Selasa, 12 Mac 2013

ISU SOSIAL : Saranan tangani konflik remaja dengan ibu bapa


Oleh : Farah Ashikin Mohamed Ridzwan

KADANGKALA berlaku pertelingkahan antara ibu bapa dengan anak remaja mereka.

Daripada  pandangan ibu bapa, mereka melihat adanya perubahan remaja daripada seorang anak yang mendengar kata kepada seorang yang memberontak.

Sering kali juga, perubahan sikap anak remaja itu berpunca daripada ibu bapa yang meletakkan peraturan lebih ketat dengan tujuan 'mengawal' remaja tersebut sehingga ada peraturan itu menyebabkan remaja berasa tertekan dan terkongkong, lantas tercetuslah konflik.

Sementara itu, menurut Elizabeth Bergner Hurlock dalam bukunya Adolescent Development, keinginan remaja menjadi individu yang berdikari dan bebas merupakan aspek semula jadi dalam fasa kehidupan remaja.

Mereka juga inginkan 'kuasa' untuk menjalani kehidupan ikut cara mereka sendiri.

Namun, remaja tidak sedar bahawa mereka masih memerlukan pertolongan dan bimbingan ibu bapa.

Remaja juga sering memihak kepada rakan mereka berbanding ibu bapa kerana berasakan bahawa rakan mereka memahami perasaan dan keinginan mereka.

Pada peringkat ini, sikap, penampilan dan pertuturan mereka banyak dipengaruhi rakan.

Ada beberapa saranan  untuk menangani konflik dua pihak ini.

Memandangkan perubahan sikap remaja banyak dipengaruhi persekitaran dan aspek semula jadi dalam fasa kehidupan mereka, ibu bapa bukan sekadar harus memahami apa yang mereka lalui malah harus menjadi contoh baik kepada mereka.

Pertama, ibu bapa boleh menunjukkan sifat penyayang dengan memberikan kasih sayang.

Kasih sayang yang ikhlas akan membuatkan mereka rasa terpelihara dan disayangi lantas lebih mudah mengongsi masalah dan perasaan mereka.

Kedua, ibu bapa perlu meluangkan masa bersama anak remaja agar dapat mengenali punca perubahan diri mereka.

Pengetahuan ini akan memudahkan ibu bapa mencari jalan terbaik untuk mendekati anak mereka sekali gus membentuk perhubungan yang harmoni.

Ketiga, sifat hormat-menghormati perlu disemai dalam diri remaja. Ibu bapa boleh menunjukkan contoh dengan bersifat lemah lembut ketika berbual bersama mereka.

Ucapan seperti 'syukur alhamdulillah' dan 'terima kasih' serta puji-pujian boleh menimbulkan perasaan hormat antara ahli keluarga.

Keempat, ibu bapa harus bersifat realistik. Harapan ibu bapa haruslah selaras dengan kemampuan remaja. Oleh kerana remaja secara semula jadi ingin bebas dan berdikari, ibu bapa perlu menyemai sifat daya tahan agar mereka lebih teguh menghadapi permasalahan di sekolah.

Kelima, ibu bapa harus bersikap jujur kepada anak remaja dan harus bersedia meminta maaf jika telah melakukan kesalahan.

Tanpa sifat integriti, akan hilang rasa hormat remaja terhadap ibu bapa.

Keenam, secara semula jadi, remaja bersifat sensitif dan ingin dihargai. Oleh itu, ibu bapa harus memaparkan sifat tanggungjawab dalam menunjukkan kepedulian terhadap anak-anak meskipun sibuk bekerja.

Oleh itu, ibu bapa perlu terus berusaha menjadi contoh terbaik untuk anak remaja kerana pengajaran yang terbaik adalah dengan menjadi contoh.

Di samping itu, ibu bapa perlu terus memikirkan jalan yang terbaik untuk mengeratkan perhubungan bersama remaja.

Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan