Oleh : PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN
PANDIAN
SEBAIK pulang dari lawatan ke
Gaza, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan bahawa - ''Tunjang
kepada segalanya adalah perpaduan. Perpaduan itu amat penting, pengajaran kepada
kita di Malaysia '.
"Inilah mesej yang telah
saya sampaikan kepada mereka (pemimpin) bahawa rakyat Malaysia merupakan
pejuang yang akan sentiasa berdiri teguh dengan kerajaan dan rakyat sesama
sendiri dalam perjuangan mereka. Saya beritahu kepada dia (Perdana Menteri
Palestin Ismail Haniyeh) 'ini mesti dilakukan'. Apabila saya berjumpa dengan
Presiden Morsi saya kata tolong bantu mereka (Hamas-Fatah) untuk berunding
sehingga kerajaan perpaduan ini menjadi kenyataan. Palestin memerlukan langkah
perpaduan walau diberikan dana dan sokongan moral dari luar.''
Di Malaysia, selepas 55 tahun
merdeka kita masih bercakap mengenai perpaduan kerana demografi dan alam
Malaysia adalah sedemikian rupa. Masyarakat yang rencam dengan kepelbagaian
nilai budaya, agama, etnik, keturunan yang diwarisi turun-temurun menyebabkan
ia asas kepada pengisian dan kesinambungan pentadbiran.
Menjejaki perpaduan di Malaysia,
hakikatnya bermula dengan persetujuan bersama ke atas nilai pengorbanan dan
kompromi antara semua etnik agar kemerdekaan daripada pihak penjajah dapat
diperoleh tanpa pertumpahan darah dan
pengisian kemerdekaan dilakukan dengan teras kerjasama dalam kalangan yang
menjunjung kepelbagaian yang sudah dipersetujui.
Hatta, Perlembagaan yang dirangka
memastikan roh yang berasaskan kepada kesederhanaan, kompromi dan menang-menang
dirangka. Maka, lahir beberapa Perkara termasuk Perkara 3 (agama bagi
Persekutuan) yakni Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain
boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan;
Perkara 11 (kebebasan agama) iaitu tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan
mengamalkan agama dan tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agama. Perkara
14 (Kewarganegaraan dengan cara kuatkuasa undang-undang) memberi peruntukan
kepada yang lahir sebelum dan selepas hari Malaysia.
Perkara 32 (Kepala Utama Negara
bagi Persekutuan dan Permaisurinya) memerihalkan kedudukan Yang di-Pertuan
Agong manakala Perkara 38 (Majlis Raja-raja) ditubuhkan mengikut Jadual Kelima.
Perkara 152 (Bahasa kebangsaan) menyentuh kedudukan Bahasa Malaysia yang
hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan
undang-undang oleh Parlimen dan kedudukan bahasa lain turut diiktiraf dari
praktisnya.
Perkara 153 (Perezapan kuota
mengenai perkhidmatan, permit dan sebagainya untuk orang Melayu) yang
memperincikan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa
orang Melayu dan bumiputera mana-mana negeri Borneo dan kepentingan sah
kaum-kaum lain mengikut peruntukan ini.
Begitu juga dengan Perkara 181
(Pengecualian bagi kedaulatan Raja-raja, dan sebagainya) yang tertakluk kepada
peruntukan Perlembagaan ini mengenai kedaulatan, kuasa dan bidang kuasa
Raja-raja dan hak kedaulatan, kuasa dan bidang kuasa pembesar memerintah Negeri
Sembilan dalam wilayah mereka masing-masing sebagaimana yang telah ada dan
dinikmati hingga sekarang adalah tetap tidak tersentuh.
Kesemua ini adalah antara elemen
yang mempertahankan nilai kesepaduan kerana ia menjamin apa yang boleh
dilakukan oleh seseorang warga Malaysia yang mengetahui haknya. Dalam mahu hak
dihormati, setiap individu juga mesti tahu menghormati hak orang lain. Bilamana
isu sensitif tersebar luas kebelakangan ini, maka ia harus kembali semua kepada
Perlembagaan agar sensitiviti masyarakat dipelihara.
Jika isu sensitif terus
dipolitikkan, maka keputusan berdasarkan percaturan politik tidak akan
mencerminkan kemuliaan agama bilamana agama itu sendiri tinggi kedudukannya yang
tidak layak disoal oleh manusia. Begitu juga dengan usaha berterusan
menyemarakkan perasaan benci dan syak wasangka kerana jika emosi ini
berpanjangan, kesannya sudah pasti ke atas apa yang sudah diterima oleh kesemua
selama ini.
Ini juga adalah susulan daripada
anasir yang bertindak songsang dengan fahaman agama dan kepercayaan
masing-masing. Yang melakukan kesemua ini harus merujuk semula Perlembagaan dan
memahami batasan emosi seseorang kerana bila datang kepada isu agama, semua
penganutnya pasti ada hadnya. Sensitiviti perlu difahami dan dihormati supaya
ia tidak menjadi penghalang kepada apa yang sudah dilalui sehingga hari ini.
Tiga nilai besar yang wajar
dijadikan pegangan adalah untuk bertoleransi, hormat-menghormati dan
faham-memahami jika mahu terus menjejaki kekuatan perpaduan dalam konteks
negara kita.
Benar kita sudah melalui
peristiwa rusuhan perkauman pada 13 Mei 1969 yang membawa kepada pelancaran
Rukunegara pada 1970; dan kemudian di Kampung Rawa pada 1998 dan Kampung Medan
pada 2001 tetapi kesemuanya masih dapat dikawal atas wadah pengorbanan dan
kompromi walaupun hari ini sudah timbul persoalan siapakah yang perlu berkorban
dan berkompromi.
Negara luar memberikan
pengiktirafan ke atas hubungan antara etnik negara ini walaupun ada dalam
kalangan pemimpin sendiri yang memberikan perspektif buruk mengenai Malaysia
apabila berada di luar untuk meraih sokongan. Agak mudah untuk meruntuhkan
sesuatu tanpa menyedari betapa ia memakan masa untuk membangunkan semula apa
yang dinikmati kini.
Yang dibangunkan sejak
kemerdekaan sandarannya adalah kepada perpaduan; tunjang proses pembangunan,
modenisasi dan transformasi hari ini. Nilai kepunyaan inilah yang membawa sinar
kepada pencapaian negara secara umumnya termasuk amalan politik muafakat.
Pada 2020, yang mahu dilihat
adalah masyarakat kelas satu di negara kelas pertama; negara yang bukan
membangun dengan infrastruktur dan prasarana tetapi juga melihat kehadiran
masyarakat yang memiliki kemahiran, kebolehan dan ilmu serta diselaputi dengan
nilai karakter bermoral, berhemah, mempunyai semangat patriotik yang tinggi
serta bangga menjadi warga Malaysia dengan mempertahankan apa yang termaktub
dalam Perlembagaannya.
Tahun 2020 juga melihat Malaysia
bukan lagi negara berpendapatan sederhana. Ia merupakan proses yang memerlukan
komitmen kesemua warga baik masyarakat kelas atasan, pertengahan mahupun 30
peratus yang masih bergelut dengan kualiti kehidupan dan kemiskinan.
Hari ini, Malaysia sudah menjadi
antara 21 negara paling kompetitif ekonomi di dunia, mengikut Laporan 2012
World Economic Forum. Ia juga merupakan yang ke-18 dalam paling mudah memulakan
perniagaan lebih baik dari Jepun, Jerman, Taiwan dan Perancis. Malaysia berada
pada kedudukan 10 teratas dalam Indeks Keyakinan Pelaburan Langsung Asing (FDI)
2012.
Pendapatan per kapita negara kini
adalah AS$9,700 berbanding AS$6,700 dua tahun lalu. Angka KDNK mencecah RM852.7
bilion manakala PNK adalah RM830.7 bilion; tertinggi sejak 55 tahun lalu.
Usaha untuk merealisasikan
pendapatan per kapita AS$15,000 pada 2020 bergantung kepada sejauhmana kita
mahu menjejaki perpaduan sebagai asas yang perlu ada kesinambungan dari segi
pemetaan kestabilan dan bersifat menentu. Peningkatan 12.3% dalam FDI kepada RM
33 bilion dan pelaburan swasta sebanyak 19% kepada RM 94 bilion adalah kerana
wujudnya usaha memastikan perpaduan diurus dengan pentadbiran yang memberikan
keutamaan untuk mendampingi nilai-nilai positif dari melihat dari arah negatif
sahaja. Jangkaan RM 129 bilion pendapatan negara kasar pada tahun 2020 juga
bergantung kepada keampuhan nilai politik, ekonomi dan sosial negara.
Jika pelan transformasi dilihat
sebagai satu perjalanan oleh Perdana Menteri yang tiada titik nokhtahnya, yang
akan menjejaki perjalanan itu adalah kemuafakatan, keharmonian, perpaduan dan
keserasian yang sudah kita lewati selama ini. Junjung tunjang kepelbagaian ini
sebagai aset kerana walau berbeza agama, keturunan, kepercayaan, gender dan
fahaman politik; yang mesti terus dipertahankan adalah kesejahteraan hidup
berukun di negara ini.
Penulis ialah pensyarah di Pusat
Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia
Sumber : http :
//www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan