KUALA LUMPUR : Ekonomi
Malaysia berkembang 5.6 peratus tahun lepas berbanding 5.1 peratus pada 2011,
demikian menurut Bank Negara Malaysia pada Rabu.
Bank pusat itu berkata meskipun
persekitaran ekonomi global yang mencabar, ekonomi Malaysia mencatatkan
pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 6.4 peratus pada suku keempat tahun lepas.
Jumlah pelaburan kekal teguh dan
menjadi pendorong utama pertumbuhan semasa suku berkenaan, demikian menurut
kenyataan itu.
Menurut Bank Negara, pertumbuhan
penggunaan swasta terus kukuh walaupun walaupun meningkat pada kadar yang lebih
sederhana.
Pertumbuhan pada suku tersebut
juga dibantu oleh eksport bersih yang mencatat kadar kemerosotan yang lebih
kecil.
Dari segi penawaran, kebanyakan
sektor ekonomi mencatat pertumbuhan yang bertambah baik pada suku keempat.
Permintaan dalam negeri terus
berkembang pada kadar 7.5 peratus dengan pembentukan modal tetap kasar kekal
kukuh, mencatat pertumbuhan dua angka sebanyak 15 peratus pada suku keempat.
Pelaburan sektor swasta meningkat
sebanyak 20.2 peratus, disokong oleh perbelanjaan modal dalam subsektor perkilangan
berorientasikan pasaran dalam negeri dan perkhidmatan berkaitan pengguna, iaitu
telekomunikasi, harta tanah dan penerbangan serta projek dalam sektor minyak
dan gas yang sedang dilaksanakan.
Pelaburan juga disokong oleh
penambahan kapasiti dalam kelompok perkilangan berkaitan sumber dan
perbelanjaan modal dalam bidang-bidang pertumbuhan baharu seperti peralatan
perubatan dan komunikasi.
Pelaburan awam berkembang
sebanyak 11.1 peratus, didorong oleh perbelanjaan modal perusahaan awam dalam
sektor pengangkutan, utiliti, minyak dan gas serta komunikasi, kata Bank
Negara.
Sementara itu, penggunaan swasta
mencatat pertumbuhan 6.1 peratus pada suku keempat, disokong oleh keadaan
pasaran pekerja yang stabil dan sentimen pengguna yang bertambah baik.
Menurut bank pusat, pertumbuhan
yang lebih kukuh pada separuh pertama tahun 2012 mencerminkan kesan daripada
pelbagai bantuan kerajaan kepada sektor isi rumah yang diberikan pada tempoh
tersebut.
Penggunaan awam meningkat
sebanyak 1.1 peratus, berikutan perbelanjaan yang berterusan untuk emolumen
meskipun perbelanjaan terhadap bekalan dan perkhidmatan lebih rendah.
Dari segi penawaran, pertumbuhan
kebanyakan sektor ekonomi bertambah baik pada suku keempat.
Pertumbuhan dipacu oleh sektor
perkilangan dan perkhidmatan selain disokong oleh permintaan dalam negeri dan
persekitaran luaran yang beransur-ansur baik, kata bank pusat. Sektor pertanian
berkembang dengan lebih cepat berikutan pengeluaran minyak sawit mentah dan
hasil ternakan ayam itik yang lebih tinggi, manakala pertumbuhan sektor
perlombongan pula kembali pulih berikutan pengeluaran gas asli yang meningkat
semula.
Pertumbuhan sektor pembinaan pula
terus kukuh, didorong oleh subsektor kejuruteraan awam dan kediaman.
Menurut Bank Negara, kadar
inflasi keseluruhan, seperti yang diukur oleh perubahan tahunan dalam Indeks
Harga Pengguna (IHP), terus menjadi sederhana kepada 1.3 peratus pada suku
keempat, mencerminkan inflasi kategori makanan dan minuman tidak beralkohol yang
lebih rendah.
Mengenai masa depan, terdapat
tanda-tanda bahawa ekonomi global akan menjadi bertambah baik dengan penunjuk
ekonomi terkini juga menggambarkan prestasi pertumbuhan Asia yang semakin
stabil.
Namun, di sebalik perkembangan
yang lebih menggalakkan ini, banyak lagi cabaran struktur yang masih wujud
dalam ekonomi maju, yang boleh mengekang prospek pemulihan ekonomi yang lebih
kukuh.
Menurut Bank Negara, khususnya,
beberapa ekonomi maju akan terus berusaha untuk menangani isu-isu berkaitan dengan
kemampanan fiskal dan keadaan pasaran pekerja yang berterusan lemah.
Bagi pasaran sedang pesat
membangun, dasar monetari yang amat akomodatif yang terus dilaksanakan dalam
ekonomi maju yang utama, memerlukan pengawasan teliti memandangkan kemungkinan
terdapatnya kesan daripada lebihan mudah tunai global ke atas inflasi harga
aset.
Bagi ekonomi Malaysia, aktiviti
dalam negeri yang terus berkembang dijangka terus memacu pertumbuhan, disokong
oleh pengembangan sektor swasta yang mampan.
Bank Negara berkata keadaan
luaran yang semakin stabil juga dijangka menyokong prospek pertumbuhan ekonomi
negara. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan