Oleh : DR. JESSICA ONG HAI LIAW
HARI Kekasih pada 14 Februari telah berlalu dengan pelbagai cara yang
diraikan oleh pasangan masing-masing. Ada yang melamar pada hari itu ataupun
memberi bunga, hadiah dan makan malam yang istimewa. Harga bunga mawar menjadi
dua atau tiga kali ganda. Namun bagi masyarakat Islam, Hari Kekasih adalah
haram diraikan.
Sebenarnya, cinta dan kasih sayang tidak perlu ditunjukkan hanya pada Hari
Kekasih sahaja kerana setiap hari setiap pasangan perlu menitikberatkan soal
hati dan perasaan dengan wujudnya komunikasi yang berkesan. Apatah lagi jika
sudah lama berkahwin maka suntikan kasih sayang semakin berkurangan.
Komunikasi yang berkesan akan berlaku jika mesej yang disampaikan oleh si
penyampai dapat diterima dan difahami oleh si penerima dengan jelas.
Persefahaman menjadi faktor yang mendorong dalam meningkatkan hubungan yang
baik antara mereka yang terlibat dan dapat mengelakkan prejudis.
Komunikasi yang lemah juga penyumbang kepada segala konflik kehidupan
apabila pasangan yang banyak berdiam diri dan malas berkomunikasi. Namun jika
berlaku salah komunikasi ia mungkin membawa akibat lebih teruk daripada kurang
berkomunikasi atau tidak ada komunikasi.
Pada Hari Kekasih, kita dikejutkan dengan berita pembunuhan di Bukit
Mertajam apabila mangsa, Tan Ching Chin ditikam di perut sebanyak tiga kali
oleh kekasihnya kerana dikatakan cemburu.
Kita tidak tahu punca sebenar yang dikatakan berlaku pertengkaran sehingga
kekasihnya turut menikam diri sendiri. Adakah ini berlaku kerana komunikasi
yang tidak berkesan atau cemburu buta dengan perasaan marah meluap-luap apabila
terlalu menyayangi seseorang sehingga sanggup membunuh?
Masyarakat merupakan salah satu ruang lingkup daripada sosiologi
komunikasi. Menurut Ralph Linton, masyarakat difahami sebagai sekelompok
manusia yang hidup dan bekerjasama cukup lama, sehingga mereka dapat mengatur
diri mereka dan menganggap diri mereka sebagai suatu kesatuan sosial dengan
batas-batas yang dirumuskan dengan jelas.
Pada pandangan Selo Soemardja pula, masyarakat ialah orang yang hidup
bersama, yang menghasilkan kebudayaan dan masyarakat itu terdiri daripada
kumpulan orang yang hidup berdampingan dan hidup bersama dalam suatu wilayah
dan terikat oleh aturan-aturan atau norma-norma sosial yang mereka tentukan dan
taati.
Penggunaan bahasa yang bersesuaian adalah amat penting dan bahasa yang
indah harus digunakan di dalam komunikasi kita setiap hari. Bahasa yang terbaik
ialah bahasa yang diselang seli dengan nilai dan budaya dan penuh dengan
ciri-ciri ketamadunan.
Berkomunikasi dengan menunjukkan isyarat tidak digalakkan kerana dengan
ekspresi wajah dan bahasa tubuh badan akan menimbulkan persepsi yang berbeza.
Salah faham sama ada disengajakan atau tidak sengaja tetap membawa kepada satu
prejudis.
Ketamadunan amat penting dalam kehidupan dan kita tidak mahu insiden yang
berlaku baru-baru ini berulang apabila seorang lelaki berbangsa Cina dilaporkan
telah menghina Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah dengan menunjukkan
isyarat lucah.
Leong Pei Koe dikatakan tidak sengaja kerana bertengkar dengan bapanya dan
telah melakukan perbuatan biadab itu ketika kenderaan yang dinaiki Tuanku Hajah
Haminah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas. Akhirnya, Leong yang
berumur 29 tahun dipenjara sebulan dan denda RM8,000.
Berkomunikasi dari hati ke hati dan menyentuh hati dengan gurau senda akan
mengelakkan penceraian daripada terus meningkat. Rakan-rakan saya menyuarakan
rasa hati mereka yang memberitahu jika mereka banyak bersuara dan berkata-kata
akan disalah tafsir oleh pasangan termasuk mertua dan saudara mara akhirnya
menjadi kontroversi makan hati. Maka, diam adalah yang terbaik dalam kehidupan
kini.
Betulkah jika komunikasi semakin berkurangan dan ramai yang sibuk dengan
menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) di telefon bimbit atau menghantar
email sahaja dianggap lebih mudah untuk berkomunikasi sehingga bercerai pun
hanya dengan SMS?
Punca yang pertama adalah kelemahan dalam berkomunikasi sesama pasangan dan
ini merupakan salah satu punca dan faktor berlakunya perceraian dalam kalangan
pasangan suami isteri yang paling utama.
Statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2009 menunjukkan
berlaku satu perceraian pada setiap 15 minit dalam kalangan umat Islam.
Komunikasi tidak berkesan boleh mengundang salah faham.
Ini akan membuatkan sama ada salahsatu pihak kurang jelas serta kurang
faham apa yang disampaikan oleh satu pihak lagi. Seterusnya membuatkan tafsiran
tepat atau pemberian output ketika berkomunikasi itu tidak seperti yang
dimaksudkan oleh pemberi mesej. Dalam erti kata lain, "lain yang dicakap,
lain yang difaham" dan "lain niat di hati, lain pula persepsi yang
diberi".
Penghargaan dalam komunikasi amat berkesan jika diteruskan dengan memberi
hadiah, kad ucapan, membalas pemberian, mengucapkan tahniah, memuji kejayaan,
menunaikan janji dan sebagainya. Dengan menghargai orang lain, kita telah
menanam kasih sayang kita terhadap kepercayaan akan terbina sedikit demi
sedikit.
Komunikasi yang berkesan tidak perlu menyebut "listen, listen, listen"
berulang kali jika kita ingin menarik perhatian hadirin kerana jika kita
bercakap dengan fakta yang betul dan bernas semestinya anak-anak buah kita akan
mendengar dengan penuh ikhlas.
Menghormati tidak semestinya kepada yang lebih tua tetapi golongan muda
ingin dihormati jua. Mesej yang disampai dengan baik akan diterima dengan hati
terbuka oleh semua jika caranya dengan komunikasi berkesan dan
hormat-menghormati. Salam Chap Goh Mei untuk semua menandakan berakhirnya
Sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini. Salam 1Hati.
Penulis ialah Timbalan Pengarah Pusat Penerbitan dan
Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan