Oleh Azmi Hassan
BEGITU cemas dan gusar sekali rakyat Malaysia mengikuti perkembangan yang berlaku di pantai timur Sabah kerana begitu asing sekali bagi mereka berhadapan dengan senario yang begitu mencabar keselamatan dan kedaulatan negara.
Enam dekad telah berlalu apabila
suasana getir pernah dilalui oleh rakyat Malaysia ketika tercetusnya apa yang
digelar konfrontasi dan juga era darurat menentang ancaman komunis.
Sememangnya rakyat Malaysia tidak
boleh dipersalahkan apabila mereka mempunyai perasaan cemas sedemikian rupa
kerana mereka sudah begitu sebati dengan
kemakmuran yang dinikmati.
Ketika Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Kawasan Keselamatan Khas (KKK) pada
7 Mac lalu, ramai yang tertanya-tanya apakah keadaan keselamatan sudah tidak
terkawal sehinggakan memerlukan KKK diwujudkan meliputi kawasan dari Kudat ke
Tawau, merangkumi Sandakan, Semporna, Lahad Datu dan Kunak dengan pusat
operasinya di Lahad Datu.
Tetapi perlu ditekankan bahawa
penubuhan KKK bukan sesuatu yang baru dan aneh bagi Malaysia kerana pada 1972
Kawalan Keselamatan Kawasan Rajang (Rascom) telah diwujudkan untuk menangani
isu ancaman komunis.
Kawalan Rascom meliputi kawasan
Sibu, Kanowit, Oya, Dalat, Bintagor, Sarikei, Julau, Song dan Kapit yang
diisytiharkan sebagai Kawasan Keselamatan Istimewa (KKI) oleh Perdana Menteri
ketika itu, Datuk Abdul Razak Hussein.
Strategi KKI melalui Rascom bukan
sahaja berjaya mengekang pengaruh komunis di Sarawak tetapi juga memainkan
peranan penting apabila berhadapan dengan era Konfrontasi dengan Indonesia.
Setelah lima dekad berlalu KKK
diwujudkan dengan matlamat yang hampir serupa seperti mana KKI tetapi dengan
beberapa pembaharuan mengikut kehendak semasa. Tidak dapat dinafikan bahawa
dengan adanya KKK ini penambahan anggota keselamatan seperti polis dan tentera
di kawasan terlibat akan meningkat dengan mendadak. Kehadiran anggota
keselamatan dengan ketara adalah salah satu dasar asas KKK.
KKK kali ini tidak hanya
melibatkan secara langsung dua kementerian utama iaitu Kementerian Dalam Negeri
(KDN) dan Kementerian Pertahanan (Kementah) tetapi turut merangkumi kerjasama
dengan beberapa agensi yang berada di luar kedua-dua kementerian tersebut.
Tidak syak lagi organisasi
seperti Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) akan digunakan sebagai pertahanan
barisan pertahanan ketiga. Begitu juga dengan Jabatan Pertahanan Awam (JPA)
yang mempunyai pengalaman berhadapan dengan krisis bencana alam akan digunakan
sebagai sebahagian daripada Unit Maklum Balas Krisis.
Tetapi intipati strategi KKK yang
dikatakan paling menarik adalah penglibatan secara langsung oleh Jawatankuasa
Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh Sabah dalam setiap aktiviti
bagi menjamin kejayaan hasrat penubuhan KKK.
Penglibatan JKKK akan memastikan
bahawa setiap keputusan dan strategi mengenai keselamatan akan dengan mudah
dihayati dan dipraktiskan oleh penduduk tempatan yang terlibat.
Ini secara tidak langsung akan
memastikan bahawa isu keselamatan tidak akan hanya dipikul oleh anggota
keselamatan secara tersurat tetapi juga oleh rakyat setempat secara tersirat.
Bukan mudah untuk mengawal
perairan pantai timur Sabah agar tidak dicerobohi walaupun banyak mana anggota
keselamatan, kapal perang atau kapal terbang digunakan kerana penceroboh
menyusup masuk dalam kumpulan yang kecil.
Sebab itu penduduk tempatan perlu
memainkan peranan bersama-sama menjaga keselamatan dan kedaulatan negara dengan
menjadi mata dan hati dengan melaporkan segala aktiviti mencurigakan kepada
pihak berkuasa keselamatan. KKK melalui JKKK adalah kaedah terbaik
merealisasikan cita-cita tersebut.
Memang benar senario kehidupan
terutama sekali di pantai timur Sabah berubah
akibat tindakan pengganas menceroboh dan mencabar kedaulatan negara. Penubuhan
KKK bukan sahaja dianggap sebagai keputusan strategik tetapi yang lebih penting
ia melibatkan tiga komponen yang penting iaitu polis, tentera dan orang awam.
Kerjasama antara ketiga-tiga komponen ini bukan sesuatu
yang janggal bagi kerajaan kerana konsep ini telah lama dipraktiskan dan ia
merupakan salah satu asas Dasar Pertahanan Negara (DPN).
Secara spesifiknya kerjasama
ketiga-tiga komponen dalam KKK adalah apa yang dikenali sebagai Pertahanan
Menyeluruh atau dengan nama singkatannya Hanruh.
Konsep Hanruh seperti yang
terkandung dalam KKK mula diperkenalkan di Malaysia sejak 1986 lagi dan negara
seperti Denmark, Sweden dan juga Singapura begitu aktif mengamalkan konsep
serupa terhadap rakyat mereka.
Perlu diungkitkan kembali iaitu
ketika Eksesais Bersatu Aman dilancarkan pada 2 Julai 2008 lepas ramai rakyat
yang terpinga-pinga dan mempersoalkan keperluan latihan bersepadu gabungan di
antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan tentera Malaysia (ATM) khusus
untuk mengawal keselamatan awam.
Kerjasama polis dan tentera
adalah salah satu tumpuan utama Hanruh tetapi ia hanya melibatkan dua komponen
sahaja.
Eksesais gabungan PDRM dan ATM
tersebut sebenarnya banyak tertumpu kepada aspek penyelerasan arahan
pemerintahan kerana kedua-dua organisasi tersebut mempunyai struktur pengurusan
yang amat berbeza dan kerjasama dua organisasi keselamatan utama tersebut
adalah antara tunggak penting Hanruh.
Sekarang adalah masa terbaik
untuk menerapkan konsep Hanruh kepada seluruh rakyat Malaysia dan kewujudan KKK
adalah satu permulaan yang baik.
Memandangkan pengamalan strategi
Hanruh melalui KKK merupakan salah satu daripada tiang doktrin pertahanan
negara, maka sewajarnya rakyat memberi sokongan tanpa berbelah bagi.
Walaupun Ops Daulat sudah hampir
berjaya menumpaskan pengganas yang menceroboh, tetapi selepas ini rakyat
Malaysia akan sentiasa berhadapan dengan cabaran yang lebih berat dan di
sinilah kepentingan Hanruh dalam KKK supaya jati diri setiap rakyat Malaysia
sentiasa kental dan berwaspada menghadapi ancaman.
PENULIS ialah Geostrategis
Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.
Sumber : http :
//www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan