Oleh : TAN SRI LEE LAM THYE
SUNGGUHPUN kerajaan yang memainkan peranan utama untuk memenuhi
matlamat perpaduan melalui pembentukan polisi dan pelaksanaan yang sesuai,
anak-anak juga perlu dididik tentang perpaduan melalui penglibatan dan
penyertaan ibu bapa.
Saya bersetuju bahawa kanak-kanak
tetap kanak-kanak. Mereka penuh dengan keikhlasan dan kejujuran kerana pemikiran mereka tidak dicemari oleh isu-isu perkauman. Mereka mampu bercampur
gaul dan bermain antara satu sama lain tanpa mengira bangsa.
Saya seringkali menyatakan bahawa
kanak-kanak dan para remaja selalunya tidak mengendahkan langsung akan
kenyataan bahawa sesiapa sahaja yang berada di sebelah mereka adalah daripada
bangsa dan agama yang berbeza. Mereka hanya melihat bahawa orang tersebut
adalah rakan mereka.
Pada setiap hari para remaja
Malaysia perlu berusaha secara berterusan untuk menghapuskan jurang perkauman,
menghulurkan salam dan mewujudkan persahabatan dengan mereka yang datang
daripada kumpulan etnik yang lain.
Para ibu bapa yang terdiri
daripada golongan yang dibesarkan dalam suasana kepelbagaian kaum, malah turut
bersahabat dengan mereka daripada bangsa lain, sewajarnya menggalakkan
anak-anak mereka bercampur gaul agar mereka menyedari betapa pentingnya
keharmonian antara kaum dan agama.
Anak-anak dan para remaja pelbagai
kaum hendaklah dididik untuk menghormati satu sama lain berteraskan semangat
1Malaysia.
Perpaduan hendaklah dijadikan
prinsip dan menjadi panduan di semua sekolah dalam menjalankan
aktiviti-aktiviti harian seperti sukan hinggalah ke aktiviti-aktiviti
kokurikulum yang bertujuan memupuk pemahaman antara kaum yang lebih tinggi.
Pelbagai program juga perlu
diperkenal dan digerakkan untuk mengumpul para pelajar dari sekolah yang
berlainan seperti sekolah rendah kebangsaan, SRJK Cina dan Tamil untuk membolehkan
mereka berinteraksi dan berkenalan berdasarkan kepentingan utama untuk membina
negara.
Para pelajar hari ini adalah
pemimpin masa hadapan kita. Di bahu merekalah tanggungjawab dipikul demi untuk
membina sebuah negara Malaysia yang bersatu dengan perkongsian masa depan dan
matlamat yang serupa.
Perpaduan dan keharmonian mesti
ditanamkan di dalam budaya kita. Lebih banyak peluang perlu diwujudkan untuk
kanak-kanak dan para remaja daripada pelbagai kaum bertemu dan berintegrasi
bagi menjalin persahabatan lebih erat dan membina kefahaman demi masa depan
negara kita dan 1Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan