Selasa, 12 Mac 2013

ISU PENCEROBOHAN BERSENJATA DI SABAH : KKK bantu banteras pencerobohan


Oleh Azmi Hassan

BEGITU cemas dan gusar sekali rakyat Malaysia mengikuti perkembangan yang berlaku di pantai timur Sabah kerana begitu asing sekali bagi mereka berhadapan dengan senario yang begitu mencabar keselamatan dan kedaulatan negara.

Enam dekad telah berlalu apabila suasana getir pernah dilalui oleh rakyat Malaysia ketika tercetusnya apa yang digelar konfrontasi dan juga era darurat menentang ancaman komunis.

Sememangnya rakyat Malaysia tidak boleh dipersalahkan apabila mereka mempunyai perasaan cemas sedemikian rupa kerana  mereka sudah begitu sebati dengan kemakmuran yang dinikmati.

Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Kawasan Keselamatan Khas (KKK) pada 7 Mac lalu, ramai yang tertanya-tanya apakah keadaan keselamatan sudah tidak terkawal sehinggakan memerlukan KKK diwujudkan meliputi kawasan dari Kudat ke Tawau, merangkumi Sandakan, Semporna, Lahad Datu dan Kunak dengan pusat operasinya di Lahad Datu.

Tetapi perlu ditekankan bahawa penubuhan KKK bukan sesuatu yang baru dan aneh bagi Malaysia kerana pada 1972 Kawalan Keselamatan Kawasan Rajang (Rascom) telah diwujudkan untuk menangani isu ancaman komunis.

Kawalan Rascom meliputi kawasan Sibu, Kanowit, Oya, Dalat, Bintagor, Sarikei, Julau, Song dan Kapit yang diisytiharkan sebagai Kawasan Keselamatan Istimewa (KKI) oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Abdul Razak Hussein.

Strategi KKI melalui Rascom bukan sahaja berjaya mengekang pengaruh komunis di Sarawak tetapi juga memainkan peranan penting apabila berhadapan dengan era Konfrontasi dengan Indonesia.

Setelah lima dekad berlalu KKK diwujudkan dengan matlamat yang hampir serupa seperti mana KKI tetapi dengan beberapa pembaharuan mengikut kehendak semasa. Tidak dapat dinafikan bahawa dengan adanya KKK ini penambahan anggota keselamatan seperti polis dan tentera di kawasan terlibat akan meningkat dengan mendadak. Kehadiran anggota keselamatan dengan ketara adalah salah satu dasar asas KKK.

KKK kali ini tidak hanya melibatkan secara langsung dua kementerian utama iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan (Kementah) tetapi turut merangkumi kerjasama dengan beberapa agensi yang berada di luar kedua-dua kementerian tersebut.

Tidak syak lagi organisasi seperti Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) akan digunakan sebagai pertahanan barisan pertahanan ketiga. Begitu juga dengan Jabatan Pertahanan Awam (JPA) yang mempunyai pengalaman berhadapan dengan krisis bencana alam akan digunakan sebagai sebahagian daripada Unit Maklum Balas Krisis.

Tetapi intipati strategi KKK yang dikatakan paling menarik adalah penglibatan secara langsung oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh Sabah dalam setiap aktiviti bagi menjamin kejayaan hasrat penubuhan KKK.

Penglibatan JKKK akan memastikan bahawa setiap keputusan dan strategi mengenai keselamatan akan dengan mudah dihayati dan dipraktiskan oleh penduduk tempatan yang terlibat.

Ini secara tidak langsung akan memastikan bahawa isu keselamatan tidak akan hanya dipikul oleh anggota keselamatan secara tersurat tetapi juga oleh rakyat setempat secara tersirat.

Bukan mudah untuk mengawal perairan pantai timur Sabah agar tidak dicerobohi walaupun banyak mana anggota keselamatan, kapal perang atau kapal terbang digunakan kerana penceroboh menyusup masuk dalam kumpulan yang kecil.

Sebab itu penduduk tempatan perlu memainkan peranan bersama-sama menjaga keselamatan dan kedaulatan negara dengan menjadi mata dan hati dengan melaporkan segala aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa keselamatan. KKK melalui JKKK adalah kaedah terbaik merealisasikan cita-cita tersebut.

Memang benar senario kehidupan terutama sekali di pantai timur Sabah  berubah akibat tindakan pengganas menceroboh dan mencabar kedaulatan negara. Penubuhan KKK bukan sahaja dianggap sebagai keputusan strategik tetapi yang lebih penting ia melibatkan tiga komponen yang penting iaitu polis, tentera dan orang awam.

Kerjasama  antara ketiga-tiga komponen ini bukan sesuatu yang janggal bagi kerajaan kerana konsep ini telah lama dipraktiskan dan ia merupakan salah satu asas Dasar Pertahanan Negara (DPN).

Secara spesifiknya kerjasama ketiga-tiga komponen dalam KKK adalah apa yang dikenali sebagai Pertahanan Menyeluruh atau dengan nama singkatannya Hanruh.

Konsep Hanruh seperti yang terkandung dalam KKK mula diperkenalkan di Malaysia sejak 1986 lagi dan negara seperti Denmark, Sweden dan juga Singapura begitu aktif mengamalkan konsep serupa terhadap rakyat mereka.

Perlu diungkitkan kembali iaitu ketika Eksesais Bersatu Aman dilancarkan pada 2 Julai 2008 lepas ramai rakyat yang terpinga-pinga dan mempersoalkan keperluan latihan bersepadu gabungan di antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan tentera Malaysia (ATM) khusus untuk mengawal keselamatan awam.

Kerjasama polis dan tentera adalah salah satu tumpuan utama Hanruh tetapi ia hanya melibatkan dua komponen sahaja.

Eksesais gabungan PDRM dan ATM tersebut sebenarnya banyak tertumpu kepada aspek penyelerasan arahan pemerintahan kerana kedua-dua organisasi tersebut mempunyai struktur pengurusan yang amat berbeza dan kerjasama dua organisasi keselamatan utama tersebut adalah antara tunggak penting Hanruh.

Sekarang adalah masa terbaik untuk menerapkan konsep Hanruh kepada seluruh rakyat Malaysia dan kewujudan KKK adalah satu permulaan yang baik.

Memandangkan pengamalan strategi Hanruh melalui KKK merupakan salah satu daripada tiang doktrin pertahanan negara, maka sewajarnya rakyat memberi sokongan tanpa berbelah bagi.

Walaupun Ops Daulat sudah hampir berjaya menumpaskan pengganas yang menceroboh, tetapi selepas ini rakyat Malaysia akan sentiasa berhadapan dengan cabaran yang lebih berat dan di sinilah kepentingan Hanruh dalam KKK supaya jati diri setiap rakyat Malaysia sentiasa kental dan berwaspada menghadapi ancaman.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan