Selasa, 19 Februari 2013

ISU SOSIAL : Komunikasi berkesan elak prejudis


Oleh : DR. JESSICA ONG HAI LIAW


HARI Kekasih pada 14 Februari telah berlalu dengan pelbagai cara yang diraikan oleh pasangan masing-masing. Ada yang melamar pada hari itu ataupun memberi bunga, hadiah dan makan malam yang istimewa. Harga bunga mawar menjadi dua atau tiga kali ganda. Namun bagi masyarakat Islam, Hari Kekasih adalah haram diraikan.

Sebenarnya, cinta dan kasih sayang tidak perlu ditunjukkan hanya pada Hari Kekasih sahaja kerana setiap hari setiap pasangan perlu menitikberatkan soal hati dan perasaan dengan wujudnya komunikasi yang berkesan. Apatah lagi jika sudah lama berkahwin maka suntikan kasih sayang semakin berkurangan.

Komunikasi yang berkesan akan berlaku jika mesej yang disampaikan oleh si penyampai dapat diterima dan difahami oleh si penerima dengan jelas. Persefahaman menjadi faktor yang mendorong dalam meningkatkan hubungan yang baik antara mereka yang terlibat dan dapat mengelakkan prejudis.

Komunikasi yang lemah juga penyumbang kepada segala konflik kehidupan apabila pasangan yang banyak berdiam diri dan malas berkomunikasi. Namun jika berlaku salah komunikasi ia mungkin membawa akibat lebih teruk daripada kurang berkomunikasi atau tidak ada komunikasi.

Pada Hari Kekasih, kita dikejutkan dengan berita pembunuhan di Bukit Mertajam apabila mangsa, Tan Ching Chin ditikam di perut sebanyak tiga kali oleh kekasihnya kerana dikatakan cemburu.

Kita tidak tahu punca sebenar yang dikatakan berlaku pertengkaran sehingga kekasihnya turut menikam diri sendiri. Adakah ini berlaku kerana komunikasi yang tidak berkesan atau cemburu buta dengan perasaan marah meluap-luap apabila terlalu menyayangi seseorang sehingga sanggup membunuh?

Masyarakat merupakan salah satu ruang lingkup daripada sosiologi komunikasi. Menurut Ralph Linton, masyarakat difahami sebagai sekelompok manusia yang hidup dan bekerjasama cukup lama, sehingga mereka dapat mengatur diri mereka dan menganggap diri mereka sebagai suatu kesatuan sosial dengan batas-batas yang dirumuskan dengan jelas.

Pada pandangan Selo Soemardja pula, masyarakat ialah orang yang hidup bersama, yang menghasilkan kebudayaan dan masyarakat itu terdiri daripada kumpulan orang yang hidup berdampingan dan hidup bersama dalam suatu wilayah dan terikat oleh aturan-aturan atau norma-norma sosial yang mereka tentukan dan taati.

Penggunaan bahasa yang bersesuaian adalah amat penting dan bahasa yang indah harus digunakan di dalam komunikasi kita setiap hari. Bahasa yang terbaik ialah bahasa yang diselang seli dengan nilai dan budaya dan penuh dengan ciri-ciri ketamadunan.

Berkomunikasi dengan menunjukkan isyarat tidak digalakkan kerana dengan ekspresi wajah dan bahasa tubuh badan akan menimbulkan persepsi yang berbeza. Salah faham sama ada disengajakan atau tidak sengaja tetap membawa kepada satu prejudis.

Ketamadunan amat penting dalam kehidupan dan kita tidak mahu insiden yang berlaku baru-baru ini berulang apabila seorang lelaki berbangsa Cina dilaporkan telah menghina Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah dengan menunjukkan isyarat lucah.

Leong Pei Koe dikatakan tidak sengaja kerana bertengkar dengan bapanya dan telah melakukan perbuatan biadab itu ketika kenderaan yang dinaiki Tuanku Hajah Haminah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas. Akhirnya, Leong yang berumur 29 tahun dipenjara sebulan dan denda RM8,000.

Berkomunikasi dari hati ke hati dan menyentuh hati dengan gurau senda akan mengelakkan penceraian daripada terus meningkat. Rakan-rakan saya menyuarakan rasa hati mereka yang memberitahu jika mereka banyak bersuara dan berkata-kata akan disalah tafsir oleh pasangan termasuk mertua dan saudara mara akhirnya menjadi kontroversi makan hati. Maka, diam adalah yang terbaik dalam kehidupan kini.

Betulkah jika komunikasi semakin berkurangan dan ramai yang sibuk dengan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) di telefon bimbit atau menghantar email sahaja dianggap lebih mudah untuk berkomunikasi sehingga bercerai pun hanya dengan SMS?

Punca yang pertama adalah kelemahan dalam berkomunikasi sesama pasangan dan ini merupakan salah satu punca dan faktor berlakunya perceraian dalam kalangan pasangan suami isteri yang paling utama.

Statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2009 menunjukkan berlaku satu perceraian pada setiap 15 minit dalam kalangan umat Islam. Komunikasi tidak berkesan boleh mengundang salah faham.

Ini akan membuatkan sama ada salahsatu pihak kurang jelas serta kurang faham apa yang disampaikan oleh satu pihak lagi. Seterusnya membuatkan tafsiran tepat atau pemberian output ketika berkomunikasi itu tidak seperti yang dimaksudkan oleh pemberi mesej. Dalam erti kata lain, "lain yang dicakap, lain yang difaham" dan "lain niat di hati, lain pula persepsi yang diberi".

Penghargaan dalam komunikasi amat berkesan jika diteruskan dengan memberi hadiah, kad ucapan, membalas pemberian, mengucapkan tahniah, memuji kejayaan, menunaikan janji dan sebagainya. Dengan menghargai orang lain, kita telah menanam kasih sayang kita terhadap kepercayaan akan terbina sedikit demi sedikit.

Komunikasi yang berkesan tidak perlu menyebut "listen, listen, listen" berulang kali jika kita ingin menarik perhatian hadirin kerana jika kita bercakap dengan fakta yang betul dan bernas semestinya anak-anak buah kita akan mendengar dengan penuh ikhlas.

Menghormati tidak semestinya kepada yang lebih tua tetapi golongan muda ingin dihormati jua. Mesej yang disampai dengan baik akan diterima dengan hati terbuka oleh semua jika caranya dengan komunikasi berkesan dan hormat-menghormati. Salam Chap Goh Mei untuk semua menandakan berakhirnya Sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini. Salam 1Hati.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Pusat Penerbitan dan Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan