KESIHATAN mental kanak-kanak dan
remaja merupakan aspek penting dan perlu diberi perhatian sewajarnya daripada
seluruh anggota masyarakat.
Namun, kesedaran untuk memiliki
dan mencapai tahap kesihatan mental yang baik adalah bermula daripada ibu bapa
dan keluarga. Segala usaha dan kesedaran ini pula tidak terhenti di peringkat
keluarga sahaja.
Malah, proses untuk mendapatkan
tahap kesihatan mental yang baik ini adalah berterusan, iaitu apabila anak-anak
memasuki alam persekolahan, di peringkat kolej dan universiti, sehinggalah
apabila mereka menjadi dewasa dan bekerja dengan organisasi, bersara, memasuki
alam usia emas dan lain-lain.
Walaupun wujud pelbagai tahap
perkembangan individu dengan konteksnya yang berbeza, namun ia adalah satu
proses yang seiring dan berkait rapat dengan perkembangan individu dan
persekitaran mereka.
Peranan ibu bapa dalam konteks
ini ialah memahami apakah ruang lingkup kesihatan mental anak-anak dan
keperluannya, di samping mengenalpasti segala faktor yang membantu atau
menggagalkan tercapainya proses dan matlamat kesihatan mental yang sempurna
untuk mereka.
Aspek kesihatan mental sebenarnya
tidak mampu terhasil tanpa sokongan daripada pelbagai aspek lain dalam
kehidupan seorang kanak-kanak. Memandangkan kesihatan mental yang baik hanya
akan diperolehi apabila ibu bapa itu dapat menunjukkan sikap prihatin dengan
segala keperluan anak-anak, maka ibu bapa perlu memahami apakah segala
keperluan tersebut.
Ibu bapa perlu memahami bahawa
kesihatan mental adalah berkait rapat dengan kesejahteraan. Kesejahteraan itu
pula turut merangkumi kesejahteraan fizikal, emosi dan spiritual atau
kerohanian. Kesejahteraan fizikal dapat dicapai apabila ibu bapa mampu
memberikan keperluan fizikal yang mencukupi kepada anak-anak mereka. Ini
termasuklah keperluan makan dan minum serta tempat tinggal yang selesa.
Sementara itu, kesejahteraan emosi
dapat diwujudkan apabila mereka mampu memberikan kasih sayang dan perasaan
selamat kepada anak-anak. Adalah menjadi satu tanggungjawab kepada semua ibu
bapa untuk mewujudkan suasana kehidupan dan persekitaran yang selamat kepada
anak- anak mereka.
Suasana selamat itu bukanlah pula
semata-mata tertumpu kepada terselamat dari ancaman binatang buas atau bebas
daripada ancaman pengganas sahaja, tetapi juga ialah apabila anak-anak berasa
selamat daripada pengabaian dan kelalaian oleh ibu bapa sendiri.
Banyak kajian yang dilakukan
menunjukkan bahawa kelalaian dan pengabaian ibu bapa menjadi punca kepada jiwa
anak-anak yang memberontak, hilang belaian dan kasih sayang, lari dari rumah,
ponteng sekolah, terlibat dengan gejala dadah, kes penderaan anak, masalah
sahsiah dan personaliti, gangguan mental serta gangguan fungsi neuro kognitif
dan lain-lain.
Sementara itu, kesejahteraan
spiritual pula dapat dikecapi oleh anak-anak apabila mereka mampu mengenali
Tuhan Pencipta mereka, memahami matlamat mengapa mereka hidup di dunia ini,
serta memiliki hubungan kerohanian yang baik dengan seluruh alam semesta.
Kesemua aspek ini saling berkaitan dengan kesihatan mental dan inilah tugas dan
tanggungjawab para ibu bapa yang perlu mereka laksanakan dalam membimbing anak-anak
untuk menjalani kehidupan yang baik.
Inilah antara perkara asas yang
perlu difahami ibu bapa dalam usaha mereka untuk memelihara kesihatan mental
yang baik untuk anak-anak mereka.
Oleh sebab usaha untuk mencapai
matlamat kesihatan mental yang baik itu adalah satu proses, maka tidak mustahil
ia akan berdepan dengan pelbagai rintangan dan risiko masing-masing yang
tersendiri ketika melalui proses perkembangan tersebut. Lantaran itu, bukan
sesuatu yang mustahil apabila dalam menjalani proses itu, wujud mereka yang
kecundang dan tewas. Namun ramai juga yang berjaya menempuhinya dan seterusnya
hidup dalam suasana yang menjamin kesihatan mental yang sempurna.
Oleh itu, peranan ibu bapa juga
ialah memahami bagaimana ketika mengharungi proses ini, seseorang anak itu
adakalanya tertewas, dan pada masa lain mampu bertahan dan berjaya menempuhi
semua rintangan. Perkara yang menjadi keutamaan dalam memahami atau
mengendalikan sesuatu proses ke arah mencapai kesihatan mental yang baik ialah
mengenalpasti segala faktor yang berlaku dan apakah kesan yang dialami, sama
ada baik atau buruk, ketika dalam proses untuk mencapai matlamat tersebut.
Ibu bapa juga perlu menyedari
bahawa semua isu berkaitan kesihatan mental seperti gangguan emosi dan tekanan
mental serta masalah tingkahlaku itu boleh berpunca dari pelbagai faktor,
termasuklah faktor dalam diri anak atau dari keluarga anak-anak itu sendiri.
Faktor ini termasuklah seperti ibu bapa yang ada sejarah gangguan mental dan
emosi, masalah keluarga, faktor kemiskinan dan tekanan ekonomi serta lain-lain.
Faktor-faktor ini akan
meningkatkan lagi risiko dalam kalangan anak-anak untuk menghidapi gangguan
kesihatan mental. Namun, ibu bapa juga perlu tahu bahawa terdapat faktor lain
yang dapat menjauh atau mengurangkan risiko anak-anak dari terlibat dengan
masalah mental dan tekanan emosi yang kronik. Contohnya, mewujudkan hubungan
kasih sayang yang erat dan mesra dengan anak-anak.
Hubungan dan kasih sayang akan
menjadi satu sumber sokongan yang amat berkesan dalam mengurangkan tekanan
mental dan emosi si anak. Setiap anak-anak yang dilahirkan amat memerlukan
belaian dan kasih sayang dalam proses menjalani kehidupan untuk menjadi dewasa.
Belaian dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh ibu bapa kepada anak-anak akan
meningkatkan lagi keyakinan diri dan kematangan si anak di samping dapat
membimbing mereka untuk menggunakan beberapa kaedah dan cara terbaik daripada
ibu bapa ketika menghadapi tekanan.
Di samping itu, kekuatan aspek
spiritual juga perlu diamalkan kerana banyak perkara dan kaedah yang diajarkan
dalam agama juga dapat memberi kesan positif kepada perkembangan diri dan
kesihatan individu anak. Walau apa pun kaedah yang digunakan, semua itu
bergantung kepada kemahiran dan tahap kreativiti ibu bapa dalam mengendalikan
masalah dan isu berkaitan. Peranan ibu bapa adalah amat besar dalam mencorakkan
diri dan sahsiah anak-anak.
Ia bertepatan dengan hadis
Rasulullah SAW yang bermaksud “Setiap anak yang dilahirkan itu adalah dalam
keadaan fitrah, maka kedua orang tuanyalah yang akan menjadikannya Yahudi,
Majusi atau Nasrani.”
PENULIS ialah Fellow di
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan