Rabu, 13 Februari 2013

ISU KEPENGGUNAAN : Masalah Ubat Tiruan Di Asia Semakin Meningkat


OLEH : PHILIP STEVENS

Mungkin banyak pengguna yang tidak terlalu kisah jika mereka terbeli beg tangan atau kasut tiruan. Lain halnya kalau ubat yang mereka beli ternyata adalah ubat tiruan. Kalau bernasib baik, ubat tiruan cuma akan membuatkan orang yang menelannya tidak sembuh; kalau bernasib buruk, ubat tiruan boleh membunuh, terutama jika ia mengandungi bahan beracun seperti arsenik atau bahan anti-sejuk beku.

Di seluruh dunia, perdagangan ubat tiruan semakin menguntungkan. Pengeluar-pengeluar ubatan tiruan mengembangkan operasi mereka dari bentuk pengeluaran kecil-kecilan dalam rumah kedai kepada pengeluaran berskala perindustrian. Ubat-ubatan tiruan berjaya menembusi rangkaian pembekalan farmasi di Asia, membawa kepada peningkatan masalah kemerosotan daya penerimaan penghidap batu kering dan malaria terhadap ubat untuk kedua-dua penyakit berkenaan, kerugian dari segi ekonomi bagi para pesakit dan juga sistem penjagaan kesihatan secara amnya, serta peningkatan kadar kematian kerana pesakit tidak mendapat penawar yang tepat.

Masalah ubat tiruan semakin besar. Menurut International Medical Products Counterfeiting Taskforce, sekitar 10 hingga 30 peratus ubat-ubatan yang terdapat dalam negara-negara membangun adalah tiruan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia pula, 50% ubat-ubatan yang dibeli melalui internet (daripada laman-laman web tidak sah yang tidak mendedahkan alamat surat-menyurat mereka) adalah tiruan.

Asia paling terdedah kepada ubat tiruan. Menurut Pharmaceutical Security Institute, Asia memiliki angka jenayah farmaseutikal tertinggi untuk tahun 2011. Masalah utama bagi benua Asia Tenggara ialah meluasnya pengedaran ubat pencegah malaria tiruan, di mana 50% daripada sampel yang diteliti mengandungi kadar ramuan aktif yang tidak tepat.

Malah, Malaysia yang telah mempunyai peraturan dan sistem perundangan yang agak baik tidak terlepas daripada masalah ini apabila sekitar 3–5% daripada ubat-ubatan yang beredar dalam pasaran negara ini adalah tiruan.

Peratusan ubat tiruan yang beredar di negara-negara jirannya yang lebih miskin adalah lebih tinggi. Sebagai contoh, International Pharmaceutical Manufacturers Group (IPMG) di Indonesia menganggarkan ubat tiruan meliputi 25% daripada ubat-ubatan yang terdapat dalam pasaran farmaseutikal di Indonesia yang nilainya mencecah US$2 bilion. Angka ini menunjukkan adanya krisis besar dalam sistem penjagaan kesihatan di negara itu.

Ubat-ubat generik paling banyak menjadi sasaran peniruan di negara-negara Asia yang miskin: lima daripada ubat yang paling banyak ditiru di Indonesia dan Filipina adalah ubat-ubatan biasa dan murah yang telah luput tempoh hak dagangnya, seperti ubat penahan sakit dan anti-lelah.

Ini menunjukkan bahawa para pengeluar ubat tiruan yang menjadikan negara-negara Asia sebagai sasaran lebih gemar mengeluarkan jenis-jenis ubat yang besar pasarannya, berbanding jenis-jenis ubat yang lebih mahal, iaitu ubat-ubat yang hak dagangnya masih sah (dan biasanya mempunyai pasaran lebih kecil). Bagaimanapun ada juga pengecualian bagi hal ini, misalnya apabila sebuah kajian yang dibuat pada tahun 2005 di Malaysia menunjukkan bahawa 8.5% ubat mati pucuk di Malaysia adalah tiruan.

Walaupun kadar pengedaran ubat tiruan di Malaysia adalah lebih rendah berbanding di negara-negara ASEAN yang lain, beberapa pihak menimbulkan kebimbangan tentang mutu dan integriti banyak ubat-ubatan tradisional yang dijual secara meluas dalam negara ini. Pada tahun 2012, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan telah menasihatkan orang ramai agar berhenti membeli produk tradisional Mymen Plus setelah ia didapati mengandungi bahan yang disenaraikan sebagai racun, manakala pada tahun 2005 sebanyak 14% daripada produk Akarbanar yang diuji mengandungi tahap merkuri melebihi had yang dibenarkan.

Jadi, apa yang boleh dibuat untuk mengekang masalah yang sedang merebak ini? Memandangkan perdagangan ubat tiruan berkembang menerusi globalisasi rangkaian pembekalan farmaseutikal, banyak pakar dasar penjagaan kesihatan dan pakar perundangan mendesak agar diwujudkan satu perjanjian baru di peringkat antarabangsa untuk menyelaraskan usaha membasmi ubat-ubatan tiruan.

Menurut kalangan yang menyokong usaha ini, tanpa perjanjian antarabangsa kita tidak dapat menentukan secara sepakat dan jelas ubat mana yang tidak sah. Selain itu, tanpa perjanjian antarabangsa polis tidak akan bekerjasama dengan rakan sejawat mereka di negara lain untuk menjalankan penyiasatan di peringkat antarabangsa, manakala para pendakwaraya pula tidak dapat diwajibkan untuk berkongsi bukti atau memberi respons terhadap tuntutan ekstradisi untuk menghadapkan pihak yang disyaki terlibat ke mahkamah.

Perjanjian antarabangsa dapat membuka jalan penyelesaian terhadap masalah-masalah sedemikian dengan menyediakan bagi negara-negara penandatangan definisi antarabangsa yang dipersetujui untuk pelbagai jenis ubat tiruan; menjelaskan jenayah jenis baru ke atas kesihatan orang awam menurut undang-undang antarabangsa berkaitan pengeluaran dan perdagangan ubat tiruan; dan menyediakan sumber-sumber baru untuk menguatkan keupayaan keperaturan di negara-negara yang memiliki peraturan-peraturan yang longgar.

Perjanjian berkaitan ubat tiruan akan membantu usaha memerangi perdagangan ubat-ubatan tiruan antarabangsa secara perundangan. Bagaimanapun, masa yang panjang diperlukan untuk mengatasi masalah ini kerana ia melibatkan kepentingan pelbagai pihak dalam negara-negara yang sektor perindustriannya sedang berkembang.

Pada masa yang sama, kerajaan di setiap negara dan sektor swasta perlu meneruskan usaha mereka untuk mengatasi masalah ubat tiruan. Kerajaan Malaysia misalnya telah melangkah lebih maju dalam hal ini dengan memperkenalkan skim Meditag, manakala syarikat-syarikat farmaseutikal telah mula meneroka teknologi baru untuk melindungi mereka daripada kegiatan peniruan, misalnya menerusi penggunaan kod bar jenis 3D dan nombor bersiri jenis mass serialization.

Lebih penting, orang awam perlu sentiasa berjaga-jaga dan memastikan ubat-ubatan dibeli hanya daripada pembekal-pembekal yang mempunyai nama baik.

Penulis ialah pengarah eksekutif Emerging Markets Health Network,  Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Kuala Lumpur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan