OLEH : PHILIP STEVENS
Mungkin banyak pengguna yang tidak terlalu kisah jika mereka
terbeli beg tangan atau kasut tiruan. Lain halnya kalau ubat yang mereka beli
ternyata adalah ubat tiruan. Kalau bernasib baik, ubat tiruan cuma akan
membuatkan orang yang menelannya tidak sembuh; kalau bernasib buruk, ubat
tiruan boleh membunuh, terutama jika ia mengandungi bahan beracun seperti
arsenik atau bahan anti-sejuk beku.
Di seluruh dunia, perdagangan ubat tiruan semakin
menguntungkan. Pengeluar-pengeluar ubatan tiruan mengembangkan operasi mereka
dari bentuk pengeluaran kecil-kecilan dalam rumah kedai kepada pengeluaran
berskala perindustrian. Ubat-ubatan tiruan berjaya menembusi rangkaian
pembekalan farmasi di Asia, membawa kepada peningkatan masalah kemerosotan daya
penerimaan penghidap batu kering dan malaria terhadap ubat untuk kedua-dua
penyakit berkenaan, kerugian dari segi ekonomi bagi para pesakit dan juga
sistem penjagaan kesihatan secara amnya, serta peningkatan kadar kematian
kerana pesakit tidak mendapat penawar yang tepat.
Masalah ubat tiruan semakin besar. Menurut International
Medical Products Counterfeiting Taskforce, sekitar 10 hingga 30 peratus
ubat-ubatan yang terdapat dalam negara-negara membangun adalah tiruan. Menurut
Pertubuhan Kesihatan Sedunia pula, 50% ubat-ubatan yang dibeli melalui internet
(daripada laman-laman web tidak sah yang tidak mendedahkan alamat
surat-menyurat mereka) adalah tiruan.
Asia paling terdedah kepada ubat tiruan. Menurut
Pharmaceutical Security Institute, Asia memiliki angka jenayah farmaseutikal
tertinggi untuk tahun 2011. Masalah utama bagi benua Asia Tenggara ialah
meluasnya pengedaran ubat pencegah malaria tiruan, di mana 50% daripada sampel
yang diteliti mengandungi kadar ramuan aktif yang tidak tepat.
Malah, Malaysia yang telah mempunyai peraturan dan sistem
perundangan yang agak baik tidak terlepas daripada masalah ini apabila sekitar
3–5% daripada ubat-ubatan yang beredar dalam pasaran negara ini adalah tiruan.
Peratusan ubat tiruan yang beredar di negara-negara jirannya
yang lebih miskin adalah lebih tinggi. Sebagai contoh, International
Pharmaceutical Manufacturers Group (IPMG) di Indonesia menganggarkan ubat
tiruan meliputi 25% daripada ubat-ubatan yang terdapat dalam pasaran
farmaseutikal di Indonesia yang nilainya mencecah US$2 bilion. Angka ini
menunjukkan adanya krisis besar dalam sistem penjagaan kesihatan di negara itu.
Ubat-ubat generik paling banyak menjadi sasaran peniruan di
negara-negara Asia yang miskin: lima daripada ubat yang paling banyak ditiru di
Indonesia dan Filipina adalah ubat-ubatan biasa dan murah yang telah luput
tempoh hak dagangnya, seperti ubat penahan sakit dan anti-lelah.
Ini menunjukkan bahawa para pengeluar ubat tiruan yang
menjadikan negara-negara Asia sebagai sasaran lebih gemar mengeluarkan
jenis-jenis ubat yang besar pasarannya, berbanding jenis-jenis ubat yang lebih
mahal, iaitu ubat-ubat yang hak dagangnya masih sah (dan biasanya mempunyai
pasaran lebih kecil). Bagaimanapun ada juga pengecualian bagi hal ini, misalnya
apabila sebuah kajian yang dibuat pada tahun 2005 di Malaysia menunjukkan
bahawa 8.5% ubat mati pucuk di Malaysia adalah tiruan.
Walaupun kadar pengedaran ubat tiruan di Malaysia adalah
lebih rendah berbanding di negara-negara ASEAN yang lain, beberapa pihak
menimbulkan kebimbangan tentang mutu dan integriti banyak ubat-ubatan
tradisional yang dijual secara meluas dalam negara ini. Pada tahun 2012, Ketua
Pengarah Kementerian Kesihatan telah menasihatkan orang ramai agar berhenti
membeli produk tradisional Mymen Plus setelah ia didapati mengandungi bahan
yang disenaraikan sebagai racun, manakala pada tahun 2005 sebanyak 14% daripada
produk Akarbanar yang diuji mengandungi tahap merkuri melebihi had yang
dibenarkan.
Jadi, apa yang boleh dibuat untuk mengekang masalah yang
sedang merebak ini? Memandangkan perdagangan ubat tiruan berkembang menerusi
globalisasi rangkaian pembekalan farmaseutikal, banyak pakar dasar penjagaan
kesihatan dan pakar perundangan mendesak agar diwujudkan satu perjanjian baru
di peringkat antarabangsa untuk menyelaraskan usaha membasmi ubat-ubatan
tiruan.
Menurut kalangan yang menyokong usaha ini, tanpa perjanjian
antarabangsa kita tidak dapat menentukan secara sepakat dan jelas ubat mana
yang tidak sah. Selain itu, tanpa perjanjian antarabangsa polis tidak akan
bekerjasama dengan rakan sejawat mereka di negara lain untuk menjalankan
penyiasatan di peringkat antarabangsa, manakala para pendakwaraya pula tidak
dapat diwajibkan untuk berkongsi bukti atau memberi respons terhadap tuntutan
ekstradisi untuk menghadapkan pihak yang disyaki terlibat ke mahkamah.
Perjanjian antarabangsa dapat membuka jalan penyelesaian
terhadap masalah-masalah sedemikian dengan menyediakan bagi negara-negara
penandatangan definisi antarabangsa yang dipersetujui untuk pelbagai jenis ubat
tiruan; menjelaskan jenayah jenis baru ke atas kesihatan orang awam menurut
undang-undang antarabangsa berkaitan pengeluaran dan perdagangan ubat tiruan;
dan menyediakan sumber-sumber baru untuk menguatkan keupayaan keperaturan di
negara-negara yang memiliki peraturan-peraturan yang longgar.
Perjanjian berkaitan ubat tiruan akan membantu usaha
memerangi perdagangan ubat-ubatan tiruan antarabangsa secara perundangan.
Bagaimanapun, masa yang panjang diperlukan untuk mengatasi masalah ini kerana
ia melibatkan kepentingan pelbagai pihak dalam negara-negara yang sektor
perindustriannya sedang berkembang.
Pada masa yang sama, kerajaan di setiap negara dan sektor
swasta perlu meneruskan usaha mereka untuk mengatasi masalah ubat tiruan.
Kerajaan Malaysia misalnya telah melangkah lebih maju dalam hal ini dengan
memperkenalkan skim Meditag, manakala syarikat-syarikat farmaseutikal telah
mula meneroka teknologi baru untuk melindungi mereka daripada kegiatan
peniruan, misalnya menerusi penggunaan kod bar jenis 3D dan nombor bersiri
jenis mass serialization.
Lebih penting, orang awam perlu sentiasa berjaga-jaga dan
memastikan ubat-ubatan dibeli hanya daripada pembekal-pembekal yang mempunyai
nama baik.
Penulis ialah pengarah eksekutif Emerging Markets Health
Network, Institute for Democracy and
Economic Affairs (IDEAS), Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan