Oleh : Mohamad Abdullah
Mantap daya saing hadapi cabaran
globalisasi
Satu daripada cabaran institusi
formal atau sukarela ialah bergerak seiring perubahan. Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), misalnya berkembang amat pantas dan tidak ada yang dapat
menghalang berlaku proses globalisasi yang memberi kesan besar kepada cara
hidup, kaedah penyampaian, cara berkomunikasi, budaya dan nilai hidup manusia
keseluruhan yang mendapat kesan langsung atau tidak daripadanya.
Ini termasuk dalam proses
pengaajaran dan pembelajaran formal atau tidak formal, malah juga pembelajaran
kendiri. Hakikatnya tidak ada siapa pun yang harus menafikan keperluan ini,
malah cuba hidup terasing daripada gelombang yang berlaku.
Sesebuah institusi menjadi tidak
relevan, tertinggal atau terasing daripada arus kemajuan dan perkembangan jika
mengabaikannya. Mereka yang bijak memanipulasi atau memanfaatkannya pula berada
di hadapan walaupun ia mungkin hanya institusi kecil yang tidak mendapat
perhatian.
Matlamat pendidikan
Jika tidak berhati-hati, ia boleh
pula menyumbang kepada penyalahgunaan, lalu timbul keperluan perundangan lebih
berkesan dan kaedah kawalan sesuai termasuk dalam memberikan pengiktirafan dan
kemungkinan memalsukan dokumen seperti yang pernah berlaku di negara ini atau
di seluruh dunia.
Ini penting apabila kita melihat
matlamat pendidikan tinggi negara untuk “Memenuhi tuntutan negara bagi
menyediakan sumber tenaga manusia mahir dan berkelayakan, sesuai dengan
keperluan negara yang baru merdeka dan sedang membangun” seperti laporan
jawatankuasa mengkaji semula hala tuju pengajian tinggi (2006) usaha
meningkatkan keberkesanan prosesnya harus dilihat dengan teliti.
Apatah lagi jika melihat Falsafah
Pendidikan Kebangsaan yang menyatakan dengan jelas “Pendidikan di Malaysia
adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu
secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan
harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani bagi melahirkan rakyat
Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab,
berketerampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi
sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”
Idealisme ini perlu didukung
proses pembelajaran yang lebih terbuka dan anjal tanpa perlu menubuhkan
jawatankuasa khas mengkajinya. Semua pihak yang terbabit dengan proses
penyampaian pengajian tinggi perlu meneliti dan merungkai bukan saja dasar
institusi tetapi keupayaan individu yang sesetengahnya mungkin ketat serta
rigid pemikirannya tanpa melihat impak yang diberikan selain mengeluarkan
graduan yang berijazah saja.
Sesetengah dasar, peraturan,
prosedur atau proses yang berlaku mungkin sudah lama berjalan tanpa sedar yang
tentu dibuat dengan tujuan murni untuk mengawal selia bagi memastikan kualiti
dan piawaian terkawal serta terpelihara. Namun, sesetengah proses dan cara
pelaksanaannya boleh dilihat semula. Mungkin juga dasar dibuat dengan baik,
tetapi proses dan kaedah penyampaian perlu penambahbaikan. Sesetengah mereka
yang terbabit melihat peraturan yang ada dengan begitu ketat hingga terpaksa
berdebat panjang dalam mencapai sesuatu keputusan
Tingkat kreativiti, inovasi
Semua ini harus dilihat dalam
konteks keperluan meningkatkan kreativiti dan inovasi dalam pengajian tinggi
demi memastikan mereka yang lahir daripada sistem yang ada benar-benar
menguasai ilmu dan memiliki keupayaan untuk memenuhi matlamat pendidikan tinggi
dan falsafah yang ditetapkan.
Pengajian tinggi sebagai
sebahagian daripada proses sosialisasi tidak harus dilihat terasing daripada
kehidupan. Bagaimana misalnya internet dan teknologi komunikasi maklumat dapat
dimanfaatkan dalam proses penyampaian ilmu secara terbuka tetapi terkawal.
Apatah lagi dalam konteks kebebasan akademia dan menggalakkan pemikiran terbuka
dan komunikasi yang berakauntabiliti dan bertanggungjawab.
Pengajian jarak jauh misalnya,
perlu manfaatkan teknologi komunikasi dalam penyampaian ilmu yang tentu berbeza
daripada pengajian sepenuh masa. Baik kursus yang ditawarkan mahu pun kaedah
perbincangan bersemuka yang berbeza antara pensyarah dan pelajar perlu
diteliti. Begitu juga bebanan dan cara kerja pensyarah serta pengajar juga perlu
dilihat secara berbeza antara masa ini dengan sebelumnya.
Keanjalan masa, kursus,
pembolehubah kaedah penilaian dan peraturan yang mengekang untuk seseorang
mengikuti pengajian serta memperoleh ilmu, selaras dengan kepesatan keperluan
guna tenaga termasuk dalam kalangan mereka yang bekerja dan mengikuti pengajian pada peringkat ijazah tinggi membantu mereka memperoleh ijazah
dan ilmu pengetahuan yang diinginkan.
Penulis ialah Timbalan
Pendaftar Kanan Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan