Oleh : Ku Amirul Faiz Ku Seman
BERMULA sejak di bangku sekolah
rendah kita diasuh membaca ikrar Rukun Negara dalam majlis-majlis rasmi. Namun
persoalan yang berlaku dalam masyarakat ketika ini wujudkah kefahaman tentang
Rukun Negara yang dibaca?
Rukun Negara lahir atas inisiatif
Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak
pada tahun 1970.
Rukun Negara lahir sempena ulang
tahun kemerdekaan negara ke-13 untuk menyedarkan rakyat Malaysia bahawasanya
mereka hidup dalam masyarakat majmuk dan perlu menghormati antara satu sama
lain.
Dimulakan dengan kepercayaan
kepada Tuhan, menuntut rakyat Malaysia untuk mempunyai agama serta pegangan.
Waima di dalam Perlembagaan Malaysia, walaupun agama Islam diangkat sebagai
agama Persekutuan seperti termaktub di artikel 3, ia masih memberikan peluang
dan ruang seluas-luasnya untuk rakyat yang bukan Islam mengamalkan agama
masing-masing.
Jika disoal usaha kerajaan dalam
memelihara isu agama ini saya berpendapat, usaha yang serius telah dilakukan
dalam memelihara hubungan antara penganut semua agama. Selain perayaan orang
Islam, perayaan agama lain seperti Wesak, Thaipusam, hari Natal juga diberikan
pengiktirafan oleh pihak kerajaan.
Namun begitu dalam kebebasan
beragama, semua pihak harus akur mereka hidup dalam keadaan yang berbeza agama
dan kaum. Persoalannya kini, dengan segala jenis ancaman liberalisme,
masyarakat Malaysia dilihat seperti terjebak dengan budaya hedonisme dan
perlakuan seks yang tidak normal. Kita percaya bahawa setiap agama yang ada
tidak pernah membenarkannya perilaku seperti lesbian, gay, biseksual dan
transgender (LGBT) diamalkan penganutnya. Sungguh malang apabila anak muda
Malaysia kini lebih cenderung menerima LGBT dan budaya hedonisme dalam kamus
hidup harian mereka.
Ikrar yang kedua di dalam rukun
negara ialah kesetiaan kepada raja dan negara. Dalam sistem raja
berperlembagaan, rakyat perlu faham peranan serta kedudukan raja-raja Melayu.
Kedudukan raja-raja adalah hasil daripada sejarah yang meletakkan raja atau
sultan sebagai ketua negeri. Justeru seandainya wujud penghayatan yang mendalam
terhadap Rukun Negara, kita berupaya untuk menangkis segala bentuk ancaman
terhadap institusi diraja.
Selain itu, tujuh wasiat
raja-raja Melayu perlu difahami supaya semangat yang terbentuk ketika menuntut
kemerdekaan dahulu dapat terus dipelihara. Sultan serta Raja menjadi lambang
perpaduan dalam kalangan rakyat jelata.
Justeru institusi raja harus
bebas daripada tohmahan dan serangan daripada mana-mana pihak yang berniat mala fide untuk
memberikan pandangan negatif terhadap institusi ini. Tambahan lagi,
pengiktirafan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara terdapat di dalam
artikel 32 dalam Perlembagaan Persekutuan.
Elemen ketiga yang diikrarkan
ialah keluhuran Perlembagaan. Artikel 4 di dalam Perlembagaan meletakkan
Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi. Dalam erti kata yang mudah, apa
sahaja yang bercanggah atau percubaan mencipta polisi atau undang-undang yang
bercanggah adalah terbatal. Justeru ia mendidik supaya kita bukan sahaja
menghormati Perlembagaan malah memahami sejarah di sebalik Perlembagaan.
Apabila ada pihak yang cuba
mempersoalkan isu Perlembagaan seperti Artikel 153, keistimewaan Melayu dan
bumiputera, ia dibimbangi akan
menyebabkan berlakunya ketegangan kaum. Oleh itu semua pemimpin tanpa mengira fahaman politik harus
menghormati perkara yang termaktub dalam keadaan masyarakat majmuk di Malaysia.
Seterusnya ialah kedaulatan
undang-undang. Suasana di Malaysia agak menarik untuk kita membahaskan tentang kedaulatan undang-undang. Persepsi
ketidakadilan kehakiman yang dilontarkan oleh
pihak tertentu di dalam kes berprofil tinggi meletakkan seolah-olah
undang-undang itu tidak dimartabatkan. Sedangkan keputusan yang diputuskan oleh
mahkamah boleh dirayu untuk mempersoalkan keadilannya. Ia mesti dilakukan di
mahkamah dan bukan di jalan raya. Persepsi hakim dibeli dan mahkamah tidak adil
memburukkan lagi imej Malaysia serta perjalanan keadilan.
Rakyat sebenarnya melihat dan
akur bahawa mutu keadilan mahkamah diperlihatkan dalam isu liwat pemimpin
politik serta isu rasuah yang melibatkan pemimpin kerajaan. Sayap kehakiman
tidak seharusnya ditarik ke kancah permainan politik dan harus terus dihormati.
Terakhir yang disenaraikan dalam
rukun negara ialah kesopanan dan kesusilaan., Isu kesopanan dan adab menjadi
satu isu yang kritikal. Tingkah laku dan hujah parti politik yang bersifat
lebih kepada emosional berbanding fakta membawa pada satu petunjuk inikah anak
muda Malaysia.
Dalam dunia mahasiswa, hujah yang
dilontarkan oleh pihak yang tidak bersetuju selalunya bersifat cemuhan dan
makian. Tindak tanduk anak muda yang gagal beradab membawa kepada persepsi anak
muda yang ganas, dan bersifat paranoid. Makian dan melabel di laman sosial
menunjukkan kualiti pemikiran anak muda yang gagal berfikir secara intelektual.
Maka usahlah kita terkejut
seandainya apabila Malaysia mencapai status negara maju, anak muda masih di
peringkat kelas ketiga kerana terikut-ikut dengan beberapa pemimpin parti
politik yang memaki hamun, memfitnah dan mengherdik pihak lawan.
Rukun Negara yang diilhamkan
sebenarnya mempunyai satu asas kenegaraan yang sangat menarik. Ia meletakkan
agama di peringkat tertinggi. Sebabnya tanpa kepercayaan kepada agama, tidak
akan ada kesetiaan kepada negara, penghormatan terhadap Perlembagaan dan
undang-undang apatah lagi kesopanan dan kesusilaan.
Kita berbalik kepada firman Allah
di dalam surah An nisa ayat 59, ' Wahai orang-orang yang beriman, Taatlah kamu
kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan ulil-Amri daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah
dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada kitab Allah
dan Rasul-Nya jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang
demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya. Rukun Negara adalah sumpah ikrar kita selaku warganegara
Malaysia.
PENULIS ialah Yang Dipertua
Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia dan juga Setiausaha Agung
Jemaah YDP IPT Kebangsaan.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan