KAJI selidik yang dijalankan oleh
Ipsos, sebuah firma penyelidikan berpangkalan di Paris mendapati, majoriti
rakyat Malaysia bersetuju bahawa tinjauan ekonomi negara ini bagi 2013 adalah
positif.
Firma itu dalam kenyataannya
mengumumkan hasil kaji selidik bagi mengukur sentimen rakyat terhadap prestasi
ekonomi sesebuah negara mendapati, rakyat Malaysia secara relatifnya gembira
dengan prestasi ekonomi negara secara menyeluruh, selain prospek masa depan
mereka sendiri.
Kenyataan tersebut berkata,
gambaran itu diberikan rakyat negara ini walaupun mereka pada masa yang sama
turut menerima tempias kesan daripada krisis kewangan global sejak 2008.
“Secara keseluruhan, 62
peratus rakyat Malaysia bersetuju bahawa prospek ekonomi negara bagi 2013 ini
adalah positif. Hanya 16 peratus tidak bersetuju dengan kenyataan itu,” katanya
dalam kenyataan dikeluarkan unitnya di Malaysia, Ipsos Malaysia.
Kaji selidik itu dibuat kumpulan
penyelidik Perancis itu menerusi unitnya di Malaysia pada Mac lalu.
Ia adalah kajian sulung firma itu
di negara ini dengan membabitkan 1,000 responden yang terdiri daripada media,
konglomerat dan syarikat tempatan di Semenanjung Malaysia.
Kaji selidik yang bertajuk
‘Kajian Nadi Ekonomi’ itu turut mendapati, kaum Melayu dan India, serta warga
negara berusia antara 25 hingga 34 secara amnya, bersetuju terhadap tinjauan
positif ekonomi negara.
“Secara amnya, responden yang
mewakili kaum Melayu dan India (67 peratus bersetuju) serta golongan muda (66
peratus bersetuju) adalah yang paling bersetuju dengan tinjauan positif ekonomi
negara bagi 2013 ini,” katanya.
Ipsos, satu-satunya firma
penyelidik pasaran bebas yang dikawal dan diuruskan oleh pakar penyelidikan
profesional itu berkata, walaupun wujud sentimen positif mengenai tinjauan
ekonomi negara, sebahagian rakyat Malaysia turut mengatakan keadaan ekonomi
semasa ini kurang baik jika dibandingkan dengan lima tahun lalu.
Sumber : http : //www.bhgarian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan