Rabu, 3 April 2013

ISU BAHASA : Nama Kuala Lumpur Raya lebih afdal


Oleh : Profesor Dr. Teo Kok Seong

Usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk ikut membangunkan kawasan di sekeliling Kuala Lumpur harus disambut baik. Ini bermakna satu kawasan besar di Lembah Klang bukan saja akan ikut dibangunkan bersekali dengan Kuala Lumpur. Tetapi lebih penting lagi ialah bersama-sama dengan bandar raya Kuala Lumpur, kawasan ini yang terdiri daripada beberapa bandar, akan membentuk dan dikenali sebagai satu entiti baru.

DBKL memanggilnya Greater Kuala Lumpur. Ia juga dipanggil Greater Kuala Lumpur-Klang Valley (KL-KV). Entiti sebegini, yakni pengembangan bandar raya yang ikut merangkumi kawasan bersebelahannya, bukan perkara baru dalam pembangunan sesebuah bandar raya. Hal ini berlaku di beberapa tempat. Buktinya adalah Greater London dan Greater New York sebagai nama dalam ilmu perancangan bandar.

Persoalannya dalam kes Kuala Lumpur ialah mengapa DBKL tidak menggunakan nama bahasa Melayu. Sehubungan ini, penggunaan nama bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara ini bukan saja lebih afdal, tetapi nama itu memperlihat kita mempunyai jati diri, yakni identiti sendiri.

Oleh itu, DBKL perlu mencari nama bahasa Melayu untuk Greater Kuala Lumpur. Mungkin nama Kuala Lumpur Raya atau Kuala Lumpur-Lembah Klang (KL-LK) Raya boleh digunakan. Perkataan raya mengungkap makna besar dan agam. Makna ini dapat dilihat pada ungkapan jalan raya, lebuh raya, pasar raya, rimba raya dan angkasa raya.

Elak guna bahasa asing

Penggunaan bahasa Melayu dalam hal ini dan lain-lain sesungguhnya adalah usaha kita untuk melestarikan bentuk asli dan mengurangkan penggunaan bentuk asing secara berwenang, dalam bahasa negara kita. Dengan ini, kita hendaklah memastikan bahasa Melayu tidak terlalu mudah, selain sangat banyak dipengaruhi bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris, walaupun dalam bidang yang paling remeh.

Penggunaan nama Kuala Lumpur Raya juga berkait dengan soal nasionalisme. Dari sudut ini, nama bahasa Melayu dipilih bukan kerana ia lebih baik daripada bahasa lain. Bahasa Melayu dipilih kerana ia bahasa negara kita.

Sebagai bahasa negara, bahasa Melayu adalah sangat istimewa dan unggul kepada kita semua sebagai warga negara Malaysia. Dalam konteks nasionaliti Malaysia, nilai bahasa Melayu adalah teramat mulia. Oleh itu, bahasa Melayu tidak boleh sekali-kali ditukar ganti dengan mana-mana bahasa lain.

Sehubungan bahasa Melayu sebagai bahasa negara ini, ia bukan saja bahagian penting dalam kebudayaan kebangsaan, tetapi bahasa Melayu adalah jati diri nasional itu sendiri. Oleh itu, ia hendaklah sentiasa wujud dalam bentuk aslinya pada kadar yang sebanyak mungkin. Ini bukan saja boleh memupuk jati diri nasional, tetapi melestarikannya.

Dengan ini, menjadi tanggungjawab rakyat jelata dan kewajipan nasional untuk golongan pemimpin, untuk mewariskan bentuk bahasa Melayu asli kepada generasi muda. Ini penting bukan saja untuk menghubungkan mereka, tetapi memberi pengenalan diri yang utuh sebagai etnik Melayu khasnya dan bangsa Malaysia amnya, pada zaman mendatang.

Kecuali untuk mendukung makna kepakaran dan ikhtisas dalam bidang ilmu, wacana sosial harian kita hendaklah disarati bentuk asli bahasa Melayu. Oleh itu, ungkapan angin ahmar, darah tinggi dan kencing manis perlu dikekalkan penggunaannya dan tidak perlu pun digantikan dengan strok, hipertensi dan diabetes daripada bahasa Inggeris.

Cetus kebanggaan

Secara unggulnya, martabat bahasa Melayu perlu meliputi penggunaan bentuk aslinya pada setiap masa dalam apa-apa juga bidang. Penggunaan sedemikian bukan saja mampu mengekalkan struktur bahasa Melayu dari segi ciri dan sifatnya yang asli. Tetapi yang lebih penting ialah kita megah menggunakan bentuk daripada bahasa kita sendiri.

Semangat sebegini bukan saja boleh dikaitkan dengan kebanggaan, kecintaan dan kesetiaan terhadap bahasa Melayu. Ia juga dapat menambahkan kimah (nilai) martabat bahasa Melayu selaku bahasa negara.

Natijah yang ingin disampaikan ialah kehilangan martabat sesebuah bahasa itu boleh berlaku apabila bahasa berkenaan amat mudah, selain berleluasa pula, menggunakan bentuk asing, walaupun sesuatu konsep dan entiti itu boleh dengan senang dan cepat ditemui kata aslinya dalam bahasa sendiri.

Oleh itu, Kuala Lumpur Raya adalah namanya. Ia dicipta melalui daya fikir kita sendiri. Yang penting ia nama bahasa Melayu!

Penulis ialah Profesor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia

Sumber : http ://www.bharian.com.my/

1 ulasan:

  1. Saya pernah menulis dalam akhbar kita pandangan dan kekecewaan saya terhadap peranan DBP. Terus terang saya beranggapan yang DBP telah merojakkan Bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris. Hilang sudah kesenian bahasa Melayu yang banyak menghubungkan Melayu dengan Al Quran, sama ada dari segi ejaan dan perkataan. Kita mengIndonesiakan bahasa Melayu (ejaan) diikutu membawa masuk Bahasa Inggeris rojak kedalam kamus. Hari ini saya dapati kamus DBP amat memalukan.

    Saya bebangga dengan orang seperti Teo Kok Seong yang antara lain berkata:

    " ...dan tidak perlu pun digantikan dengan strok, hipertensi dan diabetes daripada bahasa Inggeris."
    Orang seperti inilah yang sepatutnya menduduki kerusi teratas kerajaan dalam menyelenggarakan kedaulatan Bahsa Melayu.

    Apa pandangan Cikgu dalam hal ini? Kalau boleh saya hendak berutus secara email dengan Cikgu. Saya menulis blog dalam bahasa Inggeris sepenuhnya (tidak rojak) kerana saya amat berkurangan dalam bahasa penulisan Melayu. Kenalan rapat Cikgu Ali Jusoh pernah tertawakan cara saya menulis bahasa Melayu - seterusnya berseloroh yang saya patut guna sahajalah bahasa Inggeris dan lupakan cubaan menulis dalam bahasa sendiri, katanya bahasa dan ejaan zaman pre-Zaaba!


    BalasPadam