Pandalela Rinong |
KEJAYAAN meraih pingat gangsa
pada Sukan Olimpik London tahun lalu membolehkan Pandelela Rinong dinobatkan
sebagai penerima Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia
(SAM)-100Plus 2012 hari ini.
Ratu terjun negara berketurunan
Bidayuh itu berjaya mengetepikan saingan beberapa atlet tersohor tanah air
seperti Datuk Nicol Ann David (skuasy), Datuk Lee Chong Wei (badminton) dan
Syafiq Ridwan Abdul Malik (tenpin boling).
Buat julung kalinya, dua atlet
paralimpik iaitu Hasihin Sanawi (memanah) dan Mohd Ziyad Zolkefli (lontar
peluru) turut dicalon bagi merebut anugerah berkenaan.
Kejayaan itu membolehkan
Pandelela membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 selain trofi yang
disampaikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Dalam rakaman video yang
disiarkan pada majlis itu, Pandelela berkata: "Saya ingin mengucapkan
ribuan terima kasih kepada SAM kerana memilih saya dan tidak lupa kepada
kedua-dua ibu bapa serta jurulatih yang banyak memberi semangat kepada saya
sebelum ini.
"Diharapkan anugerah yang
saya terima hari ini menjadi pendorong kepada saya dan atlet lain untuk terus
mengejar kejayaan pada masa akan datang," katanya.
Pemenang pingat gangsa acara 10
meter platform individu wanita pada Sukan Olimpik London itu memohon maaf
kerana tidak dapat menyertai majlis hari ini kerana menjalani latihan di China.
Olahragawati Kebangsaan 2011 itu
meraih pingat perak pada Kejohanan Terjun Dunia di Moscow, Rusia pada 2011 dan
gangsa dalam acara sama pada Sukan Universiti Dunia 2011 di Shenzhen, China.
Sementara itu, pemanah remaja
kebangsaan, Haziq Kamaruddin dijulang sebagai pemenang Anugerah Atlet Remaja
Terbaik 2012 manakala pelumba Moto3 GP Zulfahmi Khairuddin menerima Anugerah
'Outdo Yourself 100Plus' atas prestasi cemerlangnya meraih tempat kedua pada
perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Malaysia 2012.
Zulfahmi turut mencatat
kemenangan podium dengan menduduki tempat ketiga dalam pusingan akhir saingan
Moto3 GP di Valencia, Sepanyol pada tahun lepas.
Wartawan Sukan akhbar The Star,
Rajes Paul meraih anugerah utama Kewartawanan Sukan SAM-KBS 2012 dan menerima
wang tunai RM7,000 berserta piala. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan