Oleh : Akhbar Satar
Pemeriksaan ketat punca penumpang, pelancong
berkurangan 6 peratus
Peristiwa 9/11 mengejutkan dunia dan menyimpan misteri yang tidak terduga.
Kejadian itu juga menyebabkan rakyat Amerika Syarikat (AS) berada dalam
ketakutan, huru-hara, kebimbangan dan fobia terutama apabila membabitkan
penerbangan.
Ia berlaku pada 11 September 2001 apabila empat pesawat penumpang dirampas
di AS. Dua pesawat berkenaan dilencongkan untuk melanggar menara Pusat Dagangan
Dunia (WTC) di New York dan sebuah lagi bangunan Pentagon. Sebuah lagi pesawat
pula dipintas dan ditembak jatuh di Shanksville, Pennsylvania ketika menuju US
Capitol di Washington DC.
Ada pandangan menyatakan serangan itu adalah peperangan ekonomi dan berjaya
menggoncangkan ekonomi AS. Jumlah kematian akibat serangan itu ialah 2,977
orang termasuk 246 dalam empat pesawat berkenaan, lebih besar daripada jumlah
kematian akibat serangan di Pearl Harbor iaitu seramai 2,369 orang pada 26
November 1941.
Serangan itu adalah bencana dan malapetaka paling buruk selepas Perang
Dunia Kedua dan mengakibatkan kerosakan fizikal AS$55 bilion dan menjejaskan
ekonomi AS sehingga AS$123 bilion. Sejak itu, AS berbelanja lebih daripada
AS$7.6 trilion dalam bentuk peralatan ketenteraan dan inisiatif keselamatan
negara.
Pemeriksaan ketat
Penulis yang baru kembali dari AS dapat merasai pengalaman melalui
pemeriksaan keselamatan sangat ketat di setiap lapangan terbang di negara itu
termasuk Lapangan Terbang JF Kennedy. Malah, sebahagian besar rakyat AS kurang
selesa kerana terpaksa melalui pemeriksaan sangat ketat, mengambil masa lama,
membosankan serta menjejaskan emosi dan mental.
Kebiasaannya, apa yang perlu dilakukan setiap penumpang ialah memasukkan
semua bagasi, menanggalkan tali pinggang, membuka kasut dan mengosongkan poket
seluar atau baju dan memasukkan semua itu ke dalam bekas untuk melalui mesin
pengimbas. Penumpang pula dikehendaki melalui pengimbas khas menggunakan
teknologi gelombang milimeter bagi mengesan sebarang objek tajam atau logam.
Bagi pemeriksaan kedua, penumpang perlu memasuki ruang kaca khas
mengandungi mesin pengimbas tubuh menggunakan sinar X sambil mengangkat kedua
belah tangan untuk mengesan sama ada cecair, komponen alat letupan yang diubah
suai serta senjata bukan logam yang mungkin ada di badan atau di sebalik
pakaian penumpang.
Prosedur itu bagi mengelakkan cubaan mengebom pesawat seperti cuba dilakukan
seorang lelaki Nigeria yang menyembunyikan bahan letupan dalam seluar dalamnya.
Selepas pemeriksaan tahap kedua, penumpang yang disyaki akan diperiksa
sekali lagi menggunakan alat pengesan logam bagi memastikan tidak ada peralatan
logam yang boleh digunakan untuk membuat bahan letupan.
Bagi wanita yang bertudung, mereka dikehendaki melalui satu lagi
pemeriksaan khusus. Penumpang dikehendaki meletakkan kedua tapak tangan di
bahagian hadapan, tengah dan belakang kepala. Selepas itu kedua tapak tangan akan
disapukan bahan kimia sebelum ditekap kepada sehelai kain yang akan diletakkan
di bawah cahaya mesin pengimbas khas bagi mengesan sebarang bahan berbahaya.
Penumpang bagai tak berpakaian
Penggunaan alat pengimbas tubuh di lapangan terbang di Amerika Syarikat
mendapat bantahan kerana mesin pengimbas itu mampu melihat tubuh penumpang
seolah-olah mereka tidak berpakaian. Bagaimanapun, ia masih digunakan pada
hampir 75 lapangan terbang di Amerika Syarikat. Penumpang yang tidak mahu
melalui mesin pengimbas ini akan dihalang daripada menaiki pesawat.
Kesatuan Eropah pula menentang dan tidak meluluskan penggunaan mesin
pengimbas itu di lapangan terbang kerana ia melanggar hak asasi manusia. Dr David
Brenner berkata kesan sinar X dipercayai mengandungi 20 kali ganda tahap
radiasi dan berisiko menyebabkan kanser kulit. Bagaimanapun sebilangan
penumpang bersetuju kerana tahap keselamatan ketat mampu menjamin keselamatan
mereka.
Pemeriksaan ketat dan menghabiskan masa terlalu lama di lapangan terbang
menyebabkan jumlah penumpang berkurangan enam peratus. Garrick Blalock
berpendapat, industri penerbangan kerugian AS$1.1 trilion dan sembilan peratus
daripada jumlah itu disebabkan Peristiwa 9/11. Kini ramai rakyat Amerika lebih
selesa dan selamat untuk memandu dari satu destinasi ke destinasi lain.
Peristiwa 9/11 memberi kesan mendalam terhadap rakyat dan pentadbiran
Amerika Syarikat sehingga mereka terpaksa banyak berbelanja serta mencipta
pelbagai kaedah untuk meningkatkan tahap keselamatan, terutama di lapangan
terbang. Malah, rakyatnya pula menanggung kesan keselamatan psikologi serta
trauma berterusan dan hidup dalam ketakutan hingga hari ini.
Penulis ialah Pengarah Institut Jenayah & Kriminologi Universiti Help
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan