KUALA LUMPUR : Bilangan
individu kaya Malaysia dengan aset bersih bernilai US$30 juta atau lebih setiap
seorang dijangka meningkat 51 peratus kepada 1,294 orang dalam tempoh 10 tahun
akan datang daripada 828 orang ketika ini.
Masih ada ruang bagi penciptaan
kekayaan meskipun persekitaran ekonomi global yang suram beberapa tahun lepas,
demikian menurut laporan daripada Knight Frank LLP, pakar runding hartanah
global bebas utama.
Ketua Penyelidikan Knight Frank
Asia Pasifik, Nicholas Holt berkata pertumbuhan dan tumpuan kekayaan kini
beralih ke bahagian timur, dengan Asia dijangka menyaksikan kelahiran lebih
ramai individu kaya dalam tempoh 10 tahun akan datang berbanding mana-mana
rantau lain.
"Data daripada laporan
kekayaan menunjukkan bahawa pertumbuhan keluaran dalam negara kasar di
kebanyakan negara membangun Asia akan mewujudkan peluang keusahawanan yang akan
memudahkan penciptaan kekayaan," kata Holt kepada pemberita di majlis
pelancaran laporan The Wealth Report 2013 di sini, Selasa.
Berdasarkan kepada kaji selidik
itu, portfolio pelaburan paling popular dalam kalangan pelanggan Malaysia pada
2012 ialah hartanah, diikuti tunai dan ekuiti, katanya.
Mengenai permintaan bagi hartanah
kediaman utama, Holt berkata dalam majoriti lokasi di seluruh Asia Pasifik,
Timur Tengah dan Afrika, keseluruhan permintaan bagi hartanah sedemikian
membantu melonjakkan lagi harga ke paras lebih tinggi, dalam kes tertentu
hingga menyebabkan kerajaan-kerajaan merasakan perlu untuk mengekang
permintaan.
"Sekatan kerajaan ini di
pasaran-pasaran yang bersaing dengan Malaysia mungkin menjadi pemangkin bagi
pelabur untuk melihat Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Baharu (terutamanya Iskandar
Malaysia) sebagai destinasi pelaburan alternatif menarik pada 2013,"
katanya.
Hasil kaji selidik itu juga
menunjukkan peningkatan perbelanjaan pelanggan bagi barangan mewah dan aktiviti
dermawan di Malaysia pada 2012, menunjukkan tiga pelaburan kesukaan paling
utama ialah perabot antik, kereta klasik dan karya seni, kata Holt. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan