Oleh : Johan Jaaffar
Seniman Negara Rahman B berhak
berasa kecewa. Beliau ingin menghidupkan semula seni bangsawan. Tidak mudah
sebenarnya untuk berbuat demikian. Sebagai tokoh terakhir seni persembahan itu,
beliau sedar sekiranya sesuatu tidak dilakukan segera, seni itu akan pupus.
Memang terdapat beberapa kumpulan yang cuba menghidupkan bangsawan. Malangnya
banyak kumpulan ini tidak memahami seni itu. Bagi purist seperti beliau,
usaha itu kadang kala lebih banyak merosakkan.
Rahman B sudah menjangkau usia
80-an. Beliau terkenal sebagai anak muda atau pelakon yang memainkan peranan
wira dalam kumpulan bangsawan. Sewaktu kumpulan Bintang Timur Opera yang
dimiliki oleh ayahnya Bakar M, Rahman B, adiknya Rahim B dan Rohani B serta
isterinya Rohaya B adalah antara nama-nama besar di pentas bangsawan. Zaman
kegemilangan bangsawan mulai berakhir dengan populariti filem Melayu. Banyak
pelakon bangsawan yang terbabit dalam dunia filem di Singapura.
Kekecewaan Rahman B memang dapat
kita fahami. Banyak lagi tokoh lain dalam pelbagai bidang yang cuba
menghidupkan seni warisan. Banyak faktor yang menyebabkan hal ini terjadi.
Selain daripada kurangnya minat di kalangan generasi muda dan tarikan filem,
drama TV dan muzik semasa, faktor sikap dan toleransi terhadap seni persembahan
ini juga harus diambil kira. Apabila kerajaan Negeri Kelantan tidak membenarkan
seni persembahan setempat seperti wayang kulit, dikir barat, menora dan makyung
dipertontonkan kerana alasan agama, maka matilah seni itu di negeri tersebut.
Kuda kepang, wayang wong dan ketoprak menghadapi masalahnya sendiri di Johor.
Banyak lagi persembahan setempat yang kini hilang pengamalnya.
Wali Songo guna seni untuk
dakwah
Seni persembahan merupakan
sebahagian daripada cerminan masyarakat. Seni seperti ini mencorakkan minda,
nilai dan psyche kumpulan yang melahirkannya. Seperti juga tradisi lisan
atau oral yang kuat pada zaman sebelum radio, TV dan filem, seni persembahan
ini menjadi sebahagian daripada proses sosiolisasi yang penting.
Kita sepatutnya belajar bagaimana
Wali Songo, ulama dan mubaligh Islam tersohor di Indonesia menggunakan seni
bagi menawan hati penganut agama Hindu di Pulau Jawa. Perihal mereka
menggunakan kuda kepang dan wayang kulit untuk tujuan dakwah bukan rahsia lagi.
Ini satu elemen pendakwahan yang selalunya dilupakan.
Dalam pertemuan saya dengan
teman-teman pengamal seni budaya di Indonesia, mereka juga menyuarakan
keresahan soal penolakan. Malah di sekitar kawasan yang dianggap nadi seni
budaya Jawa di Jog-jakarta dan Solo (atau Surakarta) banyak seni persembahan
setempat yang semakin menghilang. Namun demikian ada usaha yang sungguh-sungguh
untuk menghidupkan semula muzik dan tarian asli Jawa serta seni persembahan
seperti reog (di sini dikenal sebagai ketoprak) dan wayang wong atau wayang
orang.
Seni budaya dinaungi istana
Seni budaya memang sejak sekian
lama dinaungi oleh istana. Ini tradisi yang nampaknya berterusan di Istana
Solo. Dokongan istana melahirkan Akademi Seni Mangkunagaran (ASGA) yang
tujuannya menghidupkan seni muzik dan tarian Jawa. Pada setiap hari Rabu, mulai
jam 11.00 pagi, di balai utama Istana Solo diadakan latihan tarian yang
diiringi oleh kumpulan gamelan istana, Langenpraja Pura Mangkunagaran. Salah
sebuah tarian yang dipersembahankan namanya srimpi pandhelori yang amat unik
kerana lembut dan halusnya. Selalunya ASGA akan berkerjasama dengan Institut
Seni Indonesia (ISI) cabang Solo.
Di Solo juga saya berkesempatan
menyaksikan wayang wong berjudul Seta Kerma yang dipentaskan dengan dokongan
Dinas Kebudayaan dan Pariwisata. Tempatnya di Kebun Raja. Saya hanya membayar
R3,000 atau kurang dari RM1 untuk sebuah persembahan berkualiti tinggi. Wayang
wong adalah salah satu daripada 100 jenis wayang dalam masyarakat Jawa di
Indonesia. Wayang wong dipercayai bermula sejak pemerintahan Prabu Airlingga
pada awal Tahun Masehi.
Wayang wong amat popular satu
ketika dulu, malah pada tahun 1911 lagi sudah wujud kumpulan profesional yang
dikenal sebagai Wayang Sriwedari. Kumpulan ini dihidupkan semula dan bertahan
sehingga hari ini. Tiga kali seminggu, Sriwedari akan memilih sama ada Petruk
Dadi Jenaka, Petruk Kembar, Pancasila Banjut, Begawan Trisula, Drona Kridha
atau cerita lain untuk dipentaskan.
Seni budaya memerlukan naungan.
Zapin bertahan di Johor kerana sokongan kerajaan negeri. Bangsawan akan pupus
sekiranya Rahman B tidak dibantu. Demikian juga pelbagai jenis seni persembahan
tempatan yang lain. Tanyalah bagaimana sukarnya penggiat kuda kepang yang
bernama Wak Naim Marjani di Sungai Nibung, Batu Pahat mahu menghidupkan seni
itu. Nasib beliau tidak jauh bezanya dengan Rahman B.
Jangan biarkan seni persembahan
ini berkubur. Mungkin istana kita boleh mencontohi usaha yang dibuat oleh
istana Solo dan Jokjakarta bagi menaungi seni budaya. Seni budaya warisan
bangga bangsa kita.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan