yang
semakin meningkat?
Dekan Fakulti Ekonomi dan
Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Mohd Fauzi Mohd Jani,
berkata, golongan muda perlu mengukur baju di badan sendiri ketika berbelanja
dan menguruskan kewangan.
“Tidak dinafikan kos sara hidup
yang tinggi mempengaruhi perbelanjaan bulanan seseorang. Ia ditambah dengan
gaya hidup yang tidak selari dengan pendapatan.
“Namun begitu, ia berbalik kepada
individu itu sendiri. Mereka seharusnya mengetahui cara pengurusan wang dengan
bijak. Langkah yang salah dalam perkara ini menjerumuskan ramai golongan muda
dalam perangkap muflis,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo!.
Tambah Mohd. Fauzi, salah satu
punca utama berlakunya muflis dalam kalangan golongan muda adalah disebabkan
penggunaan kad kredit tanpa had. Kebanyakan kes yang berlaku disebabkan
kegagalan membayar balik hutang kad kredit yang tinggi dan di luar kemampuan
mereka.
Mengikut statistik yang
dikeluarkan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), jumlah pemuda berusia 34 tahun
ke bawah yang muflis meningkat setiap tahun. Sebanyak 47 peratus daripada
jumlah keseluruhan 4,568 kes baharu direkodkan sehingga suku tahun lalu.
“Namun demikian, kita perlu
mengkaji punca mereka menggunakan kad kredit. Ini kerana ada yang membuat kad
kredit untuk melangsaikan bayaran perniagaan mereka sehingga menjadi muflis.
“Perkara ini perlu diambil kira
dan pada masa yang sama, beberapa inisiatif harus dilakukan bagi membantu
remaja yang muflis disebabkan masalah pengurusan wang dalam perniagaan,” jelas
Mohd. Fauzi.
Perancangan kewangan yang lemah
dan kurangnya pengetahuan mengenai pengurusan wang menjadi faktor utama masalah
hutang. Situasi ini menyumbang kepada masalah muflis yang semakin meningkat
saban tahun.
Seramai 9,471 orang telah
diisytiharkan muflis sehingga suku ketiga tahun 2012 mengikut statistik MdI.
Sejumlah 6,203 daripadanya
diisytiharkan sebagai muflis akibat kegagalan menjelaskan hutang kad kredit. Ia
menjadi kebimbangan kerana turut membelenggu sebilangan belia yang mempunyai
tanggungan kad kredit dalam usia yang masih muda.
“Hutang yang semakin meningkat
saban tahun memaksa saya mencari solusi masalah kewangan ini,” ujar pekerja
sektor awam, Saida Akmar, 25, yang mula menggunakan kad kredit sejak tahun
2011.
“Walaupun sudah mengehadkan
perbelanjaan sebanyak RM5,000 untuk sebulan, penggunaan kad kredit membuatkan
Saida terleka ketika membeli-belah.
“Tidak dinafikan, semua yang
berlaku kerana kesalahan sendiri yang tidak dapat menahan diri ketika
berbelanja,” keluh Saida.
Bahang kos sara hidup tinggi
turut dialami oleh Nurliza Barhan, 25, yang berhijrah ke ibu kota untuk mencari
peluang pekerjaan yang setaraf dengan bidang pengajiannya.
Bagi gadis kelahiran Miri,
Sarawak itu, penyelarasan gaji bagi pemegang ijazah boleh mengurangkan masalah
kewangan yang berlaku kepada golongan muda seperti dirinya.
“Apa yang saya lihat sekarang,
gaji bagi lepasan ijazah tidak selaras di sektor awam atau swasta. Penyelarasan
perlu dipertimbangkan memandangkan peningkatan kadar perbelanjaan saban tahun,”
ujar Nurliza ketika ditemui di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Penyelarasan
Mengulas isu tersebut, Ketua
Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa berkata, kerajaan sedang mengkaji
untuk menyelaraskan tangga gaji penjawat awam berkelulusan ijazah yang kini
berada di bawah gred 41.
“Perbincangan bersama Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) sedang dijalankan kerana keperluan untuk mencapai
status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020,” ujarnya.
Dilema yang membelenggu diri
akibat bebanan hutang perlu diatasi secepat mungkin. Antara langkah yang yang
boleh dimulakan adalah dengan mengikuti proram-program motivasi dan kewangan
seperti yang diadakan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)
melalui Program Pengurusan Kredit.
“Sehingga Disember 2012, lebih
daripada 207,997 orang telah mendapatkan khidmat kaunseling di AKPK. Pada masa
sama, 85,994 orang daripada jumlah tersebut telah dibantu melalui Program
Pengurusan Kredit,” ujar Pengurus Bahagian Pendidikan Kewangan AKPK, Nor Akmar
Yaakub, ketika ditemui di pejabat urusan AKPK.
Program yang dijalankan bertujuan
untuk memupuk tabiat meminjam secara bijak sekali gus menggalakkan budaya
pembayaran semula peminjam secara konsisten. Mengikut statistik AKPK, seramai
2,039 belia telah mengikuti program tersebut.
Sumber : http : //www.kosmo.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan